Penanda buku unik, menarik! Hobi melukis guna cat akrilik! Kini jadi bisnes jana pendapatan sampingan!

Published by
KitaReporters


MELIHAT koleksi menarik lukisan akrilik Nor Aziah Khaizuran Mohd Arop, yang dibuat dalam bentuk penanda buku memang memperlihat kreativiti beliau yang amat luar biasa. 

Lukisan Nor Aziah yang menggambarkan suasana alam semula jadi yang sangat hidup dan menarik diabadikan dalam penanda buku yang kecil dan comel. 

Beliau meminati bidang lukisan sejak kecil lagi di mana ibu dan kakak kakaknya sangat kreatif menjahit, menyulam, menyediakan barangan hantaran dan melukis. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan lukisan-lukisan


Nor Aziah Khaizuran Hj Mohd Arof

Bakat melukis beliau adalah turun temurun daripada keluarganya. 

Bermula sebagai hobi melukis kini Nor Aziah yang berusia 60 tahun bergiat secara sepenuh masa menghasilkan lukisan akrilik di penanda buku sebagai jualan kepada mereka yang berminat. Selain itu beliau juga menghasilkan lukisan akrilik di kanvas sebagai hadiah. 

Motif lukisan yang dimuatkan dalam penanda buku dan lukisannya yang lain ialah mengenai alam semula jadi seperti bunga bunga, pokok, rama rama, laut yang tenang dan pelbagai motif kehidupan yang sangat memberi ketenangan. 

Bagi Nor Aziah penanda buku ini boleh dijadikan hadiah kenang kenangan kepada rakan rakan atau sebagai door gift untuk majlis majlis tertentu. 

Ada juga yang menempah penanda buku untuk majlis keagamaan seperti majlis bacaan tahlil dan majlis khatam al-Quran yang menghadiahkan tetamu dengan penanda buku yang dilukis dengan tangan dan bukan daripada gambar yang dicetak. 


Penanda buku 


Selain itu ada juga saudara mara dan rakan Nor Aziah yang tinggal di luar negara menempah penanda buku yang dilukis oleh beliau sebagai cenderahati untuk rakan-rakan dan handai di luar negara. 

Terkini anak saudara Nor Aziah yang menetap di Virginia USA,  menempah 50 penanda buku yang pelbagai jenis bentuk lukisan yang mempamerkan alam semula jadi Malaysia dan bunga bunga di Malaysia. Kesemua penanda buku telah selamat sampai di USA. 

Menurut Nor Aziah secara tidak langsung lukisan berkenaan dapat memperlihat keindahan alam semula jadi negara kita pada masyarakat luar negara dan mempromosi keindahan negara kita di mata dunia.



Nor Aziah yang berasal dari Petaling Jaya adalah graduan UiTM tetapi bukan dalam bidang lukisan. Bagi mendalami minatnya dalam lukisan akrilik beliau mengambil kursus dalam lukisan berkenaan secara persendirian. 

Beliau yang sebelum ini pernah bekerja sebagai Eksekutif Latihan di Maybank mengambil keputusan untuk bersara awal bagi meneruskan minat yang mendalam dalam bidang lukisan akrilik dan cat air atau watercolor. 

Dulu katanya beliau tidak pernah terfikir untuk menjual lukisannya. Beliau melukis sekadar membantu orang yang mahukan lukisannya untuk perkara tertentu. 

Tetapi selepas bersara beliau menjadikan hobi melukis ini sebagai satu bentuk menjana kewangan sampingan kerana sudah tidak ada pendapatan. 

Menurut Nor Aziah teknik melukis sentiasa dia perbaharu dan sehingga sekarang dia masih tidak jemu mempelajari pelbagai jenis bentuk lukisan dan ilmu-ilmu baharu tentang lukisan. Baginya dia ingin menjadikan lukisan di penanda buku ini sebagainya bisnesnya.

"Dalam dunia yang serba mencabar dan keadaan ekonomi yang tidak menentu saya tidak lagi boleh memberi lukisan saya secara percuma. Sudah tiba masanya saya menjual hasil kerja saya untuk menampung kehidupan. Ini adalah produk jualan saya,"  katanya. - KitaReporters



Lukisan dan penanda buku mempamerkan alam semula jadi dan kehidupan masyarakat. 

 

13
11
0
16
2

Copy Link: