WADAI kipeng menjadi wadah penyatuan Keluarga Malaysia Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan antara guru, ibu bapa dan murid pada program sempena Sambutan Maal Hijrah pada 5 Ogos 2022 lalu.

Idea itu diambil berdasarkan hala tuju SKeSS iaitu Setia, Akademik, Kemenjadian, Ukhuwah (SAKU) untuk mengukuhkan rasa setia dan cinta warga sekolah berkenaan kepada tempat bekerja bagi guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) serta menuntut ilmu bagi murid.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembuatan kuih-muih

Guru dan ibu bapa bekerjasama menyediakan bahan untuk membuat kuih wadai kipeng.


Guru Besar SKeSS, Nor Mahali Mohamad Torman, berkata hala tuju itu akan lebih sempurna jika ibu bapa turut menjadi sebahagian anggota sokongan dalam pelbagai program pembelajaran di sekolah itu khusus untuk memastikan anak-anak mereka menjadi murid cemerlang dan berjaya dalam pelajaran.

Menurutnya, mengambil kesempatan mengadakan sambutan Maal Hijrah itu dia terfikir untuk membuat sesuatu yang mampu menjadi simbolik malah membawa kepada penyatuan serta kerjasama ukhuwah erat antara guru dan ibu bapa dalam menjayakan program sekolah sehingga mampu memberi manfaat serta kesan berpanjangan.

Jelasnya, hasil perbincangan dengan guru akhirnya kami mendapat idea untuk menukarkan kelaziman apabila sebelum itu sering memasak bubur lambuk kini membuat kuih wadai kipeng iaitu makanan tradisional paling popular dalam kalangan penduduk Banjar kebetulan ramai menetap di Kampung Sungai Sireh. 


Kuih wadai kipeng mengambil masa yang lama untuk disiapkan yang dilakukan secara bergorong-royong guru dan ibu bapa SKeSS.


“Kami menjadikan kuih wadai kipeng ini simbolik aspirasi Keluarga Malaysia dalam membina hubungan ukhuwah yang erat dengan penduduk di kampung sekitar sekolah supaya dapat melahirkan rasa tanggungjawab bersama untuk memastikan SKeSS berjaya melahirkan  murid cemerlang setiap tahun,” katanya.

Kuih wadai kipeng diperbuat daripada tepung pulut sebagai bahan utama yang akan dibentuk bulat menggunakan tangan dan ditekan pada bahagian tengah kemudian direbus sehingga masak seakan-akan kuih puteri mandi kerana cara penyediaan hampir sama.

Teksturnya yang kenyal selepas direbus akan dimasak sekali lagi dengan kuah santan yang rasanya lemak manis. 

Kuih wadai kipeng ini juga boleh dimasak dengan gula merah atau gula putih yang kedua-duanya mempunyai rasa enak tersendiri serta boleh dihidangkan sejuk atau panas.


Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh (SKeSS), Tanjung Karang, Selangor bergotong-royong bersama ibu bapa memasak kuih wadai kipeng pada program sempena Sambutan Maal Hijrah pada 5 Ogos 2022.


Nor Mahali berkata, penyediaan bahan kuih wadai kipeng dikumpul secara bersama-sama antara guru, ibu bapa termasuk mereka dalam kalangan guru serta kakitangan yang sudah bersara apabila menunjukkan keprihatinan untuk turut serta menjayakan sambuitan Maal Hijrah dan memasak kuih itu.

Tambahnya, masing-masing memberi sumbangan wang tunai dan bahan yang diperlukan untuk membuat kuih wadai kipeng yang kemudian dibuat secara bergotong-royong di halaman sekolah daripada peringkat penyediaan rencah hinggalah masak sebelum diagihkan kepada warga SKeSS, ibu bapa dan murid untuk dibawa pulang.


Guru dan ibu bapa SKeSS memasukan kuih wadai kipeng ke dalam bekas plastik untuk diagihkan kepada murid.


Menurutnya, dia berasa amat terharu apabila melihat jalinan kerjasama yang erat serta mesra khusus antara guru dan ibu bapa dalam penyediaan kuih wadai kipeng disamping memberi pandangan positif kerana menyukai program sebegini selain ada ibu bapa memaklumkan kali pertama merasai kuih tradisional itu.

“Program Maal Hijrah ini diadakan supaya murid dapat berhijrah daripada yang sedia ada kepada lebih cemerlang kerana mereka adalah generasi bakal pewaris negara dan kuih wadai kipeng pula menjadi wadah memupuk serta mengukuh ukhuwah guru dan ibu bapa dalam aspirasi Keluarga Malaysia,” ujar beliau. - KitaReporters


Nor Mahali mengagihkan kuih wadai kipeng kepada murid untuk dinikmati bersama keluarga.

25
11
0
12
0

Copy Link: