Kumpulan legenda era 90-an, Umbrella, bakal mencipta sejarah tersendiri apabila memilih untuk membawa peminat melayari memori silam menerusi gabungan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam 'Konsert Seribu Rahmat Umbrella' yang dijadualkan berlangsung pada 6 Jun 2026. 


 



Bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), persembahan ini menandakan satu transformasi berani buat kumpulan tersebut dalam menyatukan elemen muzik klasik bersama inovasi digital masa kini.

Penganjuran yang diterajui Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP) ini bermatlamat untuk merapatkan jurang antara tiga generasi peminat yang berbeza, daripada golongan dewasa yang membesar dengan lagu-lagu puitis era 90-an sehinggalah generasi muda yang mendominasi platform digital.

Selain Umbrella yang menjadi tunjang utama, kehadiran penyanyi vokal ikonik Zamani Slam serta kumpulan Floor 88 dilihat sebagai strategi ampuh bagi menarik minat golongan sasaran terbabit.



Langkah PBPRP memilih UUM sebagai lokasi konsert turut membawa mesej penting dalam usaha desentralisasi industri kreatif negara. 

Dengan membawa acara bertaraf tinggi ke wilayah utara, penganjur membuktikan bahawa fasiliti di luar Kuala Lumpur mampu menawarkan kualiti persembahan yang setaraf dengan dewan konsert terkemuka. 

Kedudukan strategik Sintok juga dijangka menjadi pusat tumpuan bagi peminat setia dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara, malah sehingga ke selatan Thailand.

Sepanjang tempoh dua jam 30 minit, penonton akan dihidangkan dengan rangkaian 20 buah lagu hit yang merangkumi pelbagai emosi. 


'Ramalanku Benar Belaka" versi 2013.


Umbrella dijangka memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu 'Ramalanku Benar Belaka' dan 'Bukalah Hatimu', sementara Zamani bakal membangkitkan suasana syahdu melalui 'Gerimis Mengundang' dan 'Kembali Terjalin'. 

Menambah dinamik persembahan, Floor 88 akan menggegarkan dewan dengan lagu rancak mereka seperti 'Hutang' dan 'Chikadun.'

Vokalis Umbrella, Zarul Husin, mengakui penglibatan mereka dalam konsert ini mempunyai nilai sentimental yang cukup mendalam. 

Selain faktor pemain bes mereka yang merupakan warga kerja UUM, pemilihan lagu bagi konsert ini juga dibuat dengan teliti daripada album 'Seribu Rahmat' dan 'Hujan Panas'. 

“Ini merupakan kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bes kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut. 

“Kami bakal mempersembah kira-kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas

"Ia benar-benar sebuah perjalanan nostalgia, malah ketika sesi latihan, saya sendiri merasai emosi yang mendalam kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu tersebut,” ujar Zarul.


Zarul (tengah) bersama anggota kumpulannya. Umbrella.


Zarul menyifatkan persembahan ini sebagai satu 'perjalanan' yang merangkumkan jatuh bangun seni mereka sejak awal 90-an, termasuk kemungkinan menyelitkan karya daripada album 'Payung Sakti' serta segmen solo beliau sendiri.

“Kami mahu penonton merasai satu ‘perjalanan’. Lagu-lagu yang dipilih adalah yang cukup dekat di hati peminat tegar. Ini adalah hadiah buat mereka yang setia menyokong kami sejak awal 90-an,” jelasnya.

Salah satu daya tarikan utama yang paling dinantikan adalah penggunaan AI bagi mengolah semula rakaman arkib dan video di sebalik tabir perjalanan seni Umbrella. 

Paparan digital ini bertujuan memberikan perspektif baharu kepada peminat mengenai sejarah kumpulan tersebut yang jarang didedahkan sebelum ini. 

Kehebatan vokal dan susunan muzik bagi malam tersebut turut mendapat sentuhan komposer tersohor, Dr Azmeer, yang bertindak selaku penerbit kreatif bagi memastikan kualiti audio berada pada tahap tertinggi.

Projek mega yang melibatkan lebih 150 petugas tempatan ini secara tidak langsung dijangka akan merancakkan ekonomi kreatif di Kedah dan Perlis. - KitaReporters


12
15
0
12
0

Copy Link: