Reset Ramadan! Belum terlambat! Jangan longlai! Muhasabah diri! Malam-malam terakhir pecut ibadat!
Published byRamadan sudah memasuki fasa penghujung. Tanpa disedari, lebih dua pertiga bulan yang penuh keberkatan ini sudah berlalu meninggalkan pelbagai pengalaman rohani kepada umat Islam.
Bagi sebahagian orang, Ramadan kali ini terasa lebih dekat di hati, namun ada juga mungkin mulai keletihan dan kembali kepada rutin biasa.

Ramadan sudah memasuki fasa penghujung dan bulan penuh keberkatan ini akan meninggalkan pelbagai pengalaman rohani kepada umat Islam.
Masa berlalu begitu pantas, seolah-olah baru semalam umat Islam menyambut kedatangan bulan mulia ini dengan azam untuk berubah menjadi insan lebih baik. Inilah masa terbaik melakukan muhasabah diri.
Apakah Ramadan kali ini benar-benar membawa perubahan kepada jiwa dan amalan kita, atau ia hanya berlalu seperti bulan-bulan sebelumnya?
Bagi sebahagian orang, Ramadan mungkin sudah mula terasa biasa. Ibadat yang pada awalnya dilakukan dengan penuh semangat kini semakin berkurang, malah ada merasakan malam istimewa seperti lailatulqadar mungkin sudah berlalu.
Justeru, bagi mengelak perasaan keliru itu, umat Islam perlu bangkit semula dan melakukan “reset Ramadan” dalam diri. Baki hari yang ada bukan alasan untuk mengendurkan ibadat, sebaliknya peluang terakhir ini adalah masa terbaik memperbaiki hubungan dengan Allah.

Penceramah terkenal yang juga anggota kumpulan nasyid Nowseeheart, Ustaz Idzhar Jumali ketika ceramah Ramadan di Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor berkata, selepas dua pertiga Ramadan, seseorang Muslim sepatutnya sudah merasakan dirinya semakin dekat dengan bulan mulia itu.
Beliau berkata, jika perasaan itu hadir dalam diri, ia sebenarnya petanda bahawa Allah membuka pintu takwa kepada hamba-Nya. Dan, jika belum ada sentuhan itu, muhasabah diri dan lihat semula ibadah puasa yang kita lakukan sebelum ini.
"Sepatutnya selepas dua pertiga Ramadan, kita merasakan diri ini semakin dekat dengan Ramadan. Jika kita dapat merasakan perasaan itu, ia bermakna Allah sudah membuka pintu takwa kepada kita.
"Perasaan itu seharusnya mendorong seseorang untuk terus memperbanyak ibadat, tanpa mengira sama ada malam lailatulqadar sudah berlalu atau belum.

Ustaz Idzhar Jumali
"Tapi, masih ada segelintir yang berhenti bersungguh-sungguh melakukan ibadat kerana merasakan malam lailatulqadar sudah berlaku lebih awal.
"Hakikatnya, sepuluh malam terakhir Ramadan adalah waktu paling penting untuk umat Islam meningkatkan amalan kerana malam istimewa itu boleh berlaku pada mana-mana malam ganjil," katanya.
Dalam hadis yang diriwayatkan Aisyah binti Abu Bakar, disebut bahawa apabila memasuki sepuluh malam terakhir Ramadan, Nabi Muhammad akan menggandakan ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga untuk turut beribadat.
Sikap itu menunjukkan bahawa penghujung Ramadan adalah masa untuk memecut ibadat, bukannya memperlahankan langkah.
"Pada Ramadan tahun ini (2026) juga, umat Islam berpeluang menyaksikan fenomena gerhana bulan yang jarang berlaku sehingga mendorong ramai menunaikan solat sunat gerhana.

Selepas dua pertiga Ramadan, seseorang Muslim sepatutnya sudah merasakan dirinya semakin dekat dengan bulan mulia itu.
"Peristiwa itu sebenarnya satu rezeki besar kerana tidak semua orang berpeluang menyaksikan dan melaksanakan ibadah tersebut.
"Namun, masih ramai yang melihat fenomena itu sekadar peluang untuk mengambil gambar atau berseronok tanpa mengambil hikmah di sebaliknya. Sepatutnya kita membesarkan Allah dengan peristiwa luar biasa itu. Ia tanda kebesaran-Nya, bukan sekadar fenomena untuk dilihat,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak memandang ringan amalan sunat yang dilakukan sepanjang Ramadan.
"Amalan seperti solat sunat sebenarnya memberi keuntungan besar kepada seseorang Muslim kerana setiap ibadah membawa ganjaran pahala. Jika kita melakukan solat sunat, kita mendapat pahala tetapi jika tidak melakukannya kita sebenarnya menanggung kerugian.

Ustaz Idzhar sempat berswafoto bersama sebahagian jemaah yang hadir untuk solat tarawih dan ceramah Ramadan.
"Ramadan sebenarnya melatih umat Islam untuk membiasakan diri dengan amalan tambahan seperti solat tarawih sama ada lapan atau 20 rakaat," katanya.
Selain itu, beliau turut mengingatkan kepentingan amalan bersahur yang sering dianggap remeh oleh sebahagian masyarakat.
"Walaupun sekadar sedikit makanan, sahur mempunyai keberkatan yang besar kerana ia membuka peluang untuk bangun awal, menunaikan solat tahajud dan berdoa sebelum subuh.
"Selepas lebih tiga minggu berpuasa, ramai yang mula merasai kemanisan bersedekah dan berinfaq kepada golongan memerlukan," katanya.
Idzhar menggalakkan umat Islam terus mencari ruang untuk bersedekah termasuk melalui pelbagai saluran yang memudahkan sumbangan dilakukan.

Ustaz Idzhar (berdiri empat dari kiri) bergambar kenangan bersama jemaah dan AJK Musolla Pangsapuri Anggun.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan supaya zakat fitrah tidak ditangguhkan sehingga saat akhir sebaliknya dilunaskan lebih awal bagi memudahkan agihan kepada golongan memerlukan.
"Kesimpulannya, selepas 23 hari Ramadan, umat Islam sebenarnya sedang dididik memahami bahawa kehidupan memerlukan usaha dan kesungguhan.
"Kisah Maryam yang diperintahkan menggoncang pokok kurma ketika melahirkan Nabi Isa menjadi simbol bahawa doa mesti disertai usaha.
"Ramadan mendidik jiwa untuk bangkit memperbaiki diri dan kekuatan itu seharusnya diteruskan walaupun selepas bulan penuh rahmat ini berakhir," katanya. - KitaReporters
