Dalam landskap muzik yang sering dipenuhi susunan padat dan bunyi kompleks, MonoloQue mengambil langkah berani dengan memilih “diam” sebagai elemen utama dalam karya terbaharunya apabila mengumumkan pelancaran semula single “Pujaan Hatiku” dalam versi yang lebih minimalis dan introspektif.




Menariknya, lagu ini bukanlah sebuah karya baharu. “Pujaan Hatiku” pernah diperkenalkan lebih sedekad lalu sebagai runut bunyi filem ‘Kami Histeria’ arahan Shamyl Othman, dengan nyanyian asal oleh kumpulan Histeria. 

Dicipta dan diterbitkan oleh Khairil Ridzwan Anuar atau Loque, lagu ini kemudiannya “disimpan” sebelum dipilih untuk diberi nafas baharu dalam projek MonoloQue.

Versi terbaharu ini menyaksikan perubahan ketara dari segi susunan muzik apabila Loque memilih untuk menanggalkan hampir keseluruhan lapisan bunyi asal. 

Tanpa penggunaan dram, lagu ini hanya digerakkan oleh gitar akustik, piano dan synthesizer, sekali gus mencipta ruang bunyi yang lebih terbuka dan emosional.



Pendekatan tersebut menghasilkan suasana yang lebih gelap dan suram, namun tetap dihiasi nuansa romantik gothic yang mengimbau era 80-an. 

Eksperimen ini bukan sahaja memberikan identiti baharu kepada lagu berkenaan, malah meletakkannya sebagai antara karya paling berbeza dalam katalog MonoloQue setakat ini.

Dari sudut penulisan, kekuatan lagu ini turut terserlah menerusi liriknya yang bersifat kiasan dan terbuka kepada pelbagai tafsiran. 

Loque mengekalkan pendekatan metafora berlapis, membolehkan pendengar memahami lagu ini sama ada secara literal atau simbolik, bergantung kepada pengalaman dan emosi mereka.

Gaya ini mengingatkan kepada karya 'Mati Hidup Kembali' oleh Butterfingers yang turut dikenali dengan kedalaman makna di sebalik liriknya.




Dalam acuan MonoloQue, lagu ini tidak sekadar diolah semula, tetapi dibentuk sebagai sebuah karya baharu yang berdiri sendiri. Elemen muzik rakyat yang disuntik dalam susunan minimal ini menghasilkan kontras unik -- kecil dari segi bunyi, tetapi besar dari segi rasa dan impak.

Ini adalah bukti bahawa sesebuah lagu yang baik tidak pernah benar-benar selesai. Ia hanya menunggu tangan yang tepat untuk membawanya ke destinasi seterusnya. 

“Pujaan Hatiku” versi MonoloQue dijangka dilancarkan dalam masa terdekat dan akan  tersedia dalam pelbagai platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. 

Untuk rekod, ditubuhkan pada 2009 oleh Loque, MonoloQue terus dikenali dengan pendekatan muzik eksperimental dan lirik puitis. 

Selepas pandemik, kumpulan ini memperkenal evolusi “Bunyi Baru” dengan gabungan elemen gitar oleh Harry ‘Misteri’ serta rentak gendang yang dihidupkan semula oleh Loko, sekali gus  merombak lanskap bunyi mereka ke era bahAru yang lebih segar dan relevan. - KitaReporters


Lagu Pujaan Hatiku' versi 10 tahun lalu dinyanyikan Diana Danielle bagi OST filem 'Kami Histeria'.

 

7
14
0
8
0

Copy Link: