Ketika kebanyakan orang bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga tercinta, ada juga anak-anak yatim yang melalui pagi Syawal dalam suasana sunyi tanpa ibu bapa di sisi. 

Perasaan itulah yang cuba disampaikan menerusi lagu raya “Tangisan 1 Syawal”, sebuah karya istimewa dendangan dua penyanyi cilik, Tantari dan Putera Bobo, yang didedikasikan khas buat golongan tersebut.



Pada saat lagu raya baharu semakin banyak diterbitkan oleh artis-artis terkenal setiap tahun, kemunculan lagu raya yang dibawakan oleh dua penyanyi cilik ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengangkat tema yang lebih menyentuh hati. 

Lagu balada raya ciptaan komposer ternama Eddie Hamid dengan lirik oleh Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha itu mengetengahkan kisah dua adik-beradik yatim piatu yang merindui ibu bapa mereka pada pagi Syawal.

Tantari atau nama penuhnya Naufal Zahirul Azahel Mohd Alfian, 8, sebelum ini mencuri perhatian menerusi lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang pernah menduduki tangga pertama trending dalam YouTube selama 20 hari berturut-turut serta mencatat lebih 16 juta tontonan. 

Sementara itu, Putera Bobo atau Putera Shah Nasratullah Mohd Nasran, 14, turut mendapat sambutan menerusi lagu “Korban Rindu” yang meraih lebih 1.3 juta tontonan di platform yang sama.

Melihat sambutan hangat terhadap lagu-lagu nyanyian mereka sebelum ini, Eddie Hamid yang bertanggungjawab mengangkat nama kedua-dua penyanyi tersebut mengambil inisiatif untuk menggandingkan mereka dalam satu lagu raya. 



Menurut Eddie, beliau sudah lama menyimpan hasrat untuk menyatukan Tantari dan Putera Bobo selepas kejayaan lagu-lagu ciptaannya yang dinyanyikan secara solo oleh mereka.

"Impian saya nak satukan mereka dalam satu lagu berjaya dan idea saya turut disokong oleh Nova Music Malaysia. Lagu raya yang saya cipta untuk mereka bukan jenis ‘catchy’ 

tetapi sebuah balada yang membawa kisah kasih sayang antara dua adik-beradik yatim piatu.

"Tangisan 1 Syawal bukan sekadar lagu sahaja kerana ia adalah sebuah kisah tentang kasih sayang antara dua orang adik-beradik yang merupakan anak yatim piatu. 

Lagu nyanyian Tantari dan Putera Bobo ini merupakan luahan hati bagi anak-anak yang kehilangan insan tersayang. "Sebagai anak yatim piatu sendiri, saya dapat rasakan situasi tersebut. Saya yakin lagu nyanyian dua penyanyi cilik ini mampu menyentuh hati pendengar," kata Eddie yang menghasilkan karya ini dengan tulus ikhlas. 

Walaupun berduet dalam lagu yang sama, kedua-dua penyanyi ini tidak merakamkan lagu tersebut bersama. 

Tantari menjalani sesi rakaman di Studio NAR, Kuala Lumpur, manakala Putera Bobo merakam bahagian vokalnya di K-Seventh Studio, Kelantan.

Bagi memastikan mesej lagu ini benar-benar sampai kepada penonton, muzik video “Tangisan 1 Syawal” turut menjalani penggambaran di sebuah rumah anak yatim serta tanah perkuburan. 

Dalam muzik video tersebut, Tantari membawa watak sebagai adik, manakala Putera Bobo memegang watak sebagai abang.

Menariknya, kedua-dua penyanyi ini sebenarnya tidak pernah bertemu sebelum ini dan hanya berkenalan buat pertama kali ketika penggambaran muzik video dijalankan. 

Walaupun begitu, mereka cepat menjadi mesra dan Putera Bobo melayan Tantari seperti adiknya sendiri, sekali gus memudahkan proses penggambaran.



Bagi Tantari, lagu ini merupakan lagu raya ketiganya selepas lagu popularnya “Rindu Hatiku Rindu” yang turut digubah menjadi versi raya berjudul “Rindu Hatiku Rindu Raya” serta lagu “Ragam Raya” yang pernah dirakam bersama Achey dan Baby Feaaa.

Menurutnya, pada awalnya, dia menyangka akan menyanyikan lagu raya yang lebih rancak, namun terkejut apabila diberikan lagu yang bernada sedih.

“Mula-mula saya ingat dapat lagu raya rancak, tetapi rupanya lagu yang sedih. Masa rakaman lagu ini memang rasa sedih sebab saya bayangkan kawan-kawan yang sebaya dengan saya tetapi tidak ada ibu bapa untuk beraya bersama.

“Apapun saya rasa gembira kerana dapat pasangan duet baharu, abang Putera Bobo walaupun kami tak dapat nak rakam bersama. Saya harap lagu ini mendapat sokongan ramai kerana ia berkaitan dengan anak-anak yatim piatu,” katanya.



Bagi Putera Bobo pula, “Tangisan 1 Syawal” merupakan lagu raya pertamanya. 

Penyanyi remaja yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kampung Darau, Jerteh, Terengganu itu berkata lagu tersebut sangat dekat dengan hatinya kerana ia mengingatkan masyarakat agar sentiasa bersyukur.

“Selalunya bila raya kita semua bergembira bersama keluarga, tetapi ada anak-anak yatim terutama yang masih kecil yang tidak mempunyai ibu bapa.

“Saya harap lagu ini dapat mengingatkan kita supaya tidak melupakan mereka. Jika ada kelapangan, ziarah dan raikanlah anak-anak yatim,” katanya.

Beliau akui tidak kekok untuk layan Tantari di set penggambaran kerana dalam kehidupan sebenar beliau mempunyai dua orang adik dan merupakan anak ketiga daripada keluarga lima beradik.

"Alhamdulillah, akhirnya saya mempunyai lagu raya sendiri biarpun bergandingan. Lagu Tangisan 1 Syawal rasa dekat di hati saya kerana ia bercerita tentang anak-anak yatim dan mengingatkan saya untuk selalu bersyukur,” jelas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putra, Kampung Darau Jerteh, Terengganu ini. - KitaReporters

14
9
0
11
0

Copy Link: