IZZRIN Irfan dan Wewinn (kanan)


SETIAP hari ada sahaja bakat baharu yang diketengahkah sebagai penyanyi di persada seni tanah air. Terbaharu, syarikat Aries Music Sdn. Bhd., memperkenalkan dua penyanyi muda Wewinn dan Izzrin Irfan.

Wewinn atau nama sebenarnya Nur Ezzati Syafinaz, 21, dan Muhammad Izzrin Irfan Mohd. Ismail, 22, buat pertama kalinya disatukan menerusi lagu Rakus.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyanyi baharu

Kerjasama yang kedua antara Wewinn dan Izzrin Irfan menerusi lagu Rakus.


RAKUS merupakan lagu ciptaan Amzar Razqa, Adk Razqa dan Muariffah, manakala liriknya pula nukilan Adk Razqa dan Muariffah.

Mungkin perkataan rakus itu kedengaran ‘kasar’ yang membawa maksud gelojoh tapi sebenarnya lagu duet Wewinn dan Izzrin Irfan ini penuh dengan pengajaran

Rakus yang berentak ‘catchy’ itu secara simboliknya adalah untuk memberi pesanan kepada orang ramai supaya berhati-hati semasa bercinta untuk pilih pasangan.



Rakus merupakan lagu berunsur nasihat kepada pasangan bercinta supaya berhati-hati memilih pasangan.


“Lagu ini judul Rakus, sebab kalau kita faham maksud rakus ini seorang yang gelojoh dan tamak, suka berlebih-lebih. Lagu ini kita nak tuju kepada orang yang tak cukup satu pasangan, dia nak ramai girlfriend. Kita nak nasihat pada yang bercinta tu supaya berhati-hati jangan sampai terjerat.

“Mula-mula orang tanya kenapa Rakus dan mula fikir lain. Bila lagu itu dah keluar dan dengar serta faham lirik baru mereka tahu sebenarnya lagu Rakus tu berunsur nasihat untuk berhati-hati dan bukan untuk jadi rakus,” jelas Wewinn tentang maksud yang tersirat di sebalik bait lagu tersebut.

Akui Wewinn, dia suka dengan lirik Rakus yang ‘simple’ seakan bercerita itu kerana mudah difahami.



Walaupun ini pengalaman pertama Wewinn merakam lagu duet tapi dia tidak menghadapi masalah kerana antaranya dengan Izzrin sudah ada keserasian. Sebelum ini pemuda itu pernah muncul dalam video muzik lagu Cintai Aku dendangannya.

“Asalnya lagu Rakus ini untuk nyanyian solo tapi lepas jumpa dengan komposer abang Amzar, kita orang try berdua dan rasa ngam pula untuk diduetkan. Dari situlah lagu tersebut digubah jadi lagu duet.

“Rakaman lagu Rakus dibuat dalam bulan November 2021 dan sebulan sebelum masuk studio, kami sudah diberi lagu tersebut. Jadi bila masuk studio tak ada masalah. Sewaktu di dalam studio, abang Amzar banyak ajar kita orang dari segi vokal dan sebagainya,” kata Wewinn.


Kali pertama Wewinn dan Izzrin bergandingan dalam video muzik lagu Cintai Aku, single Wewinn.


Jelas Wewinn, lagu Rakus berbeza dengan Cintai Aku yang berentak balada dan secara peribadi dia suka yang berentak ‘catchy’ kerana kena dengan jiwanya yang happy go lucky itu.

Video muzik Rakus sudah pun dimuat naik dalam saluran YouTube Aries Music sejak 16 Februari 2022 lalu dan ternyata gandingan Wewinn bersama Izzrin baik dari segi suara atau lakonan mendapat pujian ramai.


Izzrin Irfan 


Sementara itu, Izzrin Irfan yang popular dalam platform TikTok dengan 1.3 juta followers itu, menganggap peluang berduet dengan Wewinn menerusi lagu Rakus merupakan satu bonus.

Izzrin yang sebelum ini dikenali menerusi lagu berjudul Aku Terima Nikahnya berkata, dia tidak kekok untuk berkolaborasi dengan Wewinn kerana mereka pernah bekerjasama sebelum ini. 

“Kami senang bekerja sama sebab dah kenal lama. Rakus juga merupakan lagu pertama yang saya rakam secara berduet. Ini satu pengalaman baharu juga bagi saya. 

“Saya harap lagu Rakus ini dapat menghiburkan hati pendengar dan sekali gus memberi ingat kepada pasangan bercinta supaya berhati-hati agar tidak salah pilih,” katanya yang pernah menyertai program I Can See Your Voice pada 2020.



Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia tidak kekok berlakon dalam muzik video Rakus kerana sudah ada pengalaman dalam bidang lakonan. 

Izzrin pernah muncul sebagai teman baik Adib, lakonan Naim Daniel dalam drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta dengan melakonkan watak Haikal. Selain itu, Izzrin juga bakal muncul dengan single solo dalam waktu terdekat ini.  - KitaReporters


 

11
13
0
18
0

Copy Link: