Blacksand juara kategori senior! Langkawi Beach Soccer Trophy sempena Festival Muzik Air 2026!
Published byPasukan Blacksand muncul juara kategori senior dalam kejohanan Langkawi Beach Soccer Trophy (Piala Bola Sepak Pantai Langkawi) 2026 yang menjadi acara tumpuan sempena Festival Muzik Air 2026 di Pantai Chenang, Langkawi baru-baru ini.

Kejayaan Blacksand menewaskan pencabar lain dalam aksi penuh dramatik menjadikan pasukan itu sebagai perhatian utama sepanjang kejohanan bola sepak pantai yang berlangsung dalam suasana meriah dan mendapat sambutan hangat pengunjung tempatan serta pelancong luar negara.
SHS A muncul naib juara, manakala Lah FC dan FC Pallo masing-masing berkongsi tempat ketiga.
Bagi kategori bawah 12 tahun (B-12), pasukan Permata Lkawi A berjaya merangkul kejuaraan selepas mempamerkan aksi bertenaga dan disiplin tinggi sepanjang pertandingan. Blackhawk ‘B’ muncul naib juara, sementara Padang Matsirat SK dan Permata LKawi C berkongsi kedudukan tempat ketiga.


Selain pertandingan bola sepak pantai, pelbagai acara santai dan rekreasi turut diadakan sepanjang festival tersebut termasuk sukaneka air, pukul bantal, panjat tiang licin, motorsikal lambat, boling pantai serta sepakan penalti pantai.
Pada sebelah malam pula, Pantai Chenang diterangi dengan persembahan permainan api yang memukau pengunjung, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan festival berkonsepkan hiburan dan pelancongan pantai itu.
Festival ini diadakan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 dan dianjurkan oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan sokongan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) serta Pejabat Exco Pelancongan Negeri Kedah.
Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Suhaimi Baharun yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Penganjuran acara berimpak tinggi seperti ini dilihat mampu memperkukuh kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa, selari dengan aspirasi menjayakan TMM 2026. - KitaReporters/Kenyataan Media
