Bagi penyanyi Sissy Imann Mohammad Kamil, 30, sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2026 ini memberi kenangan cukup bermakna bagi dirinya selepas lebih empat bulan menjadi isteri kepada Dr Zamir Hilman Hamzah, 41. Mereka bernikah pada 12 Disember 2025.

Sissy, suami dan tok wan

Sissy dibawa pulang oleh suami ke kampungnya di Terengganu untuk beraya sebagai suami isteri.

Selain menikmati keindahan negeri Terengganu, makanan dan suasana hari rayanya, Sissy berpeluang bertemu dengan insan yang disifat sebagai luar biasa.

Insan yang dimaksudkan ialah tok wan suaminya yang sudah berusia 94 tahun dan berkerusi roda tetapi masih terus membaca dan menambah ilmu. 

Dia mempunyai sikap menuntut ilmu sehingga ke akhir hayat. Ia menjadi inspirasi bagi generasi muda seperti Sissy Imann untuk terus menambah ilmu sehingga ke akhir hayat.


/

Tok Wan selepas menerima ijazah

Pada usia 94 tahun kini, tok wan masih membaca dan mengejar ilmu pengetahuan tanpa henti, menjadi contoh bahawa usia bukan penghalang untuk terus memajukan diri.   

Dan berpeluang bertemu dengan tok wan suaminya pada hari lebaran memberi makna cukup bererti bagi Sissy.

Masih mampu bercakap dengan lancar dan bersemangat memberi semangat baharu bagi Sissy untuk menempuh hari-hari ke hadapan dengan penuh makna. 


/

Tok Wan bersama sebahagian anak dan cucu selepas menerima ijazah

Sissy memuat cerita berkaitan pertemuannya dengan tok wan dalam instagramnya.

Tok wan yang nama asalnya Wan Zainun Wan Abd Manan, dari Kuala Terengganu dan bekas guru besar pernah tular apabila ketika berusia 87 tahun menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pada Majlis Konvokesyen ke-23 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 21 September 2019 ketika mempunyai 38 cicit.

Pada majlis berkenaan, Wan Zainun yang lebih selesa dipanggil tok wan yang bersara sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal, Kuala Terengganu pada tahun 1987 turut dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Pembelajaran Sepanjang Hayat. 



Dalam pertemuan dengan media, menurut tok wan, biarpun pernah menerima pandangan sinis kerana masih belajar pada usia emas, namun semua itu dianggap sebagai pemangkin semangat untuk membuktikan usia bukanlah halangan.

Menurut tok wan lagi, sebagai bekas pendidik, dia memang memang minat belajar dan mendalami ilmu. Ini kerana dengan belajar membuat dia rasa lebih sihat kerana otak sentiasa berfikir.  

Memulakan pengajian pada 2014, selepas kematian suami pada 2000, tok wan mengaku menghadapi kekangan tertentu tetapi semua itu tidak pernah lunturkan semangatnya.

Tambahnya, cabaran paling besar ialah teknologi, kerana tok wan tidak tahu gunakan Internet. Namun dia bersyukur mendapat sokongan seluruh ahli keluarga terutama menantu. 

Mereka sanggup ambil dan hantar tok wan ulang alik dari rumah ke kampus, beli buku-buku dan bantu cari maklumat di Internet.


SISSY IMANN

Tambah Wan Zainun, kejayaannya itu diharap menjadi pemangkin semangat kepada cucu cicitnya agar sentiasa mencintai ilmu selain contoh kepada warga emas seusianya agar tidak jadikan umur sebagai halangan untuk belajar.

Ketika kesihatan masih mengizinkan, tok wan berhasrat menyambung pengajian pada peringkat lebih tinggi iaitu hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Semangat tok wan itu benar-benar menyentuh hati Sissy dan dia tidak akan melepas peluang bertemu lagi dengan orang tua bersemangat kental itu jika pulang lagi ke Terengganu. - KitaReporters

9
13
0
14
0

Copy Link: