Sebuah festival seni alternatif yang mengangkat semangat komuniti dan budaya independen (indie) bakal menggegarkan ibu kota pada Jun 2026 ini apabila 'Festival Seni Jabat Erat Fringe' tampil sebagai platform baharu, menghimpunkan penggiat seni tempatan dan antarabangsa dalam satu ruang inklusif.  

Festival Jabat Erat Fringe Arts dijadual berlangsung dari 5 hingga 7 Jun 2026. 



Dianjurkan oleh Rockstation Event & Entertainment Sdn. Bhd., festival itu dirangka bukan sekadar festival tiga hari, sebaliknya digerakkan sebagai inisiatif berterusan meraikan budaya D.I.Y dan semangat independen dalam kalangan penggiat seni dalam dan luar negata..

Pengarah Urusannya, Mozylir Mokhtarudin (gambar atas, tengah) berkata, 'Jabat Erat' membawa pendekatan D.I.Y yang menyeluruh, meliputi proses penghasilan muzik fizikal seperti vinil, kaset dan CD, selain aktiviti jelajah band, pembangunan jenama serta pengurusan acara secara kendiri.

"​Ini adalah hub rangkaian untuk Malaysia, Asia Tenggara, dan seluruh dunia. Kita satukan penganjur independen, venue, peminat, band, label, otai, veteran, sampailah ke 'emerging bands` dalam pelbagai genre muzik "rock and roll”.

"Acara ini akan berlangsung di Odeon KL kerana matlamat kami mahu jadikan Odeon KL sebagai pusat budaya Fringe Arts (Seni Pinggiran). Ia adalah venue untuk semua peringkat umur yang mementingkan penglibatan belia dan hiburan yang selamat, komuniti-sentrik, tapi tetap raw. 

"Sebagai jenama baru, kami mengukuhan identiti festival baharu ini sempena pembukaan semula ODEON KL yang ikonik kepada masyarakat," katanya pada Majlis Hari Raya dan sidang media Festival Seni Jabat Erat Fringe yang berlangsung di Odeon Kl pada 15 April 2026.



Festival ini juga dilihat sebagai peluang untuk mengetengahkan bakat tempatan ke pentas antarabangsa, di samping menggalakkan pertukaran budaya dalam kalangan penggiat seni dari pelbagai negara.

Lebih 20 artis termasuk artis antarabangsa dijangka memeriahkan acara itu termasuk Yellow Fang  (Thailand), Dom 65 (Indonesia), Megumi Acorda (Filipina), Coaltar of the Deepers (Jepun) serta barisan artis tempatan antaranya seperti Faye Faire, Bayangan dan Hawa, serta ramai lagi yang mewakili pelbagai genre termasuk rock, punk, shoegaze, metal dan indie.


Kumpulan Yellow Fang dari Thailand (kiri) dan Megumi Acorda dari Filipina.


"Ini masanya untuk kita inspire generasi pemuzik sekarang dan masa depan, sambil bertukar ilmu antara Malaysia dan dunia luar,” tambah Mozyfir.

Menurutnya, festival itu juga berfungsi sebagai platform perkongsian ilmu dalam kalangan komuniti, khususnya mengenai realiti industri muzik bebas seperti jelajah band dari satu lokasi ke lokasi lain serta cabaran membina jenama sendiri.

"Dari perspektif D.I.Y,  kita cerita realiti band yang menjelajah dari satu kota ke satu kota, dari venue kecil ke pentas besar. Kami juga jemput bisnes tempatan dan perusahaan independen untuk turun padang memeriahkan suasana kota," jelasnya. 


Kumpulan Fay Faire (kiri) dan Hawa (kanan) sementara gambar bawah kiri adalah Kumpulan Dom 65 

dari Indonesia dan Coaltar of the Deepest dari Jepun.



Dalam pada itu, penganjuran 'Jabat Erat' turut menyaksikan kerjasama strategik antara Odeon KL dan Loket sebagai rakan rasmi tiket bagi memperkukuh aspek pengurusan acara.

Pengarah Odeon KL, Zarimah Mohamed, berkata kolaborasi itu bukan sahaja memudahkan urusan pembelian tiket, malah menyokong pembangunan ekosistem industri kreatif yang lebih mampan melalui integrasi teknologi serta peningkatan pengalaman penonton.

Kerjasama tersebut juga membuka ruang kepada penganjur dan penggiat seni untuk merealisasikan idea kreatif mereka dengan sokongan sistem yang lebih tersusun, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab acara seni dan hiburan serantau.

Apapun selera anda baik  Electro Pop, Psych, Acoustic, Reggae, Hardcore, Punk, Shoegaze, Grunge, Darkwave, Funk, Metal, Post-Rock, atau Folk Rock segalanya ada, tetapi yang pasti kenalah ada tiketnya ya tak?. - KitaReporters


14
13
0
13
0

Copy Link: