Selepas mencuri perhatian tahun lalu (2025) menerusi lagu raya “Pang Pang Pum Raya” bersama Fazura, penyanyi muda berbakat Syasya Rizal kembali mewarnai musim perayaan 2026 ini dengan langkah berbeza apabila tampil secara solo menerusi single terbaharu berjudul “Inikan Hari Raya.” 



Syasya memilih untuk membawa haluan sendiri dengan sebuah karya yang lebih dekat dengan jiwanya -- mengangkat makna kesederhanaan, rasa syukur dan kebersamaan dalam menyambut Aidilfitri.

“Inikan Hari Raya” ditulis oleh Syasya bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, dengan Amirul turut bertindak sebagai penerbit. 

Lagu ini dimulakan dengan progresi kord yang ringkas serta alunan dram yang ringan, sebelum berkembang secara semula jadi menuju korus yang menjadi nadi utama, membina suasana ceria dan penuh semangat perayaan.

Di sebalik melodi yang segar, terselit mesej yang cukup mendalam -- bahawa hari raya tetap bermakna walaupun diraikan secara sederhana. 

Sama ada dengan baju lama atau sambutan yang tidak mewah, kebahagiaan sebenar tetap hadir selagi dapat bersama insan tersayang.

Menurut bekas anggota kumpulan Dolla ini,  mesej ini sangat dekat dengan dirinya, lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini yang sering dipengaruhi gambaran kesempurnaan dalam media sosial. 



“Bagi Syasya, hari raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok dalam media sosial, raya nampak macam semuanya perlu besar dan sempurna, baju banyak pasang, rumah cantik, semuanya nampak mewah. Tapi realitinya tak semua orang sambut raya dengan cara macam tu. 

“Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita. Lagu ‘Inikan Hari Raya’ ini sebenarnya macam satu peringatan lembut bahawa kebahagiaan raya tak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang kita ada,” katanya.

Single ini juga menjadi detik penting dalam perjalanan seni Syasya kerana buat pertama kalinya beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. 

Pengalaman tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang sangat istimewa kerana setiap lirik dan emosi yang disampaikan datang daripada hatinya sendiri, dengan bimbingan Amirul Azhar dan Amir Firdaus dalam membentuk melodi serta penceritaan.


Ketika melakukan promosi di Dataran Merdeka, pelancong Jepun turut menari bersama Syasya.


Pada masa sama, sambutan hari raya kini membawa makna yang lebih mendalam buat Syasya apabila beliau menyambutnya bersama keluarga sendiri.  

Kehadiran suami serta dua cahaya mata, Obot dan Obit, menjadikan raya lebih hidup dan penuh makna, di mana fokus kini bukan lagi pada diri sendiri, tetapi pada memori yang ingin dicipta untuk anak-anak.

"Syasya harap bila orang dengar lagu ini, mereka akan teringat kepada perkara kecil yang sebenarnya sangat bermakna waktu raya seperti bangun pagi raya, bau rendang dari dapur, atau makan bersama keluarga. 

"Mungkin ada yang sambut raya secara sederhana, tapi semua itu tetap berharga. Lagu ini juga mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dan berempati dengan orang lain yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan Raya seperti kita.”

Lebih daripada sekadar lagu, “Inikan Hari Raya” diharapkan menjadi teman setia setiap kali tibanya Syawal, mengiringi kenangan dan emosi pendengar dari tahun ke tahun. - KitaReporters


17
3
0
10
0

Copy Link: