TIDAK dinafikan pademik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu membuatkan ramai rakyat terkesan, apatah lagi bila aktiviti serta kegiatan harian mereka terganggu ekoran penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung wabak itu.

Ada yang seolah-olah ‘mati kutu’, tidak tahu apa perlu dilakukan untuk mengisi masa apabila terkurung di rumah terutama sepanjang tempoh perintah sekatan pergerakan penuh atu SPP (total lockdown) yang sedang dilaksanakan sekarang, bermula 1 Jun hingga 14 Jun, 2021. 

Tapi, berbeza dengan Abdul Halim Hassan, 58,  seorang pesara guru, yang mengambil pendekatan positif apabila menggunakan kekangan pergerakan yang dikenakan untuk kembali mengasah bakat dalam lukisan sekali gus menjadi medium untuk berdakwah kepada masyarakat. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dakwah

Halim aktif melukis dan menerbitkan komik sambil berdakwah sepanjang negara dilanda Covid-19 sejak dua tahun lalu. - Kredit foto: Halim Hassan.


“Sebagaimana kebanyakan rakyat, saya sendiri pada awalnya mati akal memikirkan apa yang hendak saya lakukan kerana banyak aktiviti harian seperti beriadah, solat berjemaah di masjid, menyertai kuliah agama atau mengunjungi saudara dan sahabat handai tidak dapat dilaksanakan.

“Apatah lagi ketika itu saya baru sahaja bersara sebagai guru, jadi masa saya memang banyak terluang berbanding semasa mengajar. Pada awalnya, saya bercadang mengisi masa persaraan saya dengan mendalami agama di sebuah pondok namun hasrat itu tersekat selepas Covid-19 melanda. 

“Saya lihat ramai rakyat terkesan serta dilanda keresahan akibat Covid-19 ini. Jadi, saya fikir, saya perlu melakukan sesuatu yang bukan sahaja boleh memberi ketenangan kepada saya malah kepada masyarakat.

“Saya terfikir, mengapa tidak saya gunakan bakat saya sebagai pelukis untuk melakukan sesuatu. Lagi pun, sudah lama saya perap bakat itu kerana memberi tumpuan kepada tugas hakiki sebagai pendidik.

"Jadi, bertitik-tolak daripada situ, saya mula melakarkan sesuatu subjek sama ada alam semula jadi, hidupan seperti burung atau kehidupan manusia,” katanya.


Dalam setiap lukisannya, Halim akan menyelitkan kata-kata nasihat melalui petikan terjemahan ayat al-Quran atau hadis sebagai mesej dakwah kepada pembaca. - Kredit foto: Halim Hassan.


Melalui lakaran itu, menurut Halim, beliau turut selitkan dakwah melalui nukilan petikan terjemahan ayat al-Quran, hadis dan kata-kata kiasan dengan harapan masyarakat mendapat manfaat, sekali gus memberi mereka motivasi untuk berdepan situasi yang sedang melanda.

Setiap hari beliau akan hasilkan satu lukisan hitam putih di atas sekeping kertas A4 dan dikongsi melalui media sosial seperti Facebook dan WhatsApp.

“Saya nama siri lukisan itu sebagai ‘Lakaran Hati’. Agak memeranjatkan, saya menerima maklum balas yang sangat luar biasa dengan komen-komen positif. Ia secara tidak langsung menaikkan semangat saya untuk terus berkarya sambil berdakwah.

“Akhirnya, atas permintaan ramai, saya kumpulkan semua lukisan itu, mencetaknya menjadi sebuah buku dan menjualnya. Alhamdulillah, sambutannya sangat menggalakkan malah sehingga kini masih ada yang membuat tempahan,” kata Halim.


Halim kembali aktif melukis komik selepas bersara sebagai guru. - Kredit foto: Halim Hassan


Susulan itu, menurut Halim, ia mencetuskan idea untuk beliau terus menghasilkan komik secara bersiri atas  tajuk ‘Seramistik’ dan ‘Ketawalah’ serta komik-komik solo hasil pelukis-pelukis tempatan di bawah label Ukhwah Creative.

“Matlamat saya selain memeriahkan kembali dunia komik yang sudah lesu serta memberi peluang kepada pelukis-pelukis komik mempamerkan bakat mereka, saya juga mahu menjadikan komik sebagai medium dakwah.

“Atas faktor itu, dalam setiap komik yang saya terbitkan, selain mengekalkan nilai komersial, saya pastikan ada unsur pengajaran di dalamnya malah seboleh-bolehnya turut diselitkan maksud ayat al-Quran atau hadis.

“Dalam seram dan mistik, ada dakwahnya, dalam lucu serta ketawa ada nilai moral disampaikan,” kata Halim merujuk kepada siri komik ‘Seramistik’ dan ‘Ketawalah’ yang diterbitkannya.

“Secara jujur, saya tidak terlalu memikirkan keuntungan, asal tidak merugikan. Apa yang saya cari adalah kepuasan berkarya kerana dapat berdakwah sambil mencari sedikit saham akhirat,” ujar Halim.


Halim (dua dari kiri) bergelar pendidik selama 31 tahun sebelum bersara pada Januari, 2019. - Kredit foto: Halim Hassan.


Sebagai bekas guru, kata Halim, kaedah yang digunakan sekarang adalah sama apa beliau praktikan semasa mengajar dahulu yang mana beliau menggunakan medium lukisan untuk memberikan pendidikan yang lebih efektif.

“Dulu, sebagai guru Bahasa Malaysia, saya menggunakan elemen kartun yang saya lukis sebagai bahan pengajaran. Ia lebih mudah untuk memberi kefahaman kepada murid malah sangat berkesan.

“Jadi, saya harap kaedah sama yang saya gunakan sekarang dapat menyampaikan mesej positif kepada masyarakat dengan cara lebih santai dan ringkas tapi berkesan,” katanya. 

Halim yang bertugas sebagai guru selama 31 tahun, bersara pada Januari 2019 lalu, dengan tugas terakhir sebagai Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Iskandar, Perak.

Sepanjang berkhidmat, beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kebangsaan sebanyak tiga kali iaitu pada 1998, 2005 dan 2015.

Sebelum bergelar pendidik, beliau pernah bertugas sebagai kartunis dengan beberapa penerbitan antaranya dengan majalah Gelihati dan Batu Api.

Atas kesungguhan beliau memartabatkan dunia komik dan kartun tanah air terutama selepas bersara sebagai guru, Halim dianugerahkan Tokoh Kartunis Perak 2021 sempena sambutan Hari Kartunis pada 1 April, 2021 lalu. - KitaReporters.


Halim, penerima anugerah Tokoh Kartunis Perak 2021, bersama rakan kartunis, Tazidi.

18
1
0
0
0

Copy Link: