PEMBELAJARAN sepanjang hayat. Itu slogan terbaik menggambarkan program pengajian Islam, Tafaqquh Fiddin (TFD) anjuran kerajaan negeri dan dikendalikan Yayasan Pahang (YP). 

Sejak dimulakan pada 2015, sehingga kini, seramai 3,759 peserta telah mengikuti program TFD yang dijalankan secara percuma sejak 2015 di 23 masjid di seluruh Pahang. 

Baru-baru ini, bertempat di dua lokasi berbeza dan di daerah yang berbeza, seramai 195 peserta program TFD telah menamatkan pengajian masing-masing dan diraikan dengan meriah dalam majlis konvokesyen yang diadakan secara berasingan itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program dan aktiviti Yayasan Pahang

Peserta wanita program Tafaqquh Fiddin (TFD) yang tamat pengajian Tahap Tiga di Masjid Negeri Ahmad 1, Kuantan


Daripada jumlah itu, seramai 104 peserta tahap tiga diraikan dalam Majlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Islam TFD Pahang Tahap 3/2021 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan pada 29 Disember 2022.

Majlis telah dirasmikan Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari dan turut dihadiri Imam Besar, Datuk Badli Shah Alauddin.

Manakala baki 91 peserta tahap satu adalah daripada program TFD yang diadakan di Masjid Taman Temerloh Jaya (TTJ), Temerloh yang diraikan dalam majlis konvokesyen di sebuah hotel di Temerloh pada 31 Disember 2022.
Kadi Daerah Temerloh, Abd Aziz Abd Karim hadir menyampaikan sijil.
Sebahagian daripada peserta yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Program Persijilan Pengajian Islam TFD Pahang Tahap 3/2021 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan pada 29 Disember 2022.


Walaupun program itu mengambil masa agak panjang kerana dijalankan pada waktu hujung minggu, ia bukan penghalang bagi peserta yang terbabit.

Seorang peserta tahap tiga, Serina Mohamed, 48, bersyukur kerana berjaya tamatkan pengajian walaupun mengambil masa hampir enam tahun.

"Sekalipun berdepan pelbagai kesukaran terutama berkaitan pekerjaan dan urusan rumah tangga, saya tetap berusaha untuk hadir ke bengkel ilmu ini setiap minggu.

"Saya korbankan tuntutan pelbagai majlis dan keperluan lain demi mencari ilmu ini kerana jarang ada organisasi yang menganjurkan program secara percuma," katanya yang juga Pegawai Eksekutif di sebuah institusi kewangan di Kuantan.

Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari menyampaikan sijil kepada Serina Mohamed


Seorang peserta tahap satu, Abdul Rahman Abu Bakar, 73, pula berkata dia mengambil masa hampir empat tahun mendalami ilmu agama itu. 

"Saya ambil masa lama atas faktor kesihatan dan sesi kelas atas talian yang dijalankan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya berhasrat untuk terus mengikuti kelas ini bagi meningkatkan kefahaman dan memperkemaskan lagi ilmu fardu Ain sedia ada," kata pesara kerajaan itu.
Seorang lagi peserta tahap satu, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perubatan) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, Nur Azlina Mohammad Hashim, mengambil masa tiga tahun untuk tamatkan pengajian tahap satu.

"Saya akan cuba sedaya upaya untuk  hadir jika berada di Temerloh ketika hari kelas kerana kebiasaannya, waktu hujung minggu saya selalu berada di luar kawasan.

"Seronok mengikuti program TFD kerana banyak perkara baru dipelajari, meningkatkan ilmu pengetahuan dan membetulkan mana-mana amalan yang kurang tepat sebelum ini," katanya.

Abdul Rahman Abu Bakar menerima sijil daripada Kadi Daerah Temerloh, Abd Aziz Abd Karim.


Sementara itu, Abd Razak berkata, program TFD akan diberi nafas baru dengan penjenamaan semula kepada empat peringkat iaitu sijil, diploma, sarjana muda dan sarjana oleh Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) mulai Februari 2023 depan.

"Sesiapa sahaja boleh mengikuti program ini kerana silibusnya meliputi pelbagai aspek iaitu al-Quran dan tafsir, fekah, tauhid dan tasauf," katanya.

Galilah dan carilah ilmu selagi berkesempatan. Tidak rugi walau sebesar zarah sekali pun andai ilmu itu dapat dimanfaatkan dan diperturunkan antara generasi buat selama-lamanya. - KitaReporters
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abd Razak Abu Musa Saari menyampaikan ucapan di Majlis Konvokesyen di Temerloh


Peserta Progran TFD Tahap 1 Masjid Taman Temerloh Jaya yang diraikan dalam majlis konvokesyen di sebuah hotel di Temerloh pada 31 Disember 2022.

 

13
17
0
10
0

Copy Link: