KEADAAN kereta mewah yang dinaiki Dr. Noor Zairul Muhammad selepas terlibat dalam kemalangan maut di Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat, 22 Mei 2021.


SEORANG pakar bius sebuah hospital swasta, di Batu Pahat maut selepas kereta Porsche Coupe yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dan bertembung dengan Toyota Vellfire di Jalan Kluang berhampiran Taman Koperasi Bahagia, Batu Pahat pada awal pagi Sabtu, 22 Mei 2021.

Dalam kejadian pada pukul 8.50 pagi itu mangsa, Dr. Noor Zairul Muhammad, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu Toyota Vellfire terbabit mengalami kecederaan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penggaram, Pegawai Bomba Kanan II Saifulle Idris berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.59 pagi.

“Seramai 16 anggota bersama empat jentera ke lokasi kemalangan untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Sejurus selepas tiba di lokasi nahas didapati kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu kereta mewah jenis Porsche Coupe dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire.

“Terdapat dua mangsa terlibat dan salah seorang mangsa tersepit dalam kereta Porsche Coupe,” katanya seperti dipetik oleh Utusan Malaysia pada Sabtu, 22 Mei 2021.

Menurut saksi awal, mangsa yang memandu Porsche Coupe dikatakan gagal mengawal keretanya ketika melalui selekoh di laluan berkenaan.

Kereta terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dan tiang lampu sebelum melambung dan terbalik ke laluan bertentangan serta melanggar Toyota Vellfire berkenaan.

Saifulle berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta Porsche Coupe itu menggunakan peralatan khas.

Jelasnya, mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter


0
0
5
0
0

Copy Link: