Peningkatan harga minyak sejak kebelakangan ini bukan sahaja dirasai pengguna biasa, malah turut memberi kesan kepada operasi pusat kebajikan yang berkhidmat membantu golongan memerlukan.




Harga petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026.


Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat, pusat kebajikan dilihat berdepan cabaran untuk mengurus perbelanjaan harian, khususnya melibatkan penggunaan kenderaan bagi pelbagai urusan.

Penolong Setiausaha Kehormat, Pertubuhan Gabungan Rumah Kebajikan Perpaduan Negeri Selangor (PAKAR) yang juga Setiausaha Kehormat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin, berkata, penggunaan kenderaan merupakan keperluan penting dalam memastikan kelancaran operasi.

“Setiap hari, kenderaan digunakan untuk mengambil bekalan makanan, menghantar penghuni ke hospital serta mengurus pelbagai urusan kebajikan.

“Apabila harga minyak meningkat, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada perbelanjaan pusat jagaan dan ruah kebajikan.

"Maka, subsidi minyak boleh membantu meringankan beban pengurusan pusat jagaan dan rumah kebajikan bagi memastikan kebajikan penghuni terus terjaga,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pusat kebajikan bergantung kepada sumbangan orang ramai, justeru sebarang peningkatan kos operasi perlu diurus dengan sebaik mungkin.


Muhammad Syafiq Mohiadin.


Sementara itu, Pengasas As Safa Travels and Tours, Md Roslan Mohammad Jaafar berkata, situasi ini wajar dilihat secara bersama oleh semua pihak khususnya pihak berkuasa.

Katanya, kerjasama antara NGO, komuniti dan sektor swasta amat penting dalam memastikan kebajikan golongan memerlukan terus terpelihara.

“Kita faham setiap pihak ada cabaran masing-masing, namun usaha membantu mereka yang memerlukan perlu diteruskan secara bersama,” katanya.


Md Roslan Mohammad Jaafar.

Dalam pada itu, Pengurus Eksekutif Institut Akademi Konsultansi Inspirasi (IACC), Noor Azman Yusof berkata, peningkatan kos bahan api memberi kesan secara tidak langsung kepada perancangan kewangan pusat kebajikan.

“Apabila kos logistik meningkat, perbelanjaan perlu disusun semula supaya kebajikan penghuni tetap menjadi keutamaan,” katanya.


Noor Azman Yusof.

Ts. Mohd Affandi Mohd.


Presiden Persatuan Anak Melaka Selangor dan Wilayah (PERMAS), Ts. Mohd Affandi Mohd pula berpandangan, sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting dalam membantu pusat kebajikan menghadapi cabaran semasa.

Katanya, sebarang bentuk bantuan termasuk cadangan subsidi minyak boleh dipertimbangkan secara bersasar bagi meringankan beban operasi. - KitaReporters


Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia bergantung kepada sokongan komuniti dalam memastikan kebajikan warga emas terus terpelihara.
15
9
0
11
0

Copy Link: