Lagu “Give Me Your Forever” nyanyian penyanyi Filipina, Zack Tabudlo tiba-tiba menarik perhatian apabila dikaitkan secara langsung dengan momen pertunangan Bella Astillah bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sekali gus mencetuskan fenomena baharu dalam kalangan peminat muzik dan pengikut pasangan tersebut.




Lagu balada romantik itu dipilih sebagai latar dalam video pertunangan yang dikongsikan, menjadikan suasana lebih menyentuh emosi dan bermakna. 

Pemilihan “Give Me Your Forever” dilihat cukup sinonim dengan detik penting itu, malah pantas menarik perhatian ramai sehingga lagu berkenaan kembali tular di platform media sosial.

Lebih menarik, Zack Tabudlo sendiri turut mengucapkan tahniah kepada pasangan ini menerusi media sosial waima menguatkan lagi kaitan istimewa antara lagu tersebut dengan kisah cinta Bella dan Syed Saddiq. 

Reaksi penyanyi itu turut mencuri perhatian peminat, selain menyumbang kepada peningkatan populariti lagu berkenaan dalam kalangan pendengar di rantau ini.


Zack mengucapkan tahniah kepada Syed Saddiq dan Bella Astilah dalam platform Instagramnya sehingga lagunya 'Give Me Your Forever' yang diterbitkan kira-kira lima tahun lalu tular kembali.



Untuk makluman mereka yang baharu sahaja mendengar nama penyanyi ini, Zack merupakan antara nama besar dalam industri Original Pilipino Music (OPM) yang pernah mencipta kejayaan luar biasa menerusi lagu “Binibini” yang mendominasi carta Spotify selama enam minggu berturut-turut serta tersenarai dalam carta Global Viral selama empat minggu.

Kejayaan tersebut turut membawanya ke pentas antarabangsa apabila wajah dan karyanya dipaparkan di papan iklan ikonik di Times Square, New York, sekali gus mengukuhkan lagi pengaruhnya pada peringkat global.

Pada penghujung tahun 2021, Zack melancarkan album sulungnya, “Episode,” yang terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik, menampilkan lagu-lagu hit termasuk “Give Me Your Forever” dan “Habang Buhay.” 

Kejayaan itu diteruskan pada 2022 apabila ‘Pano’ mencipta sejarah sebagai lagu paling lama berada di kedudukan #1 carta Top 50 Filipina selama 455 hari, selain menembusi carta Spotify Top 200 di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, UAE dan Vietnam.

Menariknya, sekitar tiga tahun lalu, Bella Astillah pernah membuat cover lagu 'Pano', yang sekali lagi mengaitkan perjalanan seni beliau dengan karya Zack. 



Kini, dengan “Give Me Your Forever” menjadi lagu latar kepada detik pertunangannya, karya tersebut dilihat semakin mendapat tempat di hati peminat dan berpotensi menjadi simbol istimewa dalam perjalanan cinta pasangan ini.

Lagu itu juga terus meraih perhatian apabila tular dalam pelbagai versi termasuk parodi oleh ERA Sarawak, membuktikan impaknya yang meluas dalam media sosial dan platform penstriman digital. 

Tidak mustahil, lagu ini akan terus menjadi simbol istimewa dalam perjalanan cinta pasangan yang digelar 'BASS' ini. -  KitaReporters


16
13
0
15
0

Copy Link: