Ibu bapa jangan kejar A sahaja! YM, AKTP mahu bina generasi berjati diri melalui Sahabat al-Quran!
Published byYayasan Maghfirah (YM) bersama Akademi Kepimpinan Tun Perak (AKTP) melancarkan Sahabat Al-Quran (SAQ) sebagai platform memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap al-Quran serta melahirkan generasi pemimpin yang berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri kukuh

Mohd Sahrularifin Ab Manan (dua dari kanan) mewakili Yayasan Maghfirah menyerahkan dokumen MoU kepada Awang Sariyan dengan disaksikan oleh Muhammad Shuib Norudin dan Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.
Cabaran umat Islam hari ini bukan lagi melahirkan anak yang boleh membaca al-Quran, tetapi melahirkan generasi yang memahami, menghayati dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam setiap keputusan hidup mereka.
Ramai ibu bapa sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk kelas tuisyen, tetapi berfikir berkali-kali untuk melabur dalam pendidikan al-Quran anak-anak mereka.
Hakikat itu menjadi antara kebimbangan yang semakin ketara apabila ramai ibu bapa lebih menumpukan perhatian terhadap pencapaian peperiksaan sehingga pendidikan al-Quran sekadar dianggap pelengkap.
Tidak kurang beranggapan tugas mereka sudah selesai apabila anak mampu membaca al-Quran atau mengikuti kelas KAFA, sedangkan pembentukan akhlak, kefahaman Islam dan hubungan berterusan dengan al-Quran memerlukan pendidikan yang lebih menyeluruh.

Gimik perasmian Sahabat al-Quran yang disempurnakan Awang Sariyan (dua dari kiri) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor.
Menyedari cabaran itu, Yayasan Maghfirah (YM) bersama Akademi Kepimpinan Tun Perak (AKTP) melancarkan projek Sahabat Al-Quran (SAQ) sebagai platform memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap al-Quran serta melahirkan generasi pemimpin yang berilmu, berakhlak dan mempunyai jati diri kukuh.
Majlis pelancarannya disempurnakan Ketua Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Tun Perak, Senator Datuk Seri Prof Emeritus Dr Awang Sariyan di Hotel Tenera, Bangi, Selangor.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif merangkap Pengerusi Ahli Pemegang Amanah Yayasan Maghfirah, Mohd Sahrularifin Ab Manan; Ketua Pegawai Eksekutif YM, Muhammad Shuib Norudin; dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Kepimpinan Tun Perak, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Dr Awang Sariyan
Awang Sariyan berkata, usaha membentuk generasi berteraskan al-Quran perlu digerakkan secara lebih tersusun bagi memastikan identiti bangsa dan nilai Islam terus dipertahankan dalam arus pembangunan negara.
Beliau berkata, al-Quran bukan sekadar untuk dibaca sehingga khatam, sebaliknya perlu difahami, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan supaya mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai pemikiran, akhlak dan kepimpinan yang baik.
"SAQ dibangunkan melalui kerangka K.A.R.I.M. yang memberi penekanan kepada Khatam al-Quran, Asas Islam Difahami, Rajin Membaca dan Menulis, Insan Berakhlak, serta Melayu Berjati Diri.
"Ramai boleh membaca al-Quran, namun cabaran sebenar ialah bagaimana menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.
"Melalui modul ini, kita bukan sekadar mahu melahirkan anak yang boleh mengaji, tetapi memahami agama, mempunyai adab yang baik serta membesar sebagai pemimpin berintegriti," katanya.

Muhammad Shuib Norudin
Bagi Muhammad Shuib, sehingga kini SAQ mempunyai 19 cawangan aktif di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah dengan lebih 800 pelajar, manakala sasaran baharu ialah membimbing 2,000 pelajar menjelang penghujung 2027.
"Program pendidikan percuma itu memberi keutamaan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 13 tahun daripada keluarga asnaf, B40, miskin dan anak yatim.
"Peserta mengikuti lapan modul pendidikan yang merangkumi kelas al-Quran, hafazan, tajwid, tafsir, akidah, hadis, ibadah, sirah, akhlak, celik solat, kem khalifah muda serta pelbagai aktiviti pembangunan sahsiah.
"Bagi memastikan program itu terus berkembang, Yayasan Maghfirah mempelawa individu, syarikat dan badan korporat menjadi penaja dengan sumbangan RM150 sebulan bagi setiap pelajar atau menaja cawangan SAQ di kawasan masing-masing," katanya.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Dalam perkembangan sama, Muhammad Fauzi pula berkata, SAQ diwujudkan bagi membina satu ekosistem pendidikan al-Quran yang berterusan, bukan hanya memastikan pelajar mampu membaca al-Quran ketika kecil.
Beliau berkata, sepatutnya perjalanan pendidikan anak-anak diteruskan sehingga ke peringkat lebih tinggi supaya lahir generasi yang berjaya dalam akademik tanpa mengabaikan asas agama, adab dan kepimpinan.
"Kejayaan seseorang anak tidak seharusnya hanya diukur melalui keputusan peperiksaan, sebaliknya keseimbangan antara ilmu dunia dan akhirat perlu menjadi matlamat utama ibu bapa.
"Melalui pendekatan itu, kami berharap lebih ramai kanak-kanak mendapat peluang mempelajari al-Quran secara tersusun, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah menjadikan al-Quran sebagai pedoman sepanjang hayat.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang bagi menjayakan program Sahabat al-Quran ini bolehlah berbuat demikian menerusi saluran berikut: Bank: CIMB; No. Akaun: 98-670-005-000101; Rujukan: SAQ03 - KitaReporters
