DUA tahun lepas, Masya Masyitah, 20, popular dengan lagu Halimunan. Kini juara Ceria Popstar musim kedua, kembali dengan single baharu berjudul Hapus. Lagu Hapus, ciptaan sepenuhnya oleh komposer Amy Bong dan susunan muzik oleh Zimi itu telah dirakam pada Februari 2020 lalu dan pelancarannya terpaksa ditangguh kerana pandemik COVD-19. : KitaReporters

Masya Masyitah kembali dengan single Hapus.


“Single ini sebenarnya telah pun dirakamkan pada 18 Februari 2020 lalu dan pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment terpaksa menangguh rangka pelancaran serta kerja promosi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan.

“Alhamdulillah tatkala negara masih lagi berada dalam fasa pemulihan wabak COVID-19, Masya diberikan kesempatan untuk tampil dengan single terbaharu kerana sudah lama rasanya Masya tidak keluar dengan apa-apa lagu baharu, dan ini merupakan permulaan yang baik bagi tahun 2020,” katanya.

Selepas Halimunan, kini Masya Masyitah harap Hapus dapat melonjak namanya.


Penyanyi yang nama penuhnya, Siti Nurmasyith Mohd. Yusoff dan berasal dari Kulim, Kedah itu, berkata, Hapus mengisahkan tentang percintaan dua insan.

“Hubungan yang termeterai sangat indah dan bahagia sehinggalah pada suatu hari lelaki yang dicintainya itu didapati telah curang dengan wanita lain di depan matanya sendiri.

“Sesuatu yang amat perit untuk dilalui, sejak itu dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan tersebut dan cuba menghapuskan segala memori manis mereka bersama. 

"Tidak ada kena mengena dengan Masya,” katanya tentang lagu yang telah dimuat naik di YouTube Rocketfuel Network sejak 17 Julai 2020 lalu.

Ramai yang komen kata lagu Hapus dendangan Masya Masyitah sedap didengar.


Rata-rata yang menonton video muzik Hapus yang menampilkan pelakon Hun Haqeem memberi komen positif dan berpendapat lagu itu sesuai dengan vokal Masya.

“Ini merupakan pengalaman pertama bekerjasama dengan komposer Amy Bong, sewaktu mendengar demo lagu Hapus, ia terus terpahat di ingatan, dan dengan abang Zimi pula ini merupakan kali ketiga bekerjasama dengan beliau.

“Masya berharap agar lagu ini diterima baik dan disukai ramai sebab jalan ceritanya yang sangat menyentuh hati, dan dapat mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menantikan buah tangan terbaharu daripada Masya,” kata penerima anugerah Most Admired Leaders’ di Asia Music Awards 2019 itu.

Tidak lama lagi Masya Masyitah bakal muncul dengan lagu Mandarin.


Sementara itu, Masya juga dijangka akan muncul dengan lagu Mandarin tidak lama lagi. 

Mendendangkan lagu Mandarin bukan masalah kepada Masya kerana beliau adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chio Min.

Lagu Hapus boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman dalam talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music. - KitaReporters

7
1
0
0
1

Copy Link: