Pada saat industri muzik tempatan kebiasaannya menyaksikan persaingan sengit para artis melancarkan lagu-lagu bertemakan hari raya yang penuh keriuhan, penyanyi-penulis lagu tersohor dari United Kingdom, Farhana Ali, memilih laluan berbeza yang lebih tenang dan mendalam. 


 


Beliau tampil mengisi lompang seni yang sering terlepas pandang dengan melancarkan single terbaharunya, “Ramadan Is Here”, pada bulan Februari 2026 lalu. 

Langkah Farhana ini menjadi satu kelainan yang amat bermakna kerana ketika ramai penggiat seni mengejar momentum kemeriahan Syawal, beliau lebih cenderung untuk menghidupkan roh persediaan menyambut bulan Ramadan melalui naskhah muzik yang jarang diberikan perhatian sebegitu rupa oleh artis arus perdana.

Karya terbitan di bawah label gergasi Universal Music ini bukan sekadar sebuah lagu bermusim, malah ia bertindak sebagai prelud rohani yang mengajak pendengar untuk merenung, berdoa, dan menyambung semula hubungan spiritual dengan Allah sebelum fajar Ramadan pertama menyinsing. 



Farhana Ali, yang memegang rekod bersejarah sebagai wanita Muslim solo pertama di United Kingdom yang melancarkan album penuh, menggunakan platform ini untuk mengangkat kemuliaan 99 Nama Allah (Asma’ul Husna) sebagai paksi utama liriknya. 

Beliau menyifatkan lagu ini sebagai satu jemputan terbuka untuk para pendengar kembali merayu dan merintih kepada Pencipta melalui nama-nama-Nya yang suci, dengan bait lirik yang menyentuh hati seperti, “Ask by His names, all 99 this Ramadan, Allah Al-Qudoos, He will be waiting for you.”

Kehadiran Farhana dalam industri muzik arus perdana di UK membuktikan bahawa muzik berunsurkan iman mempunyai ruang yang signifikan dan mampu menarik perhatian audiens global tanpa perlu mengikut arus komersial semata-mata. 

Sebagai vokalis berbakat, beliau terkenal dengan keupayaan menggabungkan melodi penuh perasaan dengan lirik yang merentasi sempadan budaya, sekali gus menunjukkan bahawa seni mampu menjadi medium dakwah yang estetik. 

Keberanian beliau mengekalkan identiti agama yang teguh di tengah-tengah budaya pop Barat menjadikannya ikon rujukan bagi generasi muda Muslim yang mencari keseimbangan antara seni moden dan nilai akidah yang murni.



Visual yang mengiringi single ini turut memberi dimensi baharu kepada naratif kehidupan Muslim di Eropah melalui video muzik yang difilemkan di London Islamic Cultural Society and Mosque (LICS). 

Video tersebut memaparkan kontras yang indah antara keheningan ibadah peribadi di masjid dengan keriuhan persiapan di rumah, termasuklah detik-detik hangat berkongsi iftar bersama keluarga dan keterujaan membungkus hadiah untuk hari raya. 

Paparan ini meraikan keseimbangan antara kehidupan rohani dalaman dan tradisi kekeluargaan yang menyatukan, sekali gus menunjukkan kegembiraan dan kemesraan sebenar yang dibawa oleh bulan Ramadan yang sering kali tenggelam di sebalik persiapan raya yang lebih awal. 

Melalui catatan dalam instagramnya, Farhana menulis Ramadan sudah pun berlalu separuh, namun "Alhamdulillah untuk hari-hari yang telah kita lalui setakat ini, meskipun kita sedang dilanda kesusahan di dunia. 

"Semoga Allah menerima segala ibadah kita, mengampuni kekurangan kita, dan membolehkan kita memanfaatkan masa yang masih ada dengan sebaik mungkin. 

"Semoga separuh kedua Ramadan ini mendekatkan kita kepada-Nya dan membolehkan kita mencapai Lailatul Qadr. Ameen!"



Dalam satu perkongsian media, Farhana melahirkan rasa terujanya terhadap pelancaran lagunya itu dengan harapan agar lagu tersebut dapat menghadirkan inspirasi refleksi, keimanan, dan perpaduan di kalangan masyarakat. 

Beliau menegaskan bahawa "Ramadan Is Here" adalah satu cara muzik untuk menyediakan hati dan rumah umat Islam dalam menyambut bulan yang penuh keberkatan dengan penuh kesediaan jiwa. 

“Melalui ‘Ramadan Is Here,’ saya berharap dapat menghadirkan lagu yang menginspirasikan refleksi, keimanan, dan perpaduan. Ia menjadi cara muzik untuk menyediakan hati dan rumah kita bagi menyambut bulan suci ini,” katanya.

Dengan ketersediaan lagu ini di semua platform penstriman utama, Farhana Ali sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai perintis seni kreatif Islamik yang berjaya menggunakan jambatan melodi untuk menyebarkan mesej kedamaian dan ketenangan spiritual ke seluruh pelosok dunia. - KitaReporters


13
9
0
12
0

Copy Link: