Spekulasi mengenai kehidupan peribadinya sering menjadi perhatian, namun Adira Suhaimi memilih untuk menjawabnya dengan cara paling halus -- menerusi karya. 



Kemunculan single terbaharu “Sayang Orang Sama” seolah-olah mengundang persoalan, mungkinkah penyanyi ini masih menyayangi insan yang sama, walaupun selepas melalui fasa perpisahan setelah mahligai perkahwinan yang dibina selama  8 tahun berkecai.

Hakikatnya, lagu terbitan Nova Music Malaysia ini tidak hadir sebagai pengakuan peribadi secara langsung, sebaliknya sebuah naskhah emosi yang terbuka untuk ditafsir. 

Ia mengangkat tema keikhlasan dalam mencintai, termasuk keberanian untuk menerima realiti apabila kasih tidak lagi dimiliki sepenuhnya.

"Lagu ini sangat dekat dengan jiwa saya. Ia bukan mengenai siapa yang betul atau salah, tetapi tentang perasaan apabila kita menyayangi seseorang dan akhirnya sedar bahawa kasih itu tidak sepenuhnya milik kita,” katanya.

Dihasilkan bersama Mas Dewangga dan Jova Devito, yang sinonim dengan pentas Anugerah Juara Lagu, serta lirik nukilan Dato’ Arisz Abdul Rahman, “Sayang Orang Sama” tampil sebagai balada kontemporari yang sederhana tetapi penuh makna.

Menurut ibu tunggal kepada empat cahaya mata ini, lagu terbaharunya itu lahir daripada pemerhatian dan pengalaman yang membentuk kematangan dalam memahami cinta. 



Jelasnya, proses rakaman lagu ini membuka ruang untuk dirinya menyelami emosi dengan lebih mendalam, bukan sahaja sebagai seorang penyanyi, tetapi sebagai individu yang melalui fasa kehidupan yang lebih matang dan berlapang dada. 

"Semasa merakamkan lagu ini, saya banyak berfikir soal penerimaan dan reda. Tidak semua cinta perlu dimiliki sepenuhnya, dan tidak semua perasaan perlu berakhir dengan penyesalan. 

"Ada masanya kita belajar untuk melepaskan dengan tenang,” katanya.

Naib Juara Akademi Fantasia musim ke-8 ini turut menyifatkan kekuatan “Sayang Orang Sama” terletak pada kejujuran liriknya yang menggambarkan realiti kehidupan, khususnya buat mereka yang memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa demi menjaga hati orang lain.

"Kadang-kadang, kita terlalu sayang tetapi dalam masa yang sama kita perlu berkongsi perasaan itu. Lagu ini adalah suara kepada mereka yang kuat di luar, tetapi rapuh di dalam. Ia tentang menerima hakikat tanpa membenci," tambah pemilik bernama penuh Siti Adira Suhaimi, berasal Sabah  ini.

“Sayang Orang Sama” memberi ruang kepada Adira untuk menyalurkan kekuatan vokalnya dalam menyampaikan emosi yang jujur dan berlapis.


Adira bersama empat anak-anaknya, manakala lagunya 'Sayang Orang Sama' menjadi lagu runut bunyi bagi drana 'Khianat Yang Terpilih'.


Mengulas harapan terhadap penerimaan pendengar, Adira berharap lagu ini dapat menjadi teman emosi buat mereka yang sedang melalui fasa sukar dalam perhubungan dan kehidupan.

"Jika lagu ini mampu membuatkan seseorang rasa difahami dan tidak keseorangan, itu sudah cukup bermakna buat saya. Saya harap “Sayang Orang Sama” boleh menjadi ruang untuk pendengar bernafas, merenung dan akhirnya berdamai dengan perasaan sendiri,” katanya.

Single ini sekali gus mengukuhkan lagi hubungan Adira bersama Nova Music Malaysia yang sebelum ini telah menerbitkan beberapa lagu popular beliau. 

Kolaborasi ini juga terus mengekalkan identiti muzik Adira yang menekankan kejujuran emosi, kekuatan vokal serta karya yang relevan dengan perjalanan hidup pendengar.

Seperti banyak lagu-lagu Adira sebelum ini yang menjadi lagu runut bunyi, “Sayang Orang Sama” turut menjadi lagu runut bunyi untuk drama bersiri 30-episod berjudul ‘Khianat Yang Terpilih’ yang kini sedang bersiaran dalam slot ‘Akasia’ TV3 - KitaReporters


15
13
0
7
0

Copy Link: