Sampai bila? Keganasan rumah tangga yang berulang bukan tragedi! Tanda sistem gagal lindungi wanita!

Published by
KitaReporters

Kes keganasan rumah tangga yang berlaku pada Jahidah Nordin (yang koma dipukul oleh suami dan menyebabkan dia melahirkan anak ketika dalam koma) 5 tahun lalu sepatutnya menjadi pengajaran dan titik terhentinya kes-kes keganasan rumah tangga di negara ini. 


 


Namun realitinya, sangat menyedihkan kerana lelaki yang sama didakwa mendera Jahidah mengulangi penderaan terhadap isteri baharu sehingga menyebabkan keguguran. Jelas sekali ini bukan lagi kes individu tetapi i adalah kegagalan sistem.

Kebelakangan ini keganasan rumah tangga semakin neningkat. Data rasmi daripada Bernama menunjukkan situasi semakin membimbangkan di mana  sebanyak 7,116 kes keganasan rumah tangga telah direkodkan pada 2024. Kes-kes ini meningkat berbanding 5,507 kes yang direkodkan pada 2023. 

Astro Awani pula melaporkan dari Januari sehingga Jun 2025 sahaja, 3,768 kes dilaporkan, dan 73% mangsa adalah wanita.. Malah sepanjang 2020 hingga 2024, lebih 30,000 kes direkodkan oleh PDRM dan lebih 18,000 wanita menjadi mangsa dalam tempoh empat tahun berkenaan.

Selain itu keganasan rumah tangga juga menjadi punca utama perceraian (20%) di Malaysia lapor Astro Awani. Sementara itu menurut Women’s Aid Organisation (Pertubuhan Bantuan Wanita atau WAO), keganasan rumah tangga bukan sekadar fizikal, tetapi termasuk emosi, psikologi dan kewangan. Mangsa sering terperangkap kerana ketakutan, kebergantungan dan manipulasi emosi.



Kajian juga menunjukkan antara punca utama berlakunya keganasan rumah tangga adalah tekanan ekonomi, ketidakseimbangan kuasa dalam hubungan, dan kurang rasa hormat terhadap pasangan. 

Malaysia sebenarnya mempunyai perlindungan undang-undang iaitu  Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Akta ini membolehkan:

1. Perintah Perlindungan Sementara (IPO)

2, Perintah Perlindungan (PO)

3. Larangan pelaku mendekati mangsa

Namun persoalannya, kenapa mangsa masih gagal dilindungi? Antara kelemahan yang sering dibangkitkan: Mangsa lambat lapor kerana takut, proses undang-undang mengambil masa yang panjang, kurang pemantauan terhadap pelaku berulang, juga tiada sistem pemulihan wajib untuk pendera. 

Akibatnya, pelaku bebas, mangsa bertukar dan ramai wanita terus menderita dalam senyap.


Lelaki yang pernah mendera isterinya Jahidah sehingga koma kini mengulang perbuatannya pada isteri baru.


Dalam hal yang sama ramai wanita yang setia tidak bertempat. Mereka terlalu sayang pasangan sehingga kesetiaan itu membunuh dalam diam dan menjadikan anak-anak mangsa keadaan. 

Ramai wanita kekal dalam hubungan berbahaya kerana  terlalu cinta, fikirkan anak-anak, nergantung hidup dengan pasangan, tekanan keluarga dan stigma masyarakat. 

Malangnya kesetiaan dalam hubungan toksik ini adalah perangkap. Ia bukan lagi pengorbanan tetapi adalah survival mode yang perlahan-lahan memusnahkan diri.

Oleh demikian apabila pelaku keganasan rumah tangga kerap mengulangi perbuatannya, apa perlu dilakukan  oleh pihak yang tertentu  kerana isu ini perlukan tindakan serius, bukan simpati semata-mata:

1. Wujudkan “watchlist” pelaku berulang

Supaya tidak mudah berkahwin semula tanpa pemantauan

2. Wajibkan rawatan psikologi kepada pelaku

Bukan sekadar hukuman

3. Percepatkan perlindungan mangsa

IPO perlu lebih pantas dan mudah

4. Lindungi caregiver dan keluarga mangsa

Mereka juga trauma dan terdedah risiko

5. Pendidikan masyarakat

Berhenti normalize ayat “sabarlah”. Ini masalah rumah tangga dia, biar dia settle. Kita jangan masuk campur.



Akhir sekali sampai bila kita nak tunggu kes-kes macam ini berkurangan? 

Kes Jahidah sudah cukup menyayat hati, melihat dia menjadi cacat seumur hidup, dalam keadaan koma dan melahirkan anak yang juga mengalami masalah. 

Sesuatu perlu dilakukan dengan segera. Tindakan tegas terhadap pelaku keganasan rumah tangga ini perlu dijalankan dengan segera. Apa yang menyedihkan bila pelaku yang sama mengulangi keganasan.

Bila ini berlaku, ia bukan lagi satu tragedi, tetapi tanda kegagalan masyarakat dan sistem  yang sudah hilang nilai kemanusiaan. - KitaReporters


14
17
0
18
0

Copy Link: