Abdul Rahman Mat Dali.


MANA ada sebuah filem Melayu yang boleh menewaskan filem block buster ‘Hollywood’ seperti antaranya ‘Minions’, ‘Jurassic World: Dominion’ mahu pun ‘Top Gun: Maverick’ yang  ditayangkan di pawagam tempatan selain filem ‘Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan’.

Filem terbitan Studio Kembara itu sesungguhnya menjadi penanda aras kebangkitan filem tempatan sehingga kini menjadi sebutan pada bibir-bibir semua golongan sehingga disebut Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad sebagai sebuah filem baik yang akan menjadi amal jariah kepada penerbit dan seluruh team produksi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan filem Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan

Throwback.... Idris Ahmad didampingi pelakon 'Mat Kilau'. - Kredit foto: Harakah Daily.


Mat Kilau telah membangkitkan semangat jati diri Islam malah sering dijadikan contoh semangat penerbit-penerbit filem atau individu tertentu dalam ucapan mereka. 

Tiada siapa menjangka sebuah filem sulung daripada syarikat yang pertama kali berkecimpung dalam dunia perfileman perdana mampu menaikkan nama Studio Kembara pada tahap setanding syarikat perfileman utama yang dah bertahun-tahun terbitkan filem.



Itulah rezeki Allah swt dan hikmah di sebalik pandemik COVID-19 di mana Mat Kilau memperoleh slot tayangan tepat pada waktunya ketika penonton dahagakan sebuah filem ditonton di pawagam dan terbukti filem arahan pertama kalinya juga bagi Syamsul Yusof mengarah sebuah filem epik bersejarah mendapat sambutan sehingga mencecah kutipan hampir RM100 juta.


Team Mohamed Fahmy menerima 'mock cek' RM10,000 daripada Abdul Rahman dan Shahrudiin (kanan) baru-baru ini.


Terkini, ‘amal jariah’ yang dibayangkan oleh Idris Ahmad menepati tekaannya malah janji penerbitnya, Abdul Rahman Mat Dali selaku Pengarah Urusan Studio Kembara dikotakan apabila pelakon dan team produksi akan diberikan imbuhan atas kejayaan yang diraih. 

“Sebelum mengagihkan imbuhan kepada barisan pelakon utama, saya akan terlebih dahulu membawa pelakon mengerjakan umrah pada bulan November ini,” ujar Abdul Rahman ketika ditemui pada majlis Studio Kembara Bersama Media’ yang berlangsung di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini. 

Khabarnya antara artis yang sudah memberikan persetujuan adalah Shaharuddin Thamby (Dato Bahaman) dan Geof Andre Feyaerts yang berlakon sebaga Kapten Syers.



Majlis yang dihadiri penerbit bersama, Shahrudin Mat Dali dan Ismail Mat Dali selaku Pengurus Pemasaran Studio Kembara turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang peraduan Parodi Mat Kilau - Kebangkitan Pahlawan yang menerima hadiah wang tunai dari RM10,000 (pertama), RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (tempat ketiga) sementara sepuluh finalis lain menerima sagu hati RM1,000 setiap seorang. 


.

Tempat pertama peraduan parodi 'Mat Kilau' dimenangi oleh Mohamed Fahmy Noor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000.


Berkongsi perancangan filem kedua, Abdul Rahman memberitahu bakal menghasilkan prekuel Mat Kilau dengan menampilkan barisan pelakon serta pengarah baharu.

“Studio Kembara tidak mahu berpegang kepada seorang pengarah dan pelakon sama tetapi mahu memberi peluang kepada pelakon lain yang pasti tidak kurang hebatnya,” ujar Abdul Rahman memberi bayangan pengarah Syamsul Yusof mahu pun pelakon utamanya seperti Adi Putra mahu pun Beto Kusyairy tidak lagi akan ditonjolkan.

Lagi pun tambah Abdul Rahman, watak Adi Putra sebagai Mat Kilau tidak diperlukan dalam sekuel filem terbaharu berkenaan.

Masih merahsiakan pengarah dan barisan pelakon, Abdul Rahman memberi keyakinan karyawan yang dipilih tidak kurang terkenal dan hebat dalam bidang masing-masing.



“Tunggulah, apabila semua kontrak sudah ditandatangani dan selesai saya akan umumkan,” tambahnya sambil menafikan timbul sebarang konflik antara beliau dan Syamsul Yusof atau Adi Putra serta barisan pelakon lain.

Jelasnya, tiada istilah berkecil hati atau ‘bertelagah’ antara mereka cuma kesibukan tugas hariannya memaksa mereka lama tidak berkomunikasi.

"Masing-masing profesional dan sibuk, faham sahajalah,” ujar Abdul Rahman sambil memberitahu penggambaran filem sekuelnya akan bermula pada awal tahun hadapan jika tidak akhir tahun ini,

Sementara itu, Abdul Rahman turut mengumumkan akan memberi sumbangan dua mesin dialisis untuk kegunaan masyarakat sebagai tanggungjawab sosial korporatnya sebelum imbuhan selanjutnya diagihkan kepada pasukan kerja filem ‘Mat Kilau’. - KitaReporters


Pemenang-penangan bergambar kenangan. 

6
5
0
13
0

Copy Link: