Golongan peniaga kecil di kawasan luar bandar mendapat perhatian apabila inisiatif Skim Usahawan Bangkit (SUB) berjaya membantu golongan peniaga kecil keluar daripada kesempitan hidup.

Usaha itu jelas terbukti apabila SUB di kawasan Parlimen Bukit Gantang dilancarkan pada bulan Februari 2026 bertujuan membantu peniaga mendapatkan pelbagai kemudahan bantuan peralatan perniagaan dan sebagainya.


Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua dari kiri) melihar makanan yang diusahakan oleh peniaga bagi Jamuan Aidilfitri di Kampung Menteri, Kuala Sepetang dekat Bukit Gantang.

Seorang peniaga kedai makanan dan nasi campur, Lizawati Mat Razak, 43, mengakui bantuan yang diterima memberi sinar baharu selepas sekian lama berniaga tanpa sokongan.

Beliau berkata, dia yang mengusahakan kedai makan tidak pernah menerima sebarang bantuan dan SUB membantu perniagaannya.

“Sekarang saya dapat meja makan dan peralatan dapur melengkapkan keperluan perniagaan saya. Sebelum ini memang peralatan perniagaan serba kekurangan, tambahan pula suami tiada mempunyai pendapatan tetap,” kata ibu kepada tiga anak ketika ditemui pada 17 April 2026.

Peniaga Natasha Shahidan, 41, pula berkata, kelulusan bantuan banyak membantu memperkukuh perniagaannya yang diusahakan sejak enam tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh seminggu selepas permohonan SUB diluluskan,dia menerima peralatan seperti dapur, tong ais,  meja dan kerusi.

“Dulu saya hanya ada satu dapur kecil, sekarang sudah ada tiga dapur. Ini  membantu saya kerana perniagaan ini menjadi sumber utama pendapatan keluarga,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nora Kamarudin, 55, yang mengusahakan mi rebus warisan keluarga di Kuala Sepetang berkata, bantuan melalui SUB menjadi penyelamat kepada kelangsungan perniagaannya.

“Peningkatan kos operasi sebelum ini memberi tekanan, namun bantuan peralatan memasak yang diterima membolehkan saya terus beroperasi,” katanya.


Syed Abu Hussin Hafiz (tiga dari kiri) menyerahkan sijil baik pulih rumah kepada seorang penerima di Kampung Menteri, Kuala Sepetang.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, setakat ini seramai 330 usahawan tempatan telah menerima manfaat melalui program berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan tambahan kira-kira 300 lagi usahawan yang akan dibantu dalam tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

“Pendekatan yang saya gunakan berteraskan konsep ‘kita bantu kita’ dengan memberi tumpuan kepada keperluan sebenar masyarakat setempat.

“Bantuan tidak hanya tertumpu kepada modal, tetapi juga peralatan serta peluang pasaran supaya perniagaan mereka berkembang secara berperingkat-peringkat,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Sijil Bantuan Baik Pulih Rumah dan Jamuan  Aidilfitri di Kampung Menteri, Kuala Sepetang dekat Bukit Gantang.

Syed Abu Hussin berkata, bantuan melalui SUB diberikan di antara RM1,000 hingga RM3,000 bergantung kepada keperluan perniagaan yang bersesuaian. - KitaReporters


Syed Abu Hussin Hafiz (dua dari kanan) menyerahkan sijil baik pulih rumah kepada seorang penerima di Kampung Menteri, Kuala Sepetang.

13
18
0
19
0

Copy Link: