Siti Nurhaliza di Times Square New York! Kembali curi tumpuan global! Wajah kempen Spotify Equal!
Published byPengiktirafan global terus memihak kepada legenda muzik tanah air apabila Dato Seri Siti Nurhaliza sekali lagi mencuri perhatian pentas antarabangsa.

Biduanita Negara itu diumumkan sebagai wajah kempen Spotify Equal bagi pasaran Malaysia dan Singapura untuk edisi Mac 2026 di sebuah papan iklan gergasi di Times Square New York, Amerika Syarikat, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara ikon paling berpengaruh di Asia Tenggara.
Pemilihan tersebut menandakan kali kedua beliau diberi kepercayaan menggalas peranan berprestij itu, satu pencapaian yang bukan sahaja signifikan dari sudut peribadi, malah mencerminkan pengiktirafan berterusan terhadap kualiti seni yang dibawanya.
Mengulas mengenai pencapaian ini, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diterima.
“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki ini. Terpilih sebagai wakil Spotify Equal Singapore & Malaysia merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat saya,” ujar beliau.
Sebagai figura wanita berpengaruh, beliau melihat pencapaian ini sebagai satu representasi buat semua anak seni wanita di rantau ini.
“Ini bukan sekadar kejayaan individu, tetapi satu mesej bahawa suara wanita mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan peminat di Malaysia, Singapura dan seluruh dunia,” tambah beliau, sambil merakamkan penghargaan kepada Spotify atas usaha berterusan dalam memperkasakan wanita melalui muzik.
Menurut beliau lagi, pengiktirafan ini menjadi bukti bahawa muzik tidak mengenal batas usia mahupun tempoh masa.

Dalam era digital yang berkembang pesat, pemilihan beliau sebagai wajah kempen yang memperkasakan wanita membuktikan bahawa karya yang berkualiti kekal relevan dan dihargai dalam platform penstriman global.
Menurut Siti, penghormatan yang diterima hadir bersama tanggungjawab besar untuk terus memperjuang suara wanita pada peringkat global.
Beliau meluahkan rasa syukur atas peluang yang diberikan dan menyifatkannya sebagai platform penting untuk mengetengahkan bakat serta karya wanita dari rantau ini kepada khalayak lebih luas.
Dalam perkembangan sama, beliau tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pandangan kepada generasi baharu yang sedang mengorak langkah dalam industri muzik.
Beliau menegaskan bahawa meskipun kandungan tular sering menjadi penanda aras populariti masa kini, pemilihan oleh Spotify membuktikan bahawa muzik berkualiti tetap mempunyai nilai tersendiri dan mampu bertahan merentas masa serta generasi.
“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti. Identiti yang kuat dan disiplin dalam menjaga vokal akan memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” jelas beliau.
Siti turut mengingatkan bahawa industri muzik sentiasa berubah, dan artis perlu bijak menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta trend semasa tanpa melupakan asas seni mereka.
Selain itu, sikap positif dan ketahanan diri juga katanya amat penting dalam menghadapi cabaran industri.

Mengakhiri perkongsian, Siti juga mengingatkan bahawa sokongan peminat merupakan tunjang utama kepada perjalanan seseorang artis, justeru hubungan yang baik perlu sentiasa dipelihara bagi memastikan legasi yang dibina terus relevan dan bermakna.
“Hargai peminat anda kerana tanpa mereka, kita tidak akan berada di mana-mana,” pesannya.
Tidak syak lagi, pemilihan Siti atau lebih mesra di sapa Tok Ti sebagai wakil Spotify Equal Singapore & Malaysia sekali lagi membuktikan pengaruh dan relevansi beliau sebagai ikon muzik serantau, serta menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus berkarya dan mengangkat suara wanita dalam industri muzik. - KitaReporters
