Berita Terkini| Pelajar-pelajar Sibu bergilir-gilir ke sekolah! Usaha kekang pandemik Covid-19

Published by
KitaReporters

GAMBAR HIASAN. Kredit foto:- Malaysia Post


Semua sekolah rendah dan menengah di daerah Sibu, Sarawak akan memulakan sistem penggiliran kehadiran bermula 5 April 2021 sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 di sekolah dalam daerah berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr Annuar Rapaee dalam satu kenyataan media melalui laman media sosial pada 3 April 2021.

Menurutnya, langkah itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan dan kesesakan pelajar ketika berada di sekolah dan pada minggu lepas suasana sesak jelas berlaku semasa sesi persekolahan bermula.

“Kita mahu kurangkan jumlah pelajar di sekolah pada satu-satu masa agar tidak terlalu sesak. Murid sekolah rendah bagi Tahun 4, 5 dan 6 akan bersekolah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat, manakala murid prasekolah, tahun 1 hingga 3 bersekolah setiap Selasa serta Khamis.

“Bagi sekolah menengah pula, pelajar Tingkatan 4 hingga 6 akan hadir seperti biasa. Pelajar kelas peralihan dan Tingkatan 3 akan ke sekolah pada minggu pertama serta ketiga sahaja, manakala pelajar Tingkatan 1 dan 2 perlu hadir ke sekolah pada minggu kedua dan keempat.

“Pada hari pelajar tidak ke sekolah, mereka akan ikuti sesi pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” katanya. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: