Graf jumlah kes harian Covid-19 tertinggi di Malaysia tahun 2021 sehingga 29 Mei 2021


JUMLAH kes Covid-19 di negara ini dijangka boleh mencecah angka 13,000 kes sehari menjelang 14 Jun 2021 berdasarkan trend terkini peningkatan graf jangkitan ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan trend tersebut kadar kebolehjangkitan (Rt) pada 29 Mei sehingga 14 Jun 2021 akan meningkat kepada 1.2 ekoran ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt jangkaan mengikut kes seharian pada 28 Mei 2021 untuk seluruh negara ialah 1.15,” katanya dalam ciapan Twitter miliknya seperti dilaporkan oleh Sinar Harian, 29 Mei 2021.

Wabak pandemik Covid-19 negara kian meruncing apabila sebanyak 9,020 kes positif direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) pada Sabtu, 29 Mei 2021, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 558,543 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi laman sosial Facebooknya juga mempersoalkan ke mana arah tuju masyarakat setelah dilihat pergerakan besar-besaran masih berlaku walaupun larangan rentas daerah serta negeri telah dikeluarkan.

“Membawa jangkitan wabak dari satu kawasan ke satu kawasan lain tidak akan membantu dalam usaha membendung penularan Covid-19.

“Bantulah selamatkan sistem kesihatan negara yang bakal lumpuh jika peningkatan kes Covid-19 tidak terkawal. Petugas barisan hadapan sudah penat, tapi kami gagahi demi menyelamatkan nyawa anda,” tulisnya. KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
0
0
0

Copy Link: