SEJAK dunia hiburan masa kini disogok dengan penyanyi generasi baharu atau Budak Baru Nak Up (BBNU), sudah lama kita tidak mendengar nama penyanyi angkatan lama seperti, Siso, salah seorang daripada tiga anggota kumpulan Kopratasa.

Lebih popular dengan panggilan Siso Kopratasa bersama rakan anggota Sani Sudin dan Usop @ Mohd Yusof Ahmad, mereka  merupakan kumpulan yang terkenal dengan persembahan lagu-lagu berunsur puisi, rakyat, ketuhanan dan masyarakat antaranya seperti ‘Masihkah Kau Ingat’ dan ‘Permata Buat Isteriku’.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan penyanyi


Sebagaimana tajuk lagunya ‘Masihkah Kau Ingat’ siapa Kumpulan Kopratasa (gambar atas) yang sudah lama menyepi daripada radar muzik perdana di mana album terakhir mereka ‘Kopratasa Masih Bertiga’ dihasilkan pada tahun 2006.

Pun begitu, terbaharu kemunculan Siso atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar dengan membawa single solo bertajuk ‘Alif’ barangkali petanda Kopratasi akan kembali selepas ini.

Sebenarnya, ‘Alif’ bukanlah sesuatu yang dirancang oleh Siso tetapi aturan Yang Maha Esa jua apabila dipertemukan dengan penulis lirik, Alim Gutrah pada Julai 2020 ketika mereka bersama berada di majlis konsert mini amal untuk mengutip dana kepada Pertubuhan Kebajikan Pondok Motivasi akibat tiga bulan tidak  boleh beroperasi ketika PKP 1.0 lalu.

Perkenalan yang tidak dirancang itu membuka hati Siso menerima pelawaan Alim Gutrah untuk mencipta sebuah lagu daripada lirik yang dihasilkan.

Sehubungan itu, memikirkan sudah lama Siso tidak mempunyai lagu solo, hajat Alim Gutrah disambut dengan hati lapang lantas memberikan nafas melodi dan gubahan muzik yang segar pada lagu menepati liriknya.



Dan menariknya lirik Alim Gutrah pada lagu ‘Alif’ diilhamkan setelah membaca Kitab Tafsir Al-Azhar tulisan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau lebih dikenali sebagai Hamka. 

Alim mengambil masa selama 5 minit untuk membina ruang jejak keseluruhan pengisian lirik setelah teruja dengan kehebatan Buya Hamka dalam melayarkan pengertian tafsiran ayat 1-5 surah al- Baqarah lalu datang ilham untuk menulis lirik lagu Alif.

Menurut Alim, pada awalnya lagu berkenaan diberi judul ‘Khalifah Insani’ namun ilham untuk mengubah judulnya timbul apabila melihat perkataan Alif di ruangan tengah perkataan Khalifah.

“Rahsia jati diri orang Melayu terletak pada kekuatan dalam pegangan kepada ilmu tauhid, ibarat Alif yang satu, tegaknya berdiri tidak sesekali condong ke kanan mahu pun ke kiri. Inilah sifat yang wajib ada dalam diri seseorang pemimpin berjiwa Melayu dan Islam," ujar Siso meneruskan tafsiran lirik lagu tersebut menurut kata Alim yang berpegang kepada prinsip ‘jangan sesekali rebah dengan 3 "ta" iaitu takhta, harta dan wanita.



Dan menyempurnakan seterusnya kemahuan penulis agar lagu tersebut dirakamkan di bawah syarikat Luncai Emas Sdn Bhd milik Sifu M Nasir yang berminat pada lagu-lagu bersifat ketuhanan, Siso menjadikan hasrat itu satu kenyataan.

“Kelahiran ‘Alif’ ibarat tiada yang baharu jika tiada yang lama. Kita warnai kembali lagu-lagu puisi menjadi tatapan dan halwa telinga anak muda masa kini,” sambung Siso yang turut berpengalaman menulis hampir 500 buah lagu sehingga diberikan pelantikan sebagai Pakar Industri Muzik oleh Jabatan Kemahiran Negara Malaysia di bawah Kementerian Sumber Manusia.



Untuk rekod, Siso juga merupakan seorang penulis lirik lagu-lagu patriotik yang aktif dan popular seperti lagu ‘Keranamu Malaysia’, ‘Jalur Gemilang’, ‘Bunga Raya’, ‘Satu Malaysia’, ‘Malaysia tercinta’. ‘Untukmu Malaysia’ dan terbaharu ‘Sehati Sejiwa’ menjadikan Siso seorang penulis lirik yang banyak menyumbang idea untuk lagu-lagu sempena Hari Merdeka. 

Hasil ciptaan terbaharunys adalah  lagu rasmi ‘Wilayah Persekutuan’.

Dalam video klip lagu ‘Alif’. mempunyai banyak falsafah yang boleh dirungkaikan dan menjadi panduan dalam kehidupan seharian dengan paparan seorang sang guru dan anak murid sedang mengaji al-Quran waima Kitab al-Quran dijunjung tinggi.

Penampilan khas Azmie Zanal Abdeen yang merupakan bekas pelajar seni tarian Aswara sebagai penari silat dalam video klip itu cukup pesona! - KitaReporters



1
0
0
0
0

Copy Link: