Dalam masyarakat Malaysia, caregiver atau penjaga pesakit sering dianggap sebagai individu yang kuat, sabar dan sanggup berkorban tanpa batas.

Namun realitinya, di sebalik peranan yang dipandang mulia ini, tersembunyi satu kebenaran yang perlu diakui, caregiver sendiri adalah golongan berisiko tinggi untuk jatuh sakit.



Laporan Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menunjukkan peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan rakyat Malaysia, adalah juga termasuk tekanan, kebimbangan dan kemurungan. 

Dalam konteks ini, caregiver merupakan antara kumpulan paling terdedah kerana menanggung tekanan emosi dan fizikal secara berpanjangan.

Pada peringkat global pula, kajian mendapati kira-kira satu pertiga caregiver mengalami beban penjagaan yang tinggi, manakala majoriti berdepan tekanan emosi dan fizikal. 

Tanpa sokongan, mereka berisiko mengalami keletihan melampau (burnout), gangguan kesihatan mental serta masalah fizikal akibat kurang rehat.

Hakikat yang sering diabaikan ialah, semakin lama seseorang menjadi caregiver, semakin tinggi risiko kesihatan mereka merosot.

Lebih kritikal, dalam banyak kes penjagaan orang sakit, termasuk pesakit mental, jaga anak-anak istimewa, jaga ibu ayah yang tua dan uzur,  80–90 peratus penjagaan bergantung kepada ahli keluarga. Ini bermakna, jika caregiver tumbang, sistem penjagaan turut runtuh.

Namun begitu, apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini amat membimbangkan. 

Masih ramai ahli keluarga mengambil sikap lepas tangan, menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada seorang individu, selalunya isteri, ibu atau anak perempuan, seolah-olah itu adalah tanggungjawab mutlak mereka. 

Ini bukan sahaja tidak adil, malah satu bentuk pengabaian dan kezaliman yang tidak disedari. 



Tanggungjawab Ini Tidak Boleh Dipikul Seorang Diri

Sudah tiba masanya masyarakat mengubah sikap. 

Menjaga ahli keluarga yang sakit, bukan tanggungjawab seorang caregiver sahaja. Ia adalah tanggungjawab bersama. Ahli keluarga lain dan komuniti setempat perlu tampil:

  • 1. Berkongsi tanggungjawab penjagaan, walaupun dalam bentuk kecil
  • 2. Memberi ruang rehat kepada caregiver, secara berkala dan terancang
  • 3. Memberi sokongan emosi, bukan sekadar mengharapkan mereka terus kuat
  • 4. Menghargai pengorbanan caregiver, bukan menganggapnya sebagai kewajipan tanpa had
  • 5. Dalam masa yang sama, caregiver juga perlu berani berubah, daripada sekadar bertahan, kepada menjadi caregiver yang bijak.

Bijak bermaksud:

  • a) Tahu bila perlu berehat
  • b) Berani mempercayai orang lain untuk membantu
  • c) Menerima bahawa penjagaan tidak perlu sempurna untuk menjadi bermakna



Jangan Tunggu Hingga Terlewat

Masyarakat dan kerajaan tidak boleh terus menutup mata terhadap realiti ini. 

Caregiver bukan “superhuman”. Mereka manusia biasa yang ada had fizikal dan emosi. Menjaga bukan bermaksud memikul tanggungjawab ini seorang diri sehingga rebah.

Jika masyarakat terus membiarkan caregiver berjuang sendirian, kita sebenarnya sedang membiarkan dua nyawa terjejas, pesakit dan penjaganya.

Akhirnya, kita perlu faham satu perkara asas iaitu kasih sayang bukan hanya untuk mereka yang dijaga, tetapi juga untuk diri caregiver itu sendiri. Sama-sama kita fikirkan. - KitaReporters

12
13
0
13
0

Copy Link: