Lebih empat dekad mewarnai industri muzik tanah air, Dato Awie, 57, bakal meraikan perjalanan seninya menerusi sebuah konsert solo berskala mega yang dijangka menjadi antara persembahan paling berprestij dalam sejarah muzik rock tempatan. 




Konsert Awie Rock King: Last Man Standing 2026 akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 September 2026, sekali gus mengangkat semula aura rock Malaysia di pentas ikonik yang pernah menjadi saksi pelbagai persembahan legenda tempatan dan antarabangsa.

Konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide bersama Ultimate Media itu dijadual bermula pada jam 8.30 malam dan bakal menghimpunkan elemen muzik, penceritaan visual serta produksi berskala besar yang membawa penonton menyusuri perjalanan seni  Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, sepanjang lebih 40 tahun dalam industri hiburan.

Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari atau Bombay berkata, konsert tersebut bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah penghargaan terhadap ketahanan dan evolusi seni seorang ikon rock yang kekal relevan merentasi zaman.

Menurut beliau, kerjasama bersama Awie telah terjalin hampir empat dekad sejak era kegemilangan Wings dan diteruskan menerusi pelbagai projek konsert serta persembahan solo yang berjaya membina keserasian kukuh antara mereka.

“Dari era Wings, kemudian ke perjalanan solo Dato Awie, sehingga kembali ke pelbagai fasa evolusi seni beliau, kami sering bekerjasama dan kolaborasi ini telah membentuk satu chemistry yang kuat dan kukuh dalam meningkatkan taraf dan mutu setiap persembahan konsert yang kami lakukan bersama,” cerita Bombay pada sidang media konsert berkenaan yang berlangsung di Hotel Premiera Kuala Lumpur pada 4 Mei 2026. 

“Tajuk “Last Man Standing” katanya, membawa simbolik kepada perjalanan seni Awie yang penuh keteguhan melalui jatuh bangun, perubahan era serta transisi daripada kumpulan ke solo dan pelbagai fasa dalam industri muzik. 

"Dalam apa jua keadaan, beliau tetap berdiri teguh di atas pentas, mempertahan identiti dan bahasa seninya yang tidak pernah pudar.

“Gelaran ‘Rock King’ pula melambangkan pengaruh besar beliau dalam membentuk era kegemilangan muzik rock Malaysia, sama ada ketika bersama kumpulan mahupun sebagai artis solo,” ulas Bombay.


Bombay bersama Awie.


Sementara itu, Awie pula menyifatkan konsert berkenaan sebagai satu refleksi perjalanan hidup dan kerjaya yang penuh warna sepanjang lebih empat dekad berada dalam industri muzik.

Menurut beliau, setiap pengalaman yang dilalui sejak era awal bersama Wings sehingga perjalanan solo telah membentuk dirinya menjadi seorang anak seni yang lebih matang dan kuat dalam menghadapi perubahan dunia hiburan.

Beliau turut mengakui terharu dengan sokongan peminat yang tidak pernah putus selama ini dan berharap konsert tersebut dapat menjadi sebuah pengalaman istimewa buat semua yang hadir, selain meraikan legasi muzik rock yang masih dekat di hati peminat pelbagai generasi.

Konsert Awie Rock King: Last Man Standing 2026 akan menampilkan konsep penceritaan yang memfokuskan kepada evolusi perjalanan seni Awie daripada era awal pembabitannya dalam muzik rock sehingga menjadi antara figura paling berpengaruh dalam industri hiburan tempatan.

Sambung Bombay,  Awie menjadi watak utama dalam keseluruhan naratif konsert ini, yang menggambarkan keteguhan seorang anak seni yang terus berdiri di atas pentas tanpa mengira cabaran zaman, sambil mengekalkan identiti serta keaslian seninya.

“Melalui konsep “Last Man Standing”, konsert ini turut menzahirkan kekuatan seorang legenda yang mampu bertahan dalam perubahan industri, serta kekal relevan dan dihargai oleh pelbagai generasi,” jelasnya. 



Naratif persembahan akan diperkukuhkan dengan penglibatan 25 pemuzik profesional serta  9 artis jemputan daripada generasi lama dan baharu yang akan mempersembahkan karya-karya ikonik  Awie sebagai tribute terhadap legasi seninya.

Susunan muzik pula bakal membawa pendekatan lebih dinamik menerusi gabungan elemen rock, pop dan pelbagai genre lain bagi memberikan pengalaman persembahan yang segar tanpa menghilangkan elemen nostalgia yang sinonim dengan karya-karya beliau.

Bombay berkata, pihak penganjur mahu memastikan konsert tersebut menjadi sebuah karya yang memberi impak besar kepada industri muzik tempatan serta mampu menjadi penanda aras baharu dari aspek produksi dan kreativiti persembahan konsert di Malaysia. 

Tambahnya, fokus utama mereka adalah untuk memberikan pengalaman berkualiti tinggi kepada penonton yang hadir, sekali gus memastikan konsert itu dikenang sebagai antara persembahan paling istimewa pernah dipentaskan.

Selaku Penerbit dan Pengarah Konsert, Bombay berkata lagi, matlamat utama penganjuran ini adalah untuk memastikan konsert ini berjaya dan mencapai standard tertinggi , khususnya buat  Awie dan para peminat yang hadir.

“Kami mahu konsert ini menjadi satu karya yang memberi impak, malah berpotensi menjadi sebuah masterpiece dalam industri muzik tempatan. Ini penting kerana penonton meluangkan masa dan membayar untuk hadir, jadi kami ingin memberikan pengalaman yang setimpal dan berkualiti tinggi.



“Selain itu, kami berharap konsert ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan standard penganjuran konsert pada masa hadapan -- dari segi produksi, kreativiti dan konsep setiap persembahan dan keseluruhan pengalaman.

“Akhirnya, harapan kami adalah agar konsert ini dikenang sebagai sebuah konsert yang istimewa -- bukan sahaja menghimpunkan ramai artis dan pemuzik di atas satu pentas, tetapi juga memberikan kepuasan dan pengalaman yang bermakna kepada penonton pada malam tersebut,” akhiri Bombay. - KitaReporters

15
12
0
10
0

Copy Link: