SELAIN filem ‘Hang Tuah’ dan ‘Raja Bersiong’  terbitan Studio Malay Film Productions (MFP), Singapura, filem ‘Si Tanggang’ merupakan produksi paling mahal dengan kos RM750,000.



Jins Shamsuddin dan Sarimah dalam satu adegan 'Si Tanggang'.


Filem ‘Hang Tuah’ terbitan tahun 1956 arahan Phani Majumdar menelan belanja sekitar RM150,000 kerana skala produksinya besar. Filem ‘Raja Bersiong’ terbitan 1967, arahan Jamil Sulong juga menelan belanja RM750,000. Ini filem terakhir terbitan MFP sebelum studio ditutup.

Kos ‘Raja Bersiong’ tinggi kerana ia dibuat dalam warna warni, menggunakan kru teknikal dari Jepun termasuk pengarah bersama, Tokujori Yamazaki. Juga kerana filem ini melibatkan ribuan pelakon tambahan, termasuk anggota tentera.

Pada tahun 60-an, jumlah itu adalah tinggi, tambahan mengambil kira bajet bagi kebanyakan filem terbitan MFP hanya sekitar RM30,000 hingga RM50,000 sahaja.


'Si Tanggang' filem keluaran tahun 1961 membariskan Jins Shamsuddin, Sarimah dan Normadiah, memecah rekod apabila ditayangkan pada 20 Ogos 1961.

Poster filem 'Si Tanggang' arahan Jamil Sulong.


'Si Tanggang’ sebuah dongeng Melayu mengenai seorang anak derhaka kepada ibunya, diadaptasi ke layar perak dengan tajuk sama oleh MFP Singapura, siap dan ditayangkan kepada umum pada 20 Ogos 1961.

Filem karya, lakon layar serta arahan Jamil Sulong ini membariskan bintang utama Jins Shamsuddin (Si Tanggang), Sarimah (Puteri Indra Kacha) dan Normadiah (Dermai - ibu Si Tanggang).

Turut membintangi S. Kadarisman (Nakhoda Redan), Zaiton (Kenanga), Salleh Kamil (Linggi), Rahmah Rahmat (Molek), Haji Mahadi (Orang Kaya Sang Derma), A. Rahim (Jelutong), Shariff Dol (Raja Donan). Juga berlakon bintang cilik Bad Latiff sebagai Si Tanggang waktu kecil.


Jins Shamduddin memegang watak utama Si Tanggang dalam filem bertajuk sama.


Sarimah sebagai Puteri Indra Kacha dalam 'Si Tanggang'.


Kenapa kos pembikinan ‘Si Tanggang’ tinggi sedangkan ia filem hitam putih? 

Memetik Facebook ‘Repair Gambar Lama’, antaranya disebabkan oleh pembinaan dua buah bahtera  bersaiz sebenar. Satu untuk kegunaan Nakhoda Redan, satu lagi sebagai ‘Bahtera Diraja’. Kos membina bahtera tinggi.

Ini ditambah pula dengan pembinaan beberapa set rumah kampung, tempahan pakaian baharu, juga kos ratusan pelakon tambahan yang diambil untuk menjayakan babak berskala besar.


Bahtera bersaiz sebenar yang dibina untuk 'Si Tanggang' menyebabkan kos pembikinan filem meningkat.


Sekali pun banyak dibelanjakan untuk set, prop dan pakaian, cabaran kos pembikinan ‘Si Tanggang’ bukan hanya terhad kepada perkara tersebut. Kos meningkat kerana sebahagian besar penggambaran dilakukan di tengah laut berhampiran Pengerang, Johor.

Untuk tujuan itu, pelakon dan kru berkampung di Sungai Rengit selama tiga minggu. Kos penginapan dan makan minum mencecah sehingga RM10,000 sehari. Bayangkan jika tiga minggu. Kerana itu kos pembikinan filem meningkat. 

Satu lagi cabaran ialah perjalanan ke lokasi penggambaran dengan menaiki bot mengambil masa tiga jam setiap hari. Laut yang terbentang pula tidak menjanjikan penggambaran berjalan lancar.

Ini kerana sepanjang lebih kurang 15 hari penggambaran, jadual sering tergendala. Puncanya gelombang kuat dan ribut datang tanpa amaran. 

Keadaan tidak menentu di laut yang menjadi latar belakang penggambaran menguji ketahanan fizikal dan mental semua anggota produksi.

Penggambaran keseluruhan ‘Si Tanggang’ mengambil masa hampir dua bulan. Namun penat lelah dan cabaran yang ditanggung membuahkan hasil menggembirakan. Filem tersebut dianggap antara filem epik terhebat pernah diterbitkan oleh MFP.

Para pelakon dan kru memberi komitmen tinggi sepanjang penggambaran dalam keadaan serba mencabar. Lakonan menyerlah ditunjukkan oleh Normadiah sebagai Dermai, ibu malang yang menyumpah anaknya kerana derhaka. Lakonannya sangat menyentuh jiwa, meresap ke dalam hati penonton.


Normadiah menampilkan lakonan mantap menyentuh jiwa sebagai Dermai, ibu Si Tanggang.


Jins Shamsuddin selaku 'Si Tanggang' dan Normadiah selaku ibunya Dermai, dalam satu adegan sedih filem 'Si Tanggang'.


Apabila ‘Si Tanggang’ ditayangkan pada 20 Ogos 1961, sambutannya luar biasa. Ia mencatat kutipan pecah panggung. Segala kepayahan dan cabaran pembikinan filem tersebut berbaloi. Ongkos yang dibelanjakan memberi pulangan melebihi yang diharap.

Jamil Sulong membawa kisah anak derhaka kepada ibu ke layar perak bertujuan memberi iktibar kepada penonton agar tidak sombong jika memiliki pangkat dan harta, apatah lagi menderhaka kepada ibu yang mengandung dan melahirkan.

Si Tanggang asalnya miskin, hidup bersama ibunya Dermai. Kerana sering dihina oleh orang kampung, dan lamarannya untuk memperisteri Montel ditolak oleh Orang Kaya Inas, Si Tanggang bertindak meninggalkan kampung.

Dia menyusup masuk ke dalam sebuah kapal yang berlabuh di perairan kampungnya. Dia kemudian dibenarkan bekerja sebagai anak kapal dan akhirnya berjaya menjadi seorang nakhoda yang berjaya. Dia dikahwinkan dengan Kenanga.

Kejayaan Si Tanggang menghapuskan lanun di Pulau Penyengat sampai ke pengetahuan Raja Donan. Baginda memberi pangkat kepadanya dan mengahwinkan anak tunggal perempuannya, Puteri Indera Kacha, dengan Si Tanggang. Kenanga kecewa lalu membunuh diri.

Puteri Indera Kacha meminta Si Tanggang membawanya belayar dan kebetulan melalui kawasan kampungnya dahulu. 

Apabila ibunya dapat tahu, dia ingin berjumpa dengannya kerana sangat rindu. Tetapi Si Tanggang tidak mengaku itu ibunya lantaran malu kepada isterinya.


Dermai dihalau oleh anaknya Si Tanggang daripada kapal mewah yang dia naiki bersama isterinya, Puteri Indra Kacha.


Dermai berdoa agar diberi balasan kepada anak derhaka yang tidak mengaku dia ibu.


Ibunya dihalau dari kapal dan balik ke pantai dengan sedih. Setelah sampai di pantai dia menyumpah Si Tanggang. Si Tanggang menjadi burung manakala isteri serta seluruh anak kapal menjadi batu dan tenggelam di tengah lautan.

Itulah pengakhiran anak derhaka. Pangkat dan harta tiada guna lagi.

Ambil pengajaran daripada kisah Si Tanggang. 

Syurga itu di bawa telapak kaki ibu. Kasihilah ibu selagai dia masih ada. Jangan sombong membangga diri, jauh sekali menderhaka kepada ibu. Doa seorang ibu tidak ada hijab. - KitaReporters

11
15
0
17
0

Copy Link: