HARI GURU yang disambut pada setiap 16 Mei benar-benar mengembalikan nostalgiaku ketika zaman persekolahan rendah dan menengah serta di pusat pengajian tinggi.

Kenangan lama ketika bergelar murid dan pelajar menerjah minda. Wajah guru dan pensyarah kembali terbayang dengan pelbagai kenangan pahit dan manis. Setiap ilmu yang diajar bagi masih segar pada ingatan.


SK Sungai Haji Muhammad di Selekoh, Perak tempat Cikgu Zaharah pernah bertugas dan penulis menimba ilmu peringkat rendah.


Jasa mereka besar mendidik anak bangsa menjadi insan berjaya, berguna kepada keluarga dan masyarakat. Benarlah, siapa juga kita hari ini dan apa kedudukan yang dicapai, semuanya bermula daripada guru.

Mereka ibarat lilin yang berkorban membakar diri demi menerangi jalan hidup setiap anak didiknya. 

Walau diri terbakar, hati berbunga andai pengorbanan itu dibalas dengan kejayaan setiap mereka yang menerima curahan illmu.

Namun bagi diriku, dalam pelbagai warna warni laluan hidup dibimbing guru yang pelbagai wajah dan perwatakan, ingatan paling kuat terhadap guru yang sehingga kini masih terpahat kemas ialah Allahyarham Cikgu Zaharah Mohd Said.


Allahyarham Cikgu Zaharah Mohd Said, guru kelas Darjah Empat SK Sungai Haji Muhammad yang banyak budinya kepada penulis.


Dia ialah guru kelas Darjah Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad, Bagan Datuk, Perak. Ketika itu aku berada dalam darjah tersebut pada tahun 1964, dalam bangunan berdinding papan.

Suaminya, Cikgu Maasum Abdul, ialah guru besar di sekolah berkenaan. Anak-anak mereka juga bersekolah di situ. Mereka tinggal di pekan Bagan Datuk, kira-kira 10 kilometer dari sekolah, saban hari berulang alik. 

Pada era itu setiap guru darjah, daripada darjah satu hingga enam, mengajar semua mata pelajaran, seperti Kira-Kira (Ilmu Hisab), Ilmu Alam (Geografi), Tawarikh (Sejarah), Bahasa Melayu dan lain-lain. 

Di sekolah ada seorang guru besar, enam guru darjah dan masing-masing seorang guru agama dan Bahasa Inggeris.

Pendek kata guru darjah dianggap ‘serba tahu’. Hebat guru ketika itu. Hanya subjek agama diajar oleh ustaz atau ustazah dan Bahasa Inggeris oleh guru khusus. 

Tidak seperti sekarang, lain subjek lain guru. Di sesebuah sekolah, jumlah guru ramai.


Laluan masuk ke bangunan SK Sungai Haji Muhammad. Penulis pernah menduduki bangunan belah hadapan ketika dalam Darjah Enam.


Cikgu Zaharah berperawakan serius. Jika ada murid yang suka buat bising atau tidak beri perhatian dalam kelas, hukumannya dia cubit perut murid. Cubit-cubit manja, bukan cubit mendera!

Namun sebagai seorang guru dan seorang ibu, dia memiliki sifat lemah lembut dan kasih sayang. Aku adalah antara anak murid yang memperoleh limpah kasih sayangnya.

Datang daripada keluarga kurang berada, aku jarang ada duit belanja. Selalu emak beri bekal nasi dan air. Ketika itu nasi lemak atau kuih di kantin sekolah hanya lima sen satu.

Oleh kerana jarang ada duit belanja, aku jarang ke kantin. Hanya makan bekal disediakan oleh emak. Ada kala emak pun tidak ada apa hendak dibekal, hanya air teh kosong penghilang dahaga.

Kadangkala emak bekalkan dua biiji telur itik untuk dijual di kedai berdekatan sekolah. Kena berhati-hati bawa dari rumah takut pecah. Emak pelihara dua ekor itik betina dan hasil telur itu aku jual untuk belanja.

Namun pemilik kedai pun kadang-kadang tak mahu beli sebab katanya sudah ada telur. Hampa sungguh di hati. Terpaksalah telur tersebut dibawa balik.


Telur itik.... Namun bukanlah telur itik yang penulis jual kepada Cikgu Zaharah. Ini sekadar gambar hiasan.


Suatu hari terdetik di hati bertanya kepada Cikgu Zaharah sama ada dia hendak beli telur itik. Dia kata boleh. Dia pun tahu aku memang daripada keluarga susah.

Sejak itu aku selalu aku bawa telur untuk dijual kepada Cikgu Zaharah. Dia tetap menerima sama ada aku bawa dua atau tiga biji. Dia akan beri dua kupang (20 sen) atau tiga kupang (30 sen). Besar nilainya ketika itu.

Oleh kerana kerap jual telur kepadanya, aku pula rasa segan. Maka aku pun berhenti menjual. 

Suatu hari dia tanya: “Mana telur? Kenapa lama tak bawa pada cikgu?”

Aku dengan rendah suara berkata: “Saya segan selalu jual telur pada cikgu. Seolah-olah saya memaksa cikgu beli.” 

Dia menjawab: “Jangan mengada-ngada. Esok bawa.”

Aku sangat terharu dengan keprihatinan cikgu Zaharah. Dia secara tidak langsung memberi duit belanja kepadaku. Barangkali itulah tujuannya, membeli telur untuk membolehkan aku mendapat duit.

Walau pun setelah aku tamat Darjah Empat, masuk Darjah Lima dengan guru kelas lain, aku masih jual telur kepada Cikgu Zaharah atau jika dia minta. Hubungan aku, telur dengan Cikgu Zaharah bagai tidak putus.


Satu lagi sudut pemandangan SK Sungai Haji Muhammad, cantik dihiasi mural indah.


Sehingga kini, setelah 62 tahun berlalu, ingatan terhadap Cikgu Zaharah dan budi jasanya tidak pudar dari ingatan.

Inilah guru yang membantuku memperoleh duit belanja sekolah, di samping sentiasa menggalakkan aku untuk maju jaya dalam pelajaran.

Kerana anak-anak Cikgu Zaharah belajar di sekolah sama, mereka jadi kawan baik. Sampai sekarang aku masih berhubung dengan mereka. Aku ceritakan jasa ibu mereka terhadapku.   

Aku pernah terfikir adakah Cikgu Zaharah benar-benar perlukan telur? Dia boleh sahaja beli daripada kedai. Namun dia tidak menolak membeli telur yang aku jual. Maka terdetiklah dalam hati: “Cikgu Zaharah ini sebenarnya hendak bantu aku.”

Alangkah mulianya hati seorang guru yang memahami serta simpati dengan muridnya yang susah. 

Insan mulia ini sudah lama berpulang ke alam abadi. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan ampuni dosa.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Selamat Hari Guru Cikgu Zaharah Mohd Said. - KitaReporters 

8
11
0
15
0

Copy Link: