Hi Tea Terlajak Raya! Bukti setia kawan alumni SK Derga! Persahabatan dan ukhuwah lebih 50 tahun!
Published byBukan mudah hendak mengumpul bekas rakan sekolah rendah yang telah 50 tahun lebih berpisah dan membawa haluan masing-masing.

Namun Perancangan Allah adalah yang terbaik. Majlis Hi Tea Raya sepatutnya dibuat masa sambut Aidilfitri tapi aturan Allah berlainan pula. Semua berlaku atas keizinan-Nya jua!
Dan akhirnya pada Sabtu 9 Mei 2026 lalu berlangsung Majlis Hi Tea Terlajak Raya Sekolah Rendah Derga (SKD) di Mee Hiris Plaza Shah Alam, Selangor.
Seramai 15 bekas pelajar dan pasangan hadir menceriakan suasana yang sangat berharga itu.
"Walaupun jumlah kehadiran kecil kita bersyukur kerana hajat mengadakan majlis di luar Alor Setar tercapai juga,' kata Datuk Thantawi Jauhari Ahmad dalam ucapan aluannya mewakili yang hadir.
Sebelum ini majlis diadakan di Alor Setar kerana kebanyakan bekas pelajar menetap di negeri kelahiran atau balik kampung selepas bersara.
"Di manapun diadakan yang penting majlis ini dapat menyambung silaturahim sahabat sekolah selepas berpuluh-puluh tahun berpisah setelah tamat sekolah," ujar Dato Thantawi Jauhari Ahmad.

Dari kiri: Asnah, Norshida, Norizan, penulis, Zahreen Ali, Asma Mokhtar dan Zanariah.

Dari kiri: Zulfaqqor Mohamad Saad, Mohd Radzi Shamsuddin, Thantawi Jauhari Ahmad, Hussin Abdullah dan Zaihan Marman.
Sekolah Kebagsaan Derga (SKD) yang sekarang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Tunku Raudzah (SKTR) adalah antara sekolah paling popular dan aktif di Kedah sekitar tahun 60-an.
"Saya sangat gembira kerana majlis hari ini turut dihadiri suami isteri dan juga anak. Ia satu petanda baik dalam memupuk ukhwah keluarga dalam persahabatan.
"Malah kami terharu dengan komitmen sahabat yang sanggup datang dari selatan untuk meraikan persahabatan yang sangat mahal ini," tambah Thantawi Jauhari lagi.
Seorang lagi bekas pelajar, Zahreen Ali turut melahirkan kesyukuran dan gembira kerana majlis yang dirancang sebulan lalu akhirnya menjadi kenyataan.
"Ternyata sahabat SKD masih mengingati momen manis kami di sekolah dulu dan gembira untuk berjumpa dan berkongsi kenangan bersekolah rendah lebih 50 tahun dahulu," kata Zahreen.
Perkara sama turut dipersetujui Asma Mokhtar yang membawa bersama suaminya Zaihan Marman untuk menceriakan majlis.
"Saya telah banyak kali terlepas majlis reunion SKD semasa diadakan di Alor Setar. Jadi bila diadakan di Shah Alam saya terus bersetuju untuk hadir,' kata Asma.

Kegembiraan terpancar pada wajah semua tetamu yang hadir terutama bila ada ruang untuk bersembang sambil menjamu selera.
Hussin Abdullah pula berharap majlis ukhwah seperti ini dapat diterus diadakan pada masa hadapan.
"Jika diadakan lagi insya-Allah saya akan menyokong dan mencari masa untuk hadir," ujarnya.
Menurut Hussin, pada usia emas ini, berjumpa rakan-rakan sekolah yang lama terpisah antara terapi terbaik dilakukan bagi menyambung semula persahabatan yang terputus.
Cadangan Hussin disokong oleh Zulfaqqor Mohamad Saad.dan Mohd. Radzi Shamsuddin yang hadir bersama isteri masing-masing.
"Sungguh hiba dan sebak jiwa. Persahabatan lebih 50 tahun masih kekal bersemi. Masih mesra seperti zaman sekolah.
"Rasanya tak luak barang seinci. Terus mekar mewangi dalam doa dan rahmat Ilahi. Semoga persahabatan kita kekal ke Jannah," tambah Normala Hamzah tenaga dan pencetus di sebalik majlis Hi Tea Terlajak Raya SKD ini.
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Illahi yang telah merealisasikan perjumpaan yang sangat indah.
"Terima kasih kepada sahabat yang hadir. Semoga kita dapat berjumpa lagi dengan dengan izin Allah. Semoga pertemuan mahal ini kekal menjadi kenangan manis kita bekas pelajar Derga," ujar Normala lagi.

Persahabatan lebih 50 tahun masih kekal bersemi. Masih mesra seperti zaman sekolah.
Majlis penuh makna ini turut diisi dengan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Thantawi Jauhari serta diakhiri dengan cabutan bertuah.
Semoga sahabat SKD di mana sahaja berada sihat selalu, dimurahkan rezeki, ditingkatkan amalan serta berbahagia dengan anak cucu tersayang.
Al-Fatihah dibaca untuk arwah guru-guru dan sahabat, ibu bapa dan Muslimin dan Muslimat yang telah kembali kepada-Nya. Amin. - KitaReporters
