Kerian berwajah baharu! Kompleks baharu pejabat pentadbiran daerah bakal beroperasi di Dennistown!
Published byKompleks berharga RM42.5 juta itu dibina sejak dua tahun lalu sudah siap untuk diduduki.

Menteri
Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Kompleks Pentadbiran Daerah
Kerian yang baharu, menandakan usaha berterusan kerajaan negeri dalam
memperkukuh infrastruktur pentadbiran.
“Kompleks
moden itu dijangka berfungsi sebagai pusat sehenti yang lebih efisien bagi
meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih responsif,
berkesan dan berfokuskan rakyat,” katanya dalam kenyataan media selepas Hari Bertemu
Pelanggan kerajaan negeri Perak di Parit Buntar, Perak pada 4 Mei 2026.
Satu sesi majlis penyerahan kunci bangunan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Zulkifli Abdullah kepada Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Nor Sham Rahman.
Daerah Kerian bersempadanan dengan negeri Kedah dan Pulau Pinang merupakan pusat pertumbuhan tiga segi emas dipisahkan ketiga-tiga negeri dengan Sungai Kerian di Parit Buntar, Perak.


Sementara itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif melancarkan Pasar Sejahtera Rakyat Perak sebagai langkah proaktif membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup susulan impak krisis tenaga global.
Inisiatif
berbentuk payung subsidi itu membolehkan orang ramai mendapatkan barangan
keperluan asas pada harga sekurang-kurangnya lima peratus lebih rendah
berbanding harga pasaran setempat, melibatkan jualan barangan kering dan basah.
Program itu dilaksanakan
di bawah langkah mitigasi impak krisis Asia Barat bagi tempoh April hingga Jun
2026.
Saarani
dalam kenyataan media berkata, kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM3.7
juta bagi tahun 2026 melalui pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai
bentuk jualan bersubsidi di seluruh negeri.
Daripada
jumlah itu, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Pasar Sejahtera
Rakyat Perak melalui Pejabat Daerah dan Tanah di semua daerah secara berkala
setiap bulan.
Selain itu,
RM1.2 juta disalurkan bagi program jualan Sejahtera Rakyat yang dilaksanakan di
59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Yayasan Bina Upaya dan
Perak SADC.
Peruntukan lain melibatkan RM0.4 juta bagi program Jelajah Sejahtera Desaku di kawasan luar bandar terpilih serta RM0.1 juta masing-masing bagi jualan Koperasi Perak Sejahtera dan Koperasi Perak Sejahtera bergerak bagi memperluas capaian kepada rakyat.

Mengulas
lanjut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa lokasi dan kekerapan pelaksanaan
program akan terus ditambah bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat
manfaat, termasuk di kawasan pedalaman yang sukar diakses.
Langkah itu
turut mengambil kira keperluan untuk mengekalkan harga jualan rendah meskipun
berdepan kenaikan kos operasi susulan peningkatan harga diesel.
Bagi
mengekang kenaikan harga barangan, kerajaan negeri menanggung subsidi kos
diesel yang digunakan oleh pengangkut barangan, sekali gus memastikan harga
jualan kekal rendah dan tidak membebankan pengguna. -KitaReporters
