Kejohanan sulung Piala Haier 2023 labuhkan tirai! Hampir 400 peserta pamer bakat badminton luar biasa!

Published by
KitaReporters


Piala Haier 2023, kejohanan badminton yang julung kali dianjurkan oleh Haier Malaysia melabuhkan tirainya pada 30 Julai 2023 lalu, selepas menyaksikan persaingan yang hebat dengan aksi di sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 24 Jun hingga 30 Julai. 

Kejohanan itu, yang diadakan di tiga negeri – Johor, Pulau Pinang, dan Kuala Lumpur, berjaya memukau para peminat badminton dengan bakat, ketangkasan, dan semangat kesukanan yang dipamerkan.

Piala Haier 2023 berjaya menarik penyertaan hampir 400 pemain berbakat dari 3 negeri tersebut, menawarkan mereka platform untuk mempamerkan bakat serta bersaing bagi merebut gelaran kejuaraan dalam kategori masing-masing. 

Selepas berhempas pulas untuk menang, 6 juara peringkat akhir telah dihadiahkan dengan penyertaan kem badminton selama 1 hari, perbelanjaan ditanggung sepenuhnya pada 13 Ogos 2023 yang dikendalikan oleh pemain beregu campuran terkenal Thailand, Popor Sapsiree Taerattanachai. 

Menerusi peluang ini, para pemenang dapat mengasah lagi bakat mereka bersama-sama dengan lebih 100 peserta kem dari Malaysia, Thailand, dan Filipina. 



Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing berkata, “Piala Haier 2023 dianjurkan bagi meraikan semangat badminton dan memupuk bakat untuk acara sukan yang paling digemari di Malaysia. 

"Berpegang teguh kepada etos kami ‘Inspire Future Dreams’, kami berbesar hati apabila dapat melihat bakat luar biasa dan kesungguhan yang dipamerkan oleh para peserta dan penonton.”

Ketua Pemasaran Haier Malaysia, Julian Thean berkata, “Setelah berakhirnya kejohanan badminton pertama Haier, kami tidak sabar untuk meneruskan komitmen kami dalam usaha memupuk semangat kesukanan dan menyokong perkembangan sukan badminton di negara ini. 

"Sambil kami berusaha menyemai inspirasi masa depan, Haier bersedia untuk bekerjasama dengan organisasi dan inisiatif yang mempunyai semangat yang sama seperti kami terhadap sukan ini.”



Piala Haier 2023 bukan sahaja menjadi sebuah acara sukan yang tidak dapat dilupakan tetapi ia turut mempamerkan kuasa kerjasama dan perkongsian dalam kalangan komuniti sukan. 

Haier Malaysia menzahirkan penghargaan mereka kepada semua peserta, jurulatih, pegawai, penaja, dan peminat atas sokongan, komitmen, dan semangat mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang kejohanan ini. 

Dengan berakhirnya kejohanan badminton sulung anjurannya ini, Haier Malaysia berharap dapat meneruskan komitmennya untuk memupuk semangat kesukanan dan memacu perkembangan sukan badminton di negara ini. 

Rancangan untuk Piala Haier 2024 telah pun dijalankan, yang mana ia menjanjikan acara yang lebih mengujakan untuk para peminat badminton. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
16
0
10
0

Copy Link: