SEPANJANG tempoh PKPD di Kuantan polis telah menutup laluan tikus dengan menggunakan kawat duri dan penghadang konkrit .


SERAMAI 207,967 orang atau 90% daripada penduduk Kuantan di Pahang terlibat dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di tujuh mukim yang berkuat kuasa pada 24 Mei 2021 untuk tempoh dua minggu.

Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata, sepanjang tempoh itu polis menutup sepenuhnya jalan tikus ke Kuantan menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri termasuk di laluan kelapa sawit di Felda Neram yang merupakan laluan dari Terengganu.

“Sekatan jalan raya pula akan dilaksanakan di enam lokasi laluan utama keluar masuk ke daerah itu termasuk di Tanjung Lumpur, Kampung Chendor, Gambang dan laluan Pekan-Kuantan.

“Tindakan kompaun akan dilakukan secara automatik kepada mereka yang melepasi sempadan tanpa kebenaran dengan tiada sebarang kompromi atau belas kasihan kerana pemakluman PKPD sudah dihebahkan selain peningkatan kes yang mendadak di Kuantan,” katanya yang dipetik oleh Bernama pada Isnin, 24 Mei 2021.

Tegas Abd. Jalil selain penghadang dan kawat duri, pasukan kereta peronda (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) juga akan melakukan pemantauan berkala di jalan-jalan tikus bagi memastikan tiada cubaan keluar masuk kawasan PKPD.

“Bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Kuantan, Abd Jalil berkata cuti pegawai dan anggota khususnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan masih dibekukan walaupun Bukit Aman sudah membenarkan kelulusan cuti, seminggu selepas raya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu beliau berkata, kira-kira 60 pegawai dan anggota dari IPK Pahang “dipinjamkan” ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan sepanjang PKPD memandangkan pihak berkuasa memerlukan kekuatan 300 tenaga kerja setiap hari bagi pelbagai penugasan berkaitan pematuhan SOP.

“Pegawai dan anggota polis adalah yang paling ramai ditugaskan, selain pasukan tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, pihak berkuasa tempatan, kakitangan pejabat kesihatan dan sebagainya.

“Masyarakat mungkin memandang ringan penugasan sekatan jalan raya, sedangkan pegawai dan anggota terlibat perlu berdiri dua jam untuk memeriksa setiap kenderaan sebelum digantikan, dengan setiap syif selama lapan jam. Jadi, saya merayu orang ramai untuk membantu kami dengan patuh kepada SOP,” katanya. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


Ketua Polis Pahang Datuk Abd Jalil Hassan berkata bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPD di Kuantan,  cuti pegawai dan anggota khususnya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan masih dibekukan. 

0
2
0
0
0

Copy Link: