HULU Terengganu Virtual Hiking Challenge (Havoc) 2021 berkonsepkan Keluarga Malaysia melakar sejarah tersendiri apabila diadakan secara serentak di lima buah bukit di sekitar daerah Hulu Terengganu.

Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Adun Telemong melibatkan Bukit Balik Hidung, Bukit Jalin, Bukit Jelutong, Bukit Tadok dan Bukit Basung itu berjaya menarik hampir 600 penyertaan terdiri daripada pelbagai peringkat umur.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan mendaki


Rozi Mamat turut memeriahkan Havoc 2021 dengan mendaki Bukit Balik Hidung, Kampung Paya Besar, Hulu Terengganu.


Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat berkata penganjuran program berkenaan sebagai salah satu inisiatif bagi mempromosikan lagi produk pelancongan di daerah Hulu Terengganu yang berasaskan alam semula jadi.

“Selain Tasik Kenyir, daerah kita ini (Hulu Terengganu) sebenarnya punyai pelbagai lagi daya tarikan lain, salah satunya ialah bukit-bukau yang menjadi tumpuan khususnya peminat aktiviti mendaki.

“Kita tidak perlu berlawan dengan tempat lain untuk bina bangunan tinggi-tinggi sebagai daya tarikan sebaliknya hanya perlu ketengahkan atau promosikan aset semula jadi seperti bukit-bukit yang ada di daerah ini.

“Melalui usaha semua pihak termasuk penglibatan komuniti setempat, saya yakin banyak lagi bukit di kampung-kampung seluruh daerah ini yang dapat dimajukan atau berpotensi sebagai lokasi mendaki,” katanya ketika ditemui KitaReporters.

Tambah beliau, melihat sambutan dan maklum balas positif diterima daripada peserta pihaknya berhasrat untuk melaksanakan lagi program seumpama itu pada masa akan datang bergantung kepada perkembangan semasa.


Yufrisyam Ibrahim (kanan) mengiringi Rozi menyampaikan sijil penghargaan kepada jabatan serta pihak yang bekerjasama menjayakan Havoc 2021 pada majlis penutup dan cabutan bertuah di Dataran Kuala Berang, Hulu Terengganu.


Sementara itu, Pengarah Havoc 2021, Yufrisyam Ibrahim berkata program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai jabatan dan pihak termasuk Ngukah Walk Fit Hulu Terengganu, Kelab Sukan Rekreasi Kuala Berang serta Terengganu Recreation Activist Club (Erec).

“Jumlah penyertaan melebihi sasaran awal dengan peserta paling tua berusia 80-an dari Kampung Kepah yang berjaya menawan puncak Bukit Jelutung berketinggian kira-kira 200 meter dari paras laut (mdpl).

“Pelbagai hadiah cabutan bertuah turut disediakan kepada peserta dengan cabutan bonanza berupa sebuah ‘all terrain vehicle’ atau ATV. Saya mewakili seluruh jawatankuasa penganjur, ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat,” ujarnya. - KitaReporters


Warga emas dikenali sebagai Ayub Deraman, 85, yang mendaki Bukit Jelutung di Kampung Kepah, Hulu Terengganu sempena Havoc 21 merupakan peserta paling berusia. - Kredit foto: FB Siti Ayzati


Urusetia Hovoc 2021 yang bertugas di Bukit Jalin terletak di Kampung Lebak, Hulu Terengganu bergambar kenangan dengan beberapa peserta.


19
14
0
9
0

Copy Link: