Video| Norlia Ghani masuk air? Layan peminat dalam medsos! Jawapan spontan buat netizen pecah perut!

Published by
KitaReporters

Pelakon veteran Norlia Ghani mencuri perhatian warga maya apabila video santainya menyanyi bersama kumpulan buskers di Bukit Bintang tular dalam TikTok dan meraih hampir 100k tontonan serta komen positif daripada peminat.



Menerusi perkongsian dalam akaun TikTok miliknya, Norlia atau mesra disapa Mama sempat berseloroh kononnya bayaran nyanyiannya mencecah RM15,000 bagi satu lagu, namun kali ini dia ‘belanja percuma’ untuk seluruh rakyat Malaysia kerana terlalu yakin dirinya masih comel.

“Biasanya mama nyanyi satu lagu RM15k payment. Tapi untuk seluruh rakyat mama belanja la satu free kerana Mama terlalu confident comel,” tulisnya bersahaja sambil berterima kasih kepada kumpulan buskers yang melayan telatahnya dengan baik.



Gelagat spontan dan bersahaja pelakon berpengalaman itu nyata menghiburkan ramai netizen. 

Malah, rata-rata peminat menyifatkan Norlia sebagai artis veteran yang sangat sporting, rendah diri dan tidak kekok berinteraksi dengan orang ramai walaupun sudah lama berada dalam industri seni tanah air.



Ada peminat yang meluahkan rasa teruja kerana membesar dengan karya lakonan Norlia sejak kecil. 

“Teringinlah nak jumpa Mama. Dari kecil tengok lakonan Mama,” tulis seorang peminat.

Sementara itu, seorang lagi netizen berkongsi pengalaman bertemu Norlia di dalam lif dan memuji sikap ramah pelakon tersebut.

“Semalam jumpa Mama dalam lif. Mama bagi salam bila masuk dalam lif. Ramah sangat Mama. Comel sangat bila jumpa depan,” katanya.



Sikapnya yang suka melayan peminat dengan jawapan santai dan lucu membuatkan ramai netizen senang mendekati figura seni itu. Tidak hairanlah ruangan komen TikTok miliknya sering dipenuhi pelbagai reaksi positif.

Malah ada juga peminat yang mengimbau kembali watak-watak lama yang pernah dilakonkan Norlia suatu ketika dahulu. 

Seorang netizen mengakui anaknya masih meminati filem lama lakonan Norlia termasuk karakter ikonik dalam filem Kanchan Tirana.

“Wah, watak Mama dalam Kanchan Tirana, si Chempaka atau Kenanga lupalah. Anak saya suka sungguh tengok filem tu,” tulisnya.



Lebih mencuri perhatian apabila peminat itu turut mengusik tentang bentuk badan Norlia ketika zaman mudanya yang dikatakan berpinggang 24 inci. Namun Norlia membalas dengan gaya humor tersendiri.

“Sekarang pinggang ikut size TV. Kalau TV kau 50 inch, jadi la 50. Tak sama macam dulu dah,” katanya berseloroh.

Jawapan itu sekali lagi mengundang gelak tawa warga maya yang menyifatkan pelakon berkenaan sebagai sangat ‘masuk air’ (gila-gila) dan pandai membuat jenaka secara spontan.



Dalam pada itu, ramai juga peminat yang mengakui masih tersentuh dengan mutu lakonan Norlia terutama dalam watak-watak dramatik yang pernah dibawakannya sebelum ini. 

“Kalau tengok lakonan Mama mesti menitik air mata. Terbaik Mama,” tulis netizen tersebut.

Norlia kemudian membalas dengan penuh rendah diri sambil berharap masih diberi peluang membawa watak-watak berat pada masa depan.

“Insya-Allah doakan Mama dapat watak-watak macam tu lagi ya. Rindu,” katanya.

Siapa kata artis veteran tidak pandai menggunakan media sosial untuk mendekati peminat? 

Lihat Norlia Ghani berjaya menyesuaikan diri dengan perkembangan media sosial masa kini. Walaupun sudah lama bergelar pelakon senior, dia tetap aktif menghasilkan kandungan santai dan tidak kekok mengikuti trend semasa.


Pelbagai filter digunakan untuk menghiburkan peminat dalam media sosial.


Berbeza dengan sesetengah selebriti lama yang lebih selesa menjaga jarak dengan peminat dalam media sosial, Norlia pula dilihat gemar melayan komen netizen satu persatu, malah sering membalas dengan gaya lucu dan spontan.

Sikap mesra itu membuatkan ramai peminat terus setia mengikuti perkembangannya dalam TikTok dan platform media sosial lain.

Bagi kebanyakan netizen, kehadiran artis veteran seperti Norlia dalam media sosial bukan sahaja mengubat rindu terhadap pelakon era terdahulu, malah membuktikan usia bukan penghalang untuk kekal relevan dan dekat di hati masyarakat. - KitaReporters



21
11
0
4
0

Copy Link: