Dalam usaha menembusi arus dominasi muzik digital masa kini, penyanyi muda, Nadia Rosli tampil dengan pendekatan berani menerusi single terbaharu “Aduh Gak Kuat” yang dilihat dirangka khusus dengan potensi tular dalam platform media sosial.


 



Mengambil kira pengaruh besar aplikasi seperti TikTok dalam membentuk selera pendengar generasi muda, Nadia mengakui kekuatan utama lagu ini terletak pada susunan beat yang berpotensi mencetuskan trend dalam media sosial. 

“Lagu ini ada unsur hype beat yang boleh dijadikan trend, terutama bahagian catchy yang sesuai untuk ‘velocity trend’ dalam TikTok. Saya rasa itu antara elemen yang boleh buat lagu ini viral,” jelasnya.

Single berkenaan turut memperlihat sisi baharu Nadia apabila beliau keluar daripada zon selesa dengan mempertaruh genre ‘hipdut’ -- gabungan hip hop dan dangdut -- yang lebih rancak, santai dan penuh elemen 'playful'. 

Pendekatan ini secara tidak langsung memperlihat evolusi artistiknya sebagai penyanyi yang berani bereksperimen dengan identiti muzik semasa.

Lebih mengukuhkan lagi kekuatan lagu ini adalah kolaborasi rentas negara bersama penyanyi Indonesia, Ucie Sucita, yang membawa warna tersendiri kepada keseluruhan karya. 


Nadia Rosli (kiri) bergandingan dengan Ucie Sucita dari Indonesia.


Gandingan tersebut disokong oleh barisan komposer berpengalaman dari Indonesia iaitu Giant Prayash Trinanda dan Nabil Adesya Putra, dengan susunan muzik di bawah kendalian Aji Suherri.

Hasilnya, “Aduh Gak Kuat” berjaya menggabungkan elemen romantik bersahaja dengan rentak tarian yang bertenaga, menjadikannya mudah mesra telinga serta berpotensi besar untuk menarik perhatian pelbagai lapisan pendengar.

Mengangkat tema “love confession”, lagu ini menggambarkan perasaan seseorang yang jatuh cinta dengan begitu mendalam sehingga tidak mampu lagi menyembunyikan perasaannya. 

Dengan lirik yang lucu, penuh elemen 'flirting' dan sentuhan humor seperti “gunting, batu, kertas dulu,  kalau aku menang, kita ke penghulu,” ia membawa naratif cinta yang berani dan menghiburkan sebagai simbolik kepada keinginan membawa hubungan ke peringkat lebih serius.

Menurut Nadia, mesej yang ingin diketengahkan adalah keberanian untuk bersikap jujur terhadap perasaan sendiri tanpa terlalu memikirkan kemungkinan penolakan. 

“Sangat penting untuk kita berani meluahkan perasaan supaya kita tahu sama ada perasaan itu berbalas atau tidak. Ia juga mengelakkan kita daripada memendam rasa terlalu lama bukan soal ditolak atau tidak, tetapi tentang kejujuran pada diri sendiri,” katanya.



Pendekatan tersebut juga disokong oleh teknik rakaman yang lebih emosional, di mana beliau membayangkan momen indah bersama keluarga dan rakan terdekat bagi memastikan penyampaian vokalnya kedengaran lebih tulus dan semula jadi.

“Saya bayangkan situasi ceria bersama keluarga dan kawan-kawan supaya vibe lagu ini lebih hidup, sebab ‘Aduh Gak Kuat’ memang perlukan energi yang fun dan positif,” tambahnya.

Melihat kepada perkembangan trend muzik semasa, Nadia juga terbuka untuk terus meneroka pelbagai genre, termasuk hipdut, sebagai sebahagian daripada evolusi kerjayanya. 

“Saya terbuka untuk mencuba apa sahaja genre. Saya mahu explore sebanyak mungkin supaya terus relevan dan tidak berada dalam zon selesa,” ujarnya. 



Dengan strategi yang tersusun serta pendekatan muzik yang segar, Nadia berharap “Aduh Gak Kuat” mampu memberi impak positif kepada pendengar, khususnya mereka yang sedang melalui fasa sukar. 

“Saya harap lagu ini dapat menceriakan mereka yang sedang bersedih dan buat mereka kembali tersenyum,” katanya.

Dengan gabungan melodi yang segar, lirik yang menghiburkan dan tenaga yang positif, “Aduh Gak Kuat” dilihat sebagai satu lagi langkah jitu buat Nadia Rosli dalam mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik serantau. - KitaReporters

14
10
0
9
0

Copy Link: