Sekitar dewan pameran yang mempamerkan ratusan karikatur kartunis tempatan.


APA aktiviti anda pada hujung minggu ini? Jika belum ada sebarang perancangan, apa kata anda kunjungi Pameran Kartun Seiring Sejalan di pusat beli belah, Fahrenheit88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pameran anjuran Jabatan Arkib Negara Malaysia (ANM) dengan kerjasama Rumah Kartun & Komik Malaysia sudah bermula sejak 11 Ogos 2023 dan dijangka berakhir 30 September 2023. Pameran yang dibuka jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.



Koordinator Pameran berkenaan, Mohd Safwan Mohd Ariffin (Kartunis Pauh), berkata, lebih 50 kartunis dan penggiat animasi mengambil bahagian termasuk tokoh kartunis Datuk Lat, Jaafar Taib, Hassan Mutalib dan Imuda.

Beliau berkata, sambutan orang ramai amat baik apatah lagi hujung minggu diadakan aktiviti seperti bengkel dan kelas melukis kartun, melukis komik, membina watak dalam penceritaan, asas animasi, cara menggunakan tablet untuk melukis, bengkel melukis dan menghafal bersama ustaz kartun, jualan barangan berkaitan kartun dan komik.

"Jadi, jangan lepaskan peluang membawa anak-anak untuk pertandingan mewarna dan bertemu artis komik tanah air pada 16 September (2023) ini.

"Selain itu, sempena Hari Malaysia 16 September ini, penganjur akan mengadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan beberapa artis komik akan melancarkan komik mereka, antaranya Rosh, Fairul, Niezam, Gecko, Firdaus dan Adi," katanya. 


Mohd Safwan Mohd Ariffin


Pameran Kartun Seiring Sejalan ini dibahagi kepada dua bahagian, pertama menceritakan bagaimana kartun berperanan dalam sejarah kebangkitan tanah air sehingga tercetusnya idea kemerdekaan. 

Selain itu, kartunis pada masa itu memberi gambaran kepada masyarakat mengenai Malaysia sekitar tahun 1900 hingga 1963.

"Segmen kedua membabitkan karya semasa terdiri daripada kartun, komik, ilustrasi dan animasi tempatan yang ada antaranya menembusi pasaran antarabangsa," katanya. 


Kartunis Deen turut ambil bahagian dalam Pameran Seiring Sejalan di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.


Ayuh, kita beramai-ramai menyokong kartunis tempatan sempena Pameran Kartun Seiring Sejalan. 

Jika anda tidak mahu menggunakan kenderaan sendiri, perkhidmatan bas, teksi, monorel dan MRT memudahkan perjalanan ke sini.

Jika menggunakan MRT, turun di stesen Bukit Bintang. Lepas tu berjalan kaki kira-kira 100 meter ke tempat pameran. Memang mudah dan berbaloi. - KitaReporters

16
12
0
10
0

Copy Link: