Lidah Pengarang| Balik kampung! Kesabaran memandu diperlukan! Balik bawa kegembiraan bukan tragedi!
Published byMenjelang Hari Raya Aidilfitri pada 21 Mac 2026 ini, fenomena pulang ke kampung halaman kembali menjadi tradisi yang dinanti-nantikan.
Namun di sebalik keterujaan itu, terselit satu realiti yang tidak dapat dielakkan iaitu kesesakan lalu lintas yang menguji tahap kesabaran setiap pengguna jalan raya.

Lebuh raya utama dipenuhi kenderaan dari pelbagai arah. Masa perjalanan menjadi tidak menentu, malah ada yang terpaksa menghabiskan berjam-jam di atas jalan.
Dalam keadaan sebegini, emosi mudah terganggu. Sikap tidak sabar, terburu-buru dan pentingkan diri sendiri sering menjadi punca kepada insiden dan kecelakaan yang tidak diingini.
Hakikatnya, jalan raya bukan milik individu. Ia adalah ruang bersama yang menuntut toleransi dan disiplin.
Setiap pemandu mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin sampai ke destinasi dengan selamat. Justeru, sikap saling menghormati dan bertimbang rasa perlu menjadi amalan sepanjang perjalanan.

Di sebalik kesesakan dan bahang panas, tangan-tangan kecil penuh ihsan tampil menghulurkan sepotong tembikai, menyegarkan perjalanan yang panjang.

Namun dalam kesesakan yang panjang itu, masih terserlah nilai kemanusiaan yang tinggi.
Ada dalam kalangan masyarakat yang tampil menghulurkan makanan dan minuman kepada mereka yang terperangkap untuk berbuka puasa.
Tidak kurang juga yang membuka ruang dan menawarkan kemudahan kepada pengguna jalan raya untuk berhenti seketika, termasuk menyediakan tempat bagi membuang air kecil atau besar.
Keprihatinan ini menggambarkan semangat kebersamaan yang masih utuh dalam masyarakat kita.

Kesabaran ketika memandu bukan sekadar nilai moral, malah satu keperluan demi keselamatan.
Statistik kemalangan jalan raya saban tahun menunjukkan peningkatan pada setiap musim perayaan, kebanyakannya berpunca daripada kecuaian dan sikap tergesa-gesa.
Ini seharusnya menjadi peringatan kepada semua pihak agar lebih berhemah di jalan raya.
Pemandu juga disaran merancang perjalanan dengan baik, memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat, serta mengambil rehat secukupnya bagi mengelakkan keletihan.
Ingatlah, perjalanan yang selamat lebih bermakna daripada tiba awal tanpa jaminan keselamatan.


Akhirnya, kepulangan ke kampung halaman seharusnya membawa kegembiraan, bukan tragedi. Jadikan kesabaran sebagai panduan dan keselamatan sebagai keutamaan.
Biar lambat asalkan selamat, kerana yang menunggu di kampung bukan masa ketibaan, tetapi kehadiran kita dengan penuh makna.
Selamat Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M daripada kami semua di KitaReporters.

