“Kami ni pengantin lama dah, dan tak meletop apa pun namum apabila disenaraikan dalam Top 5 Anugerah MeleTOP bagi kategori ‘Couple Meletop’ sudah tentulah kami terkejut,” luah pemenang dua kali berturut-turut Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH2006/7, Fasha Sandha sambil mendapat anggukan daripada Aidil Aziz tanda bersetuju dengan kata-kata isterinya itu.

Fasha dan Aidil ditemui pada majlis sidang media pengumuman Top 5 Anugerah MeleTOP Era (AME) 2021 yang berlangsung di GSC Tropicana Gardens Mall pada, 14 Disember 2021.

Menurut suami isteri yang melangsungkan perkahwinan mereka pada 28 Mac 2019, iaitu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Fasha ke-35, tercalon dalam Top 20 pun amat disyukuri ini kan pula Top 5.

“Memang kami terkejut memandangkan saingan pasangan lain pun hebat-hebat belaka malah masih boleh digelar pengantin baharu, jadi kami anggap ini bonus bagi kami,” sambung Aidil yang tidak mengharapkan kemenangan waima dicalon pun sudah rasa terharu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan MeleTOP



Bagaimana pun, kedua-kedua mereka mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mengundi dan meletakkan mereka sebaris pasangan-pasangan muda hebat yang lain.

“Girl dan suami bukanlah pasangan yang sering berkongsi momen ‘sweet’ dalam laman sosial kerana kami hanya pasangan biasa sahaja tetapi apabila netizen berpandangan kami pasangan romantis, kami bersyukur diberikan penghormtan begitu,” ujar Fasha yang membahasakan dirinya ‘girl’.

Fasha dan Aidil tercalon dalam Top 5 kategori ‘Couple Meletop’ bersama Aiman Hakim & Zaharah MacWilson; Emma Maembong & Muhammad Shazli; Fatah Amin & Fazura serta  Mira Filzah dan suaminya, Wan Emir Astar.

Selain itu, pemilik nama penuh Nur Fasha Sandha Hassan, 37, ini turut tercalon dalam senarai Top 5 kategori ‘Pelakon Meletop’.

Sekali lagi beliau akan bersaing bersama Bintang Paling Popular ABPBH32, Mira Filzah bersama pelakon handalan lain seperti Uqasha Senrose, Uyaina Arshad dan satu-satunya pelakon lelaki baharu, Dini Schatzmann.



Mengulas mengenai pencalonan dalam kategori tersebut, Fasha sekali lagi tidak menjangka masih diminati ramai walaupun kurang aktif berlakon sejak bersalinkan anaknya bersama Aidil, Aisha Amaira.

“Sejujurnya, macam tak percaya boleh lolos sehingga Top 5 malah berada dalam senarai Top 20 juga agak mengejutkan apatah lagi girl  dah kurang aktif berlakon berbanding saingan yang hebat-hebat belaka,” ujar Fasha yang tercalon melalui drama 'Sihir Pemisah'.

Pun begitu, beliau mengucapkan terima kasihnya kepada pengarah Osman Ali yang percaya pada bakatnya daripada personalitinya yang dianggap masih ‘bulat' ketika itu, selepas bersalin.


Sambil bergurau, Aidil menyifatkan dirinya beruntung seolah berada di sebelah JLo (Jennifer Lopez) ibaratnya, apabila Fasha berambut perang.


“Osman menawarkan watak utama kepada ‘girl’ dalam telefilem, ‘Sihir Pemisah’ di samping Beto Kusyairy walaupun ketika itu girl masih gemuk tetapi Osman percaya pada bakat girl,” kenang Fasha sambil memberitahu tidak sabar untuk  mengembalikan rona rambut perangnya kembali hitam.

“Sebenarnya, ini kali pertama seumur hidup saya mewarnakan rambut dan sememang rasa malu dan tidak selesa tetapi itu kehendak pengarah jadi saya perlu akur bagi membina kelainan pada watak Hanim dalam drama ‘Khilaf Asmara’," cerita Fasha sambil memberitahu sebaik sahaja penggambaran selesai keesokan harinya, dia akan mewarnakan kembali rambutnya hitam.

Menurut Fasha, beliau dan suami akan kembali sibuk sehingga bulan Jun bagi memenuhi tawaran berlakon yang sudah diterima awal.

“Alhamdullillah, industri sudah mula kembali normal dan diharap akan berterusan begini tetapi yang penting jaga SOP, “ pesan Fasha.



Anugerah MeleTOP Era  2021 edisi ke-8 (AME 2021), bertemakan ‘Fresh Black Tie’ dengan tagline.‘Yang Epik, Yang Legend’,  yang memberikan kuasa sepenuhnya kepada peminat untuk menentukan pemenang bakal mempertandingkan 15 kategori utama dengan senarai calon Top 5 telah pun diumumkan.

Selain dua kategori yang melibatkan pencalonan Fasha Sandha dan Aidil Aziz, kategori lainnya meliputi ‘Lagu MeleTop ERA’; ‘Penyanyi MeleTop’. ‘Bintang Filem MeleTop’. ‘Drama MeleTop’; ‘Artis Versatil MeleTop’; ‘Personaliti TV MeleTop’; ‘Si Cilik Meletop’; ‘Grup/Duo MeleTop ERA; ‘Filem MeleTop’; ‘Pelakon MeleTop’; ‘Video MeleTop’; ‘Artis Baharu MeleTop’; ‘BBNU MeleTop’; ‘Influencer MeleTop’ dan ‘Program Meletop’,

Acara penuh berprestij ‘AME 2021’ ini akan disiarkan secara langsung pada hari Ahad, 30 Januari 2022 dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di platform Astro Ria (104), Astro 4K UHD (780), Astro Go, OnDemand dan sooka.

Majlis bakal dihoskan oleh pasangan serasi di pentas, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sambil disertai rakan seperjuangan, Sherry Alhadad

Undian fasa ke-2 sudah boleh dibuat secara dalam talian menerusi tiga platform utama iaitu  laman rasmi 'AME 2021' di www.anugerahmeletopera,com.my, laman rasmi ERA di www.era.je, aplikasi SYOK serta melalui kiriman SMS bermula 14 Disember 2021, jam 6 petang hingga 30 Januari 2022 jam 12 tengah hari, - KitaReporters 


11
12
0
5
0

Copy Link: