SEBAIK kaki melangkah memasuki galeri utama penganjuran Orkid Putrajaya 2023, hati teruja dan terasa seperti berada di dunia lain apabila melihat di kiri kanan terdapat lebih 600 anggerik berwarna warni malah ada spesies unik yang jarang ditemui di negara ini.

Penganjuran yang julung kali diadakan itu membolehkan pengunjung menimba satu pengalaman baru yang memukau kerana dapat melihat di depan mata ratusan orkid berwarna warni dan ada yang mencecah harga puluhan ribu ringgit. Tidak hairanlah sejak jam 8 pagi, Taman Botani, Presint 1, Putrajaya sudah diserbu peminat orkid dari seluruh negara.

Festival anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu yang bertema, "Pesona Anggerik" itu memberi peluang pengunjung menyaksikan pameran orkid antarabangsa yang disertai 9 negara, antaranya Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Vietnam, Brunei, Thailand dan Jepun.

Siapa tidak teruja melihat warna warni anggerik yang mempesona dan memukau.


Bagi memudahkan pengunjung bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan selesa, Perbadanan Putrajaya menyediakan beberapa komponen tema taman, antaranya Vertical Wall, Orchid Mountain, Orchid Canopy Bridge, Petunia Tower dan Mokara Mural.

Di galeri tertutup juga, pengunjung dapat melihat lebih 20 jenis orkid VVIP yang dinamakan sempena kerabat diraja dan orang kenamaan, antaranya Orkid Papillonanda Sultan Idris Shah, Holttumara Tuanku Zara, Renanthera Kalsom dan Phalaenopsis Do Bru Queen Saleha.

Paling mencuri tumpuan ialah sejenis spesies hibrid orkid baharu, Dendrobium Dr Wan Azizah, sempena nama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Ia diumumkan pada majlis perasmian Orkid Putrajaya 2023.

Turut hadir, Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Noridah Abdul Rahim.

Gadis dan bunga memang tidak dapat dipisahkan di Orkid Putrajaya 2023.


Hibrid orkid itu dikatakan didaftarkan dengan persatuan Royal Horticultural Society (RHS), London. Ia dihasilkan daripada kacukan Dendrobium Penang Little Magic sebagai induk betina dengan Dendrobium Seah Koko sebagai induk jantan.

Pengarah Komunikasi Korporat, Perbadanan Putrajaya (PPj) TPr Norzita Abdul Razak dalam kenyataan sempena majlis perasmian Orkid Putrajaya 2023 oleh Dr Wan Azizah, berkata hibrid orkid baharu ini mengeluarkan bunga berlatarkan warna coklat dan lima sepal berbentuk keriting dengan labellum bunga berwarna coklat kemerahan dengan warna putih di tengah.

"Setangkai spesies bunga berkenaan boleh mengeluarkan 15 hingga 20 kuntum bunga yang mampu bertahan lebih sebulan di pokok.

"Keratan bunganya bertahan lebih dua minggu dan hibrid ini amat sesuai digunakan sebagai bunga pameran dan hiasan kerana keunikan bentuk bunga yang kerinting dan rajin berbunga," katanya.

Orkid Papillonanda Sultan Idris Shah antara 20 spesies orkid yang ditempatkan di Galeri Orkid VVIP.


Beliau berkata, Orkid Putrajaya 2023 yang berlangsung selama tujuh hari bermula 14 Disember 2023 menyajikan pameran pelbagai spesies orkid khas untuk penggemar bunga-bungaan di negara ini dan menyasarkan kehadiran 100,000 pengunjung sepanjang program itu.

"Orkid Putrajaya 2023 diadakan sempena cuti sekolah ini bagi membolehkan orang ramai membawa keluarga, saudara mara dan rakan-rakan ke pameran tersebut dan kemasukan adalah percuma.

"Festival ini juga mahu memperkenal dan mempamerkan koleksi spesies orkid khas, jarang ditemui dan unik yang terdapat di Malaysia," katanya.

Dr Wan Azizah Wan Ismail tertarik melihat pokok bonsai yang dipamerkan sempena Orkid Putrajaya 2023.


Sempena Orkid Putrajaya 2023, penganjur turut mengadakan pameran bonsai. Ia sebagai "showcase" sebelum Pameran Bonsai Sedunia ke-10 yang akan diadakan di Pavillion Bukit Jalil dari 28 hingga 31 Ogos 2026 nanti.  

Orkid Putrajaya 2023 turut mempertanding 12 kategori Pertandingan Orkid yang mempertaruhkan lima anugerah merangkumi 16 trofi kejuaraan iaitu Grand Champion, Runner Up, Best Species, Best Malaysian Hybrid serta Best In Section.

Dalam masa sama, Pertandingan Terrarium yang bertemakan Pesona Alam turut diadakan dengan 20 penyertaan jemputan bagi kategori terbuka iaitu sekolah-sekolah menengah di Putrajaya serta rakan perkongsian pintar seperti Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Fakulti Reka Bentuk & Sen Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) dan KrisPutra. 

Juara bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan trofi; tempat kedua RM750, RM500 di tempat ketiga, sementara tempat keempat hingga kelapan menerima anugerah merit RM250. Masing-masing turut menerima sijil penyertaan.


Dr Wan Azizah tertarik dengan orkid yang diberikan sempena namanya, Dendrobium Dr Wan Azizah.


Inilah orkid yang mencuri tumpuan pengunjung sempena Orkid Putrajaya 2023, Dendrobium Dr Wan Azizah.


Anda lapar? Usah bimbang kerana ada 40 gerai di kawasan jualan makanan dan minuman dikenali Coffee Village@Orkid Putrajaya. Anda boleh menikmati pelbagai  jenis kopi, Nasi Daging Danok, Apam Balik Seri Menanti, Yong Tau Foo, Kopi Gantung Perlis, Mojito, Kopi Jepun, keropok lekor, kambing panggang, doki-doki selain 10 food truck di kawasan bersebelahan.

Jika mahu membeli belah, penganjur menyediakan 27 lot gerai jualan Garden Bazaar terdiri daripada jualan orkid, air plant, hoya, fern, aeroid, cactus dan succulent serta tanaman landskap lain seperti ros, bunga raya, pokok buah, heliconia, buah nadir dan baja.

Untuk kanak-kanak, jangan lepaskan peluang menyertai pertandingan mewarna pada 16 dan 17 Disember 2023 selain persembahan busker dan perkhidmatan Water Taxi & Cruise yang disediakan dengan harga tiket promo sehingga 40 peratus. 


Taman Botani lokasi penganjuran Orkid Putrajaya 2023.


Bagi memudahkan orang ramai ke Taman Botani dan mengelak kesesakan lalu lintas, NadiPutra Putrajaya menyediakan perkhidmatan bas perantara secara percuma dari jam 7.45 pagi hingga 10.30 malam setiap hari.

Antara lokasinya ialah di Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Parkir Awam Taman Putra Perdana, Parkir Awam Laman Perdana dan Parkir Dataran Putra.  

Bagi melengkapkan kemudahan sempena Orkid Putrajaya 2023, pasukan sukarelawan khas dari Yayasan Sukarelawan Siswa, KPN dan Ekorelawan UKM bersedia membantu jika anda menghadapi sebarang masalah sepanjang di Taman Botani, Putrajaya.

Orang ramai boleh layari media sosial Facebook @Perbadanan Putrajaya; Twitter @putrajayacorp; Instagram, YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Orkid Putrajaya 2023. - KitaReporters


Pengunjung boleh membeli belah pelbagai jenis orkid dan tanaman lain termasuk baja.


Pelbagai jenis bunga-bungaan yang kelihatan seperti hamparan permaidani di Orkid Putrajaya 2023.

18
10
0
13
0

Copy Link: