Mohon hujan! Perlis lakukan solat dan doa istisqa'! Dataran Istiadat, Istana Arau pada 26 Mac 2026!
Published byUmat Islam di Perlis diseru melaksanakan solat istisqa’ atau solat memohon hujan susulan keadaan cuaca panas dan kemarau yang melanda ketika ini.


Kenyataan media mengenai solat istisqa’ di Perlis.
Titah tersebut dizahirkan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT serta memohon limpahan rahmat-Nya.
Menurut kenyataan MAIPs, pelaksanaan solat istisqa’ akan diadakan di Dataran Istiadat, Istana Arau pada 26 Mac 2026 bersamaan 6 Syawal 1447 hijrah, bermula jam 8.00 pagi.
“Solat ini dianjurkan sebagai usaha memohon keampunan dan rahmat daripada Allah SWT agar dikurniakan hujan yang membawa keberkatan, bukan musibah yang memudaratkan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan solat dan tatacara amalan adalah berdasarkan panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.
Para jemaah turut dinasihatkan supaya hadir dengan membawa sejadah sendiri, mengambil wuduk dari rumah serta menjaga kesihatan, termasuk memakai pelitup muka bagi yang memerlukan.

Dalam pada itu, pelaksanaan doa istisqa’ di masjid-masjid seluruh negeri akan diadakan ketika khutbah Jumaat bermula 27 Mac 2026 sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Titah Raja Muda Perlis, baginda turut menyeru masyarakat agar bermuhasabah dan kembali kepada Allah SWT dengan mempertingkat ketakwaan serta meninggalkan segala bentuk maksiat.
“Marilah kita mempertingkat ketakwaan, segera bertaubat, saling bermaafan serta memperbanyak amalan seperti berpuasa dan bersedekah,” titah baginda lagi.
Baginda turut menzahirkan harapan agar segala doa dan rintihan dipanjatkan mendapat perkenan Allah SWT dengan turunnya hujan rahmat yang menyuburkan bumi dan menenangkan jiwa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan pelaksanaan solat tersebut boleh menghubungi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis atau merujuk laman rasmi MAIPs. - KitaReporters

Solat Istisqa’ akan diadakan di Dataran Istiadat, Istana Arau pada 26 Mac 2026.
