Berita Terkini| Polis tangkap 4 penjenayah pecah kedai! Larikan jam berjenama bernilai RM20k!

Published by
KitaReporters


EMPAT penjenayah termasuk seorang wanita ditahan pada Rabu, 19 Mei 2021 selepas disyaki terlibat dalam kes pecah kedai dan melarikan pelbagai jam tangan berjenama bernilai hampir RM20,000.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, kesemua suspek berusia 19 hingga 38 tahun itu ditahan di sekitar Klang oleh sepasukan polis daripada D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira jam 1.30 pagi, 19 Mei 2021.

Dalam tahanan berkenaan, sebanyak 41 utas jam tangan pelbagai jenama turut dirampas.

"Soal siasat terhadap kesemua suspek mengaku terlibat dalam kes yang dilakukan mereka di sebuah premis di Taman Bayu Perdana, Klang pada 29 April (2021) lalu.

"Semakan mendapati dua suspek lelaki masing-masing memiliki rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis, 20 Mei 2021.

Shamsul menambah tiga daripada suspek termasuk seorang wanita telah direman selama tiga hari manakala seorang lagi suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada 29 April 2021, seorang wanita yang juga peniaga jam tangan berusia 60 tahun menyedari kedainya telah dipecah masuk kira-kira jam 10.30 pagi dan hampir kesemua jam tangan di paparan kaca telah hilang hingga menyebabkannya kerugian sebanyak RM19,950. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
1
0
0
0

Copy Link: