WARGA emas antara aset penting Keluarga Malaysia kerana mereka memiliki banyak ilmu, pengetahuan dan pengalaman yang wajar disantuni dengan sebaik mungkin oleh masyarakat.

Kerana itulah seluruh negara mengadakan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun.

Hari Warga Emas ini juga untuk mengiktiraf jasa dan sumbangan mereka ke arah pembangunan negara dan bangsa yang tidak ternilai dan perlu dihargai serta dihormati generasi pada hari ini selain menjadikannya sebagai contoh.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kehidupan warga emas

Dr Tunku Muzafar Shah melakukan gimik perasmian Program Sambutan Hari Warga Emas anjuran Bait Al-Mawaddah LZS.  


Pakar Perunding Perubatan/Geriatrik, Hospital Selayang, Selangor, Dato’ Dr Tunku Muzafar Shah Dato’ Tunku Jaafar, berkata Hari Warga Emas juga diharapkan mampu untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat bagi menjaga serta menyantuni dengan baik warga tua itu.

Menurutnya, kita hendaklah sentiasa berlapang dada untuk membantu warga emas dalam apa jua situasi dan bukannya bertindak di luar jangkaan seperti mengabaikan tanggungjawab menjaga serta mengurus mereka dengan baik terutama ibu bapa kita.  

Mengambil contoh Program Jalinan Ukhuwah 2022 yang dianjurkan oleh Bait Al-Mawaddah, Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada pertengahan September 2022 lalu itu, beliau menjelaskan, program berkenaan menjadi platform terbaik menyantuni warga emas dari empat pusat jagaan yang berkumpul pada satu tempat. 


Dr Tunku Muzafar Shah (tengah) bersama-sama barisan pengurusan LZS,  sebahagian warga emas dan pengerusi pusat jagaan yang hadir.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas anjuran Bait Al-Mawaddah LZS di Dewan Orkid, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam, Selangor pada 4 Oktober 2022.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Divisyen Pembangunan Asnaf LZS, Mohd Nurhisyam Shamir; Ketua Jabatan Pengurusan Institusi LZS, Abdul Razak Razali; Ketua Pusat Latihan Asnaf LZS, Mohd Yusuf Atan; Ketua Bait Al-Mawaddah, Siti Norhayati Rabani; barisan pengurusan LZS; dan pengerusi-pengerusi serta warga emas dari Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Nur Hasanah dan Al-Fikrah Malaysia. 

Program itu dimulakan dengan Bicara Hari Warga Emas yang bertajuk Kesejahteraan Emosi Warga Emas yang disampaikan oleh Pakar Geriatrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Dr Ungku Ahmad Ameen Ungku Mohd Azam diikuti persembahan senaman kaki dan jari oleh Kelab Warga Emas, Klinik Kesihatan Pandamaran, Klang.


Dr Tunku Muzafar Shah Dato’ Tunku Jaafar (tengah) bertanya khabar warga emas dari Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Rosli Abbas (berkerusi roda), selepas merasmikan Program Sambutan Hari Warga Emas anjuran Bait Al-Mawaddah LZS di Dewan Orkid, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Shah Alam, Selangor pada 4 Oktober 2022.


Dr Tunku Muzafar Shah, yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Bait Al-Mawaddah, berkata pelbagai aktiviti yang diadakan pada program itu secara tidak langsung membantu menghilangkan rasa tertekan warga emas terbabit malah melakarkan rasa gembira apabila dapat berjumpa dan mengenali rakan senasib dari pusat jagaan yang berbeza.

“Saya menyarankan Bait Al-Mawaddah untuk berusaha mengadakan pelbagai program yang menarik serta bersesuaian dengan warga emas pada masa akan datang kerana ia juga mampu menjadi aspirasi Keluarga Malaysia. 

“Pada kesempatan ini juga saya ingin menasihati warga emas untuk terus menjaga kesihatan supaya dapat menjalani kehidupan lebih baik walaupun menjadi penghuni di pusat jagaan kerana mereka sentiasa disantuni dengan sempurna oleh kakitangan di situ,” katanya. 


Dr Ungku Ahmad Ameen sedang menyampaikan ceramah dalam Bicara Hari Warga Emas yang bertajuk Kesejahteraan Emosi Warga Emas.


Sementara itu, Mohd Nurhisyam dalam ucapan aluannya, berkata LZS sentiasa komited dalam menjaga serta menyantuni warga emas di pusat jagaan supaya mereka tidak berasa tersisih sebaliknya ada pihak yang ambil peduli.

Katanya, LZS bersedia menerima apa sahaja cadangan daripada pelbagai pihak untuk diteliti dalam usaha menambah baik menjaga warga emas di pusat jagaan bagi memenuhi amanah serta tanggungjawab sosial.

“Pada program ini pula secara tidak langsung berjaya memupuk serta mengeratkan hubungan antara warga emas dari pusat jagaan terbabit yang bukanlah satu perkara mudah untuk mengumpulkan dalam satu majlis bagi meraikan mereka,” ujarnya. - KitaReporters


Dr Tunku Muzafar Shah (duduk) menyantuni seorang warga emas sambil diperhatikan Mohd Nurhisyam (tiga dari kanan) dan Siti Norhayati.


Dr Tunku Muzafar Shah bersama barisan pengurusan LZS dan Dr Ungku Ahmad Ameen (kanan) mengayakan senaman jari yang dipersembahkan oleh Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Pandamaran, Klang.

22
16
0
12
0

Copy Link: