Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) terus komited menyediakan fasiliti terbaik bagi menggalakkan warga kota mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif melalui aktiviti rekreasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, usaha itu penting memandangkan komuniti pelari di ibu negara semakin berkembang dan memerlukan sokongan infrastruktur yang kondusif.

Sebahagian peserta memperagakan kasut jenama Kiprun.
Menurut beliau, penyediaan laluan larian, kawasan riadah serta program komuniti seperti 'Car Free Sunday' menjadi antara inisiatif berterusan bagi memastikan orang ramai mempunyai ruang selamat untuk beriadah.
“Larian adalah aktiviti paling mudah dan kos rendah kerana tidak memerlukan kemudahan khusus, namun aspek keselamatan dan keselesaan tetap perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya di Decathlon KL City Center, Kuala Lumpur pada Sabtu, 28 Mac 2026.
Beliau berkata demikian sempena pelancaran rekaan baharu kasut jenama Kiprun oleh Decathlon Malaysia serta penganjuran Larian Kiprun yang berlangsung di KLCC Square pada Ahad, 29 Mac 2026.
Acara tersebut melibatkan tiga kategori iaitu tiga kilometer (km), 6.5km dan 10km turut mencatat sambutan menggalakkan apabila lebih 6,500 peserta mendaftar dalam tempoh singkat, sekali gus mencerminkan minat tinggi masyarakat terhadap aktiviti larian.
Pelancaran tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Decathlon Malaysia, Jiao Li dan Pengarah Jenama Kiprun Global, Anthony Dulieu.

Hannah Yeoh (tengah) memotong riben sebagai simbolik pelancaran Larian Kiprun 2026.
Hannah turut menegaskan bahawa fasiliti dan aktiviti rekreasi amat penting dalam menangani isu obesiti di Wilayah Persekutuan yang dilihat semakin membimbangkan.
“Inisiatif ini amat penting kerana tahap obesiti di Wilayah Persekutuan adalah yang tertinggi di Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa pelbagai program tambahan akan diperkenal termasuk kelas sukan untuk kanak-kanak di Putrajaya bagi memastikan golongan muda turut terlibat dalam aktiviti sihat.
“Di Putrajaya pula, kami akan mula menyediakan kelas-kelas sukan untuk kanak-kanak. Inisiatif ini unik kerana kebanyakannya adalah anak-anak penjawat awam.
“Jika ibu bapa mereka bekerja pada hujung minggu, anak-anak mungkin tiada masa untuk bersukan. Justeru, Perbadanan Putrajaya akan melancarkan program ini dalam masa terdekat,” ujar Hannah.

Hannah Yeoh (kanan, depan) meninjau jenama kasut Kiprun, produk terbaharu Decathlon Malaysia.
Jenama Kiprun yang berasal daripada frasa 'Keep Running' membawa misi menggalakkan masyarakat terus bergerak secara konsisten, selaras dengan slogan globalnya 'More Runs, More Life' yang menekankan nilai setiap langkah larian.
Pelancaran ini turut bertujuan mendekati pelari daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, sama ada golongan baharu yang ingin memulakan gaya hidup sihat mahupun pelari berpengalaman.
Malaysia turut dipilih sebagai lokasi pelancaran pertama Kiprun di rantau Asia Pasifik, dengan Kuala Lumpur menjadi pilihan utama berikutan keunikan bandar raya itu yang kaya dengan kepelbagaian budaya serta komuniti aktif.
Kiprun bertujuan menghimpunkan komuniti untuk merasai semangat 'More Runs. More Life.' sambil mengamalkan gaya hidup aktif.
Fokus Decathlon Malaysia adalah untuk membina kepercayaan, keyakinan dan hubungan jangka panjang bersama komuniti, sekali gus memperkukuh penyertaan masyarakat dalam aktiviti gaya hidup sihat. - KitaReporters