Video| Antara pentas muzik, jual minuman! Teh Ais Kaw, Air Jagung Kaw! Lagu Rintihan Kerinduan!

Published by
KitaReporters

Minuman Teh Ais Kaw dan Jagung Kaw yang dihasilkan oleh Achong atau Zulkifli Md Elias, bekas pemain dram kumpulan Leon.


Biar pun pernah menjalani kehidupan sebagai seorang pemuzik yang  berdamping rapat dengan ramai artis terkenal tanah air di pentas pertunjukan sebelum ini, dia tidak canggung untuk menjual minuman yang dihasilkannya sendiri di tepi jalan.

Baginya apa yang penting adalah berusaha kerana dia yakin rezeki tidak pernah salah alamat dan tidak perlu terlalu memikirkan pandangan orang lain untuk  berusaha mencari rezeki dijalan yang halal.

Zulkifli Md. Elias, 42, yang lebih mesra disapa Achong merupakan bekas drumer kumpulan Leon berkata, sejak perlaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) tahun 2020 lalu tiada undangan untuk bermain muzik menyebabkan ahli kumpulan band ini kehilangan sumber pendapatan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kumpulan band

Achong bersama salah seorang pelanggan ketika berniaga minuman di tepi jalan.


Minuman yang dihasilkan Achong daripada resepinya sendiri.


“Apa yang boleh saya lakukan hanyalah memulakan perniagaan menjual air ‘Teh Ais Kaw'  dan ‘Air Jagung  Kaw‘ yang dihasilkan sendiri secara kecil-kecilan di tepi jalan di sekitar daerah Segamat, Muar dan Batu Pahat.

“Pada peringkat awal pelbagai cabaran yang terpaksa saya hadapi di mana hanya beberapa botol sahaja terjual sehari selain diusir oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan selain mengambil masa yang agak lama bagi mendapatkan bancuhan tepat  yang mampu menarik minat pembeli," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

Dalam pada itu dia mengakui, terdapat juga pembeli yang mengenalinya dan menyokong usahanya termasuk membantu menularkan airnya dalam media sosial dan dalam masa singkat perniagaannya mula berkembang.


Minuman yang dihasilkan oleh Achong makin digemari golongan muda.


Hasil bantuan rakan-rakan dan netizen dalam tempoh beberapa bulan sahaja minuman yang dihasilkannya mula mendapat perhatian dan mendapat tempahan secara pukal daripada pelbagai agensi dan pihak swasta.

Kini tempahan yang diterima mencecah ratusan botol sehari, malah tempahan tidak terhad di sekitar beberapa daerah di negeri Johor sahaja, sebaliknya sudah berkembang ke Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Walaupun agak sibuk menerima tempahan dari luar daerah, saya tidak pernah melupakan lokasi di tepi jalan di mana saya mula bertapak pada awal penglibatan saya dalam perniagaan minuman ini. “

“Saya menyediakan jadual bagi membolehkan pelanggan yang ingin membeli minuman saya secara bergilir di setiap lokasi,” katanya.

Achong mengakui pada peringkat awal dia kurang yakin perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan itu mampu berkembang dan menjadi sumber pendapatan agak lumayan.


Poster single berjudul Rintihan Kerinduan kumpulan Proj'Ex Band yang dirakamkan sebelum PKP tahun lepas.


Walaupun hasil jualan minumannya sudah mampu menampung kos kehidupannya, dia masih belum berhasrat meninggalkan bidang muzik yang sudah diceburi sejak zaman persekolahan lagi. 

Malah dia yang bergabung dengan beberapa rakan pemuzik lain menubuhkan kumpulan Proj’Ex Band sempat menghasilkan single berjudul ‘Rintihan Kerinduan’ yang hanya sempat dilancarkan di YouTube beberapa hari sebelum PKP.

Proj’ex Ban dianggotai dirinya sebagai drumer; Lat, bekas gitaris kumpulan Dejavu; Shamz, bekas vokalis kumpulan N'Frenz; Angah, bekas pemain gitar utama kumpulan Lemon T; dan Zam. bekas pemain bass kumpulan Ababil.


Achong (dua dari kiri)  bersama anggota lain berharap Proj'Ex Band mampu bersaing dalam industri muzik tanah air.



Menurutnya , kumpulan ini dinamakan Proj’Ex Band kerana kesemua lima anggotanya merupakan bekas beberapa kumpulan rock tanah air yang pernah merakamkan album dahulu.

"Buat sementara waktu sepanjang tempoh perlaksanaan PKP ini aktiviti seni kami terhenti seketika dan masing-masing terpaksa membawa haluan sendiri buat sementara waktu di mana kami ketika ini hanya berhubung melalui pangilan telefon sahaja.

“Kami memang ada merancang beberapa projek yang akan dilaksanakan sebaik keadaan kembali pulih seperti sebelumnya nanti.

“Selepas ini saya perlu bijak membahagikan masa antara aktiviti muzik dan perniagaan minuman, yang mana kedua-duanya penting bagi saya,”katanya. – KitaReporters


Anggota Kumpulan Proj'Ex Band yang ditubuhkan oleh Achong dan empat rakan pemuzik lain.

41
0
1
1
1

Copy Link: