Video| Seramnya! Bunyi apa tu? Baru nak syok jungle trekking! Wanita terkejut dengar bunyi ngauman!
Published byFenomena bunyi misteri yang dirakam seorang wanita bersama seorang rakannya ketika berada di kawasan hutan mencetuskan pelbagai reaksi netizen sehingga meraih hampir 1 juta tontonan dalam media sosial.
Video dimuat naik oleh pengguna TikTok, Nrfarhana24 itu pada awalnya sekadar mahu berkongsi pengalaman santai meneroka kawasan hutan berdekatan dengan kemnya di Taman Etnobotani, Gua Musang, Kelantan.
Namun keadaan bertukar cemas apabila kedengaran bunyi ngauman kuat dari arah hutan yang membuatkan ramai netizen meremang bulu roma.
“Hari ini saja-saja explore nak tengok mossy forest, sekali bunyi macam ni. Bunyi apa ya agak-agak?” tulisnya ringkas pada kapsyen video berkenaan sambil memaparkan suasana trek hutan yang sunyi.

Rata-rata netizen yang menonton video itu percaya
bunyi tersebut menyerupai ngauman harimau atau haiwan pemangsa lain yang masih
berkeliaran di kawasan hutan berkenaan.
“Lagi satu tip, masuk hutan jangan pakai perfume. Haiwan mangsa seperti rusa dan kancil akan menjauh sebab takut dengan bau asing. Tapi haiwan pemangsa seperti harimau atau harimau kumbang akan datang sebab tertanya-tanya dengan bau tu,” tulis salah seorang netizen.

Komen tersebut kemudian mengundang pelbagai kisah
pengalaman seram daripada netizen-netizen lain yang pernah berdepan situasi hampir sama
ketika mendaki atau melakukan aktiviti jungle
trekking.
“Takde dengar bunyi burung kan? Maknanya ada pemangsa. Kalau senyap takde bunyi binatang lain memang bahaya,” tulisnya.

Malah ada yang mengakui pernah mendengar bunyi
hampir sama ketika mendaki gunung dan bukit di beberapa lokasi lain di negara
ini.
“Uihh… dengar macam bunyi harimau tu. Saya pernah dengar masa di Gunung Nuang dulu dan sekali lagi dekat satu bukit di Jelebu,” kongsi netizen tersebut.

Lebih menarik perhatian apabila seorang netizen berkongsi
pengalaman mendebarkan ketika menyertai aktiviti night trekking di Endau Rompin sehingga mendakwa terserempak dengan
kelibat harimau kumbang.
“Renjer ada pesan harimau ada ‘ngauman batin’. Dalam
tiga kilometer kita boleh bau hamis-hamis, mata rasa berair dan rasa nak
terkencing.
“Masa trekking tu, tiba-tiba semua renjer siap siaga. Saya sempat nampak figura gelap bertompok tengah perhati kami. Lepas renjer baca-baca dan halau, baru dengar bunyi rumput bergerak perlahan. Rupanya harimau kumbang,” ceritanya panjang lebar.

Dalam pada itu, beberapa netizen turut menasihatkan
orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti hiking atau memasuki kawasan hutan,
walaupun kawasan tersebut sering dikunjungi orang ramai.
“Tak kisah beruang ke, pak belang ke, kalau dah dengar bunyi macam tu sila keluar cepat-cepat. Dalam hutan tak ada binatang yang tak liar,” katanya.

Susulan video itu tular, pemilik akaun akhirnya tampil menjelaskan bahawa lokasi mereka ketika itu sebenarnya berada berhampiran kawasan kem dan laluan awam yang sering digunakan kumpulan pendaki.
“Tu kawasan kem kak, lagipun tempat tu memang awam. Ramai je team trail lalu situ. Kalau betul-betul hutan kami pun tak berani masuk suka-suka macam tu,” jelasnya bagi meredakan kebimbangan ramai.
Walaupun belum dapat dipastikan bunyi sebenar yang dirakam dalam video tersebut, ramai netizen menganggap perkongsian itu sebagai peringatan bahawa hutan tetap merupakan habitat hidupan liar yang tidak boleh dipandang ringan.
Sementara itu dalam hantaran susulan, Nrfarhana24 berkongsi keadaannya yang berjaya menghabiskan trekking hutan dan selamat. - KitaReporters
