Hati ada rasa berdebar! Erra imbau emosi saat bermaaf-maafan dengan suami! Jadi lebih tersentuh!
Published byPelakon dan penyanyi, Erra Fazira, menyifatkan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini (2026) sebagai antara yang paling bermakna apabila buat pertama kali diraikan bersama suami, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.

Menurut primadora itu, suasana raya kali ini terasa berbeza kerana dia keluar daripada rutin kebiasaan, selain perlu menyesuaikan diri dengan perjalanan beraya yang lebih padat dan meriah.
“Rasa raya lain macam sebab kita keluar daripada rutin. Tiba-tiba jadi lebih meriah, dapat pergi berkunjung ke rumah saudara-mara dan kenalan, memang terasa kemeriahannya,” kata Erra ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Riang Ria Raya ACGas di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 4 April 2026, yang turut diserikan dengan persembahan nyanyian antaranya oleh Dato Jamal Abdillah serta Ernie Zakri.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Astana City Group Sdn Bhd, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman dan isteri, Nik Noor Azura Nik Azmi serta pasangan Duta ACGas bersama Erra, pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor dan suami Erra, Mohamad Ezwan Mohamad Zain atau lebih dikenali sebagai Mr. E.

Dari kiri: Mohamad Ezwan, Erra, Nik Noor Azura Nik Azmi, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman dan Rosyam Noor pada Majlis Rumah Terbuka Riang Ria Raya ACGas.
Tambah Erra, sistem giliran dalam keluarga menjadikan sambutan Aidilfitri lebih unik apabila perlu membahagikan masa antara beberapa lokasi termasuk di Gombak dan Shah Alam, selain menghargai peluang berkumpul bersama anak-anak pada hari pertama raya.
“Kita all out raya pertama sebab anak-anak ada satu hari sahaja bersama. Raya kedua mereka dah ada komitmen lain, jadi memang dari pagi sampai tengah malam kita manfaatkan masa itu,” jelasnya.
Selepas selesai kunjungan Aidilfitri, Erra dan suami turut meluangkan masa bersama dengan aktiviti santai termasuk percutian menyelam di Pulau Tenggol.
“Ia bukanlah honeymoon seperti orang sangka, tapi lebih kepada meluangkan masa bersama. Sebenarnya lebih penat kerana dalam masa sama kami masih dalam proses menyesuaikan diri dan memahami antara satu sama lain,” ujarnya.
Dalam fasa awal perkahwinan itu, Erra mengakui mereka masih mengenali ‘true colour’ masing-masing dan sering berbincang secara terbuka bagi mengelakkan kesilapan lalu berulang.
“Kami banyak berbincang, apa yang boleh dan tidak. Ada perkara yang saya pernah lalui dan saya tak mahu ulang semula sebab risau beri kesan jangka panjang,” katanya.
Mengulas mengenai trend hubungan masa kini yang dilihat semakin terbuka, Erra memilih untuk berpegang kepada pendekatan lebih tradisional dalam membina rumah tangga.
“Saya lebih selesa dengan cara old school. Kalau boleh, perkara yang boleh merosakkan hubungan itu kita elakkan dari awal,” katanya lagi.
Walaupun masih dalam proses menyesuaikan diri, Erra menyifatkan pengalaman raya pertama bersama suami sebagai detik istimewa yang mengajar erti kesabaran, komunikasi dan menghargai masa bersama insan tersayang.
Berkongsi momen tersebut pemilik bernama sebenar Fazira binti Wan Chek ini menyifatkan saat saling bermaafan bersama suami, sebagai satu pengalaman yang sarat emosi dan membuka ruang untuk bermuhasabah diri, khususnya dalam kehidupan berkeluarga.
Menurut Erra, walaupun merasakan diri belum melalui banyak kesilapan bersama suami yang baharu dinikahi kira-kira empat bulan lalu, perasaan berbeza tetap hadir setiap kali berdepan dengan saat untuk memohon maaf.
Untuk rekod, Erra dan Ezwan selamat bernikah pada 12 Disember 2025 di Rinjani Majestic, Subang, Selangor.
Katanya, proes tersebut bukan sekadar ungkapan semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi reaksi pasangan yang mampu membuatkan emosi menjadi lebih tersentuh.
“Bila nak minta maaf, kita tengok juga pasangan kita, perasaan dia… itu yang buat kita rasa lebih. Terutama bila melibatkan anak-anak, memang ada rasa berdebar di hati,” katanya.
Tambahnya lagi, ada kalanya seseorang merasakan pengalaman tertentu tidak akan dilalui lagi, namun secara tiba-tiba diberi peluang untuk merasainya semula, sekali gus membuka ruang kepada kesedaran yang lebih mendalam dalam kehidupan.

Dalam pada itu, Erra turut menekankan peranan besar media sosial dalam membentuk persepsi masyarakat masa kini, khususnya dalam kalangan wanita atau ibu.
“Saya rasa kaum wanita dan ibu-ibu yang ada pengaruh dalam media sosial ini boleh gunakan platform itu untuk perkara yang lebih positif.
"Media sosial ini kuat, apa yang kita kongsikan boleh beri kesan kepada orang lain,” ujarnya sambil memaklumkan sudah bermuafakat dengan suami agar tidak menjadikan media sosial tempat meluahkan perkara negatif tetapi hanya berkongsi yang positif sahaja.
Penulis juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua, termasuk kepad Erra dan Mr E. Semoga kekal bahagia dan senantiasa diberkati Allah. - KitaReporters

