Video| Nekad jalan kaki ke Mekah! Ambil masa hampir 11 bulan, sejauh 6,500km, melalui 11 negara!

Published by
KitaReporters


SEBAGAI umat Islam pasti mempunyai impian untuk mengerjakan ibadah rukun Islam kelima.

Lelaki warganegara British membuktikan kesungguhan dirinya dan mampu mencapai impiannya mengerjakan ibadah haji di Mekah dengan cara tersendiri. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan ibadat haji




Dengan mengambil masa selama hampir 11 bulan, Adam Muhammad akhirnya tiba di Tanah Suci Mekah di Arab Saudi pada 28 Jun 2022 lalu dengan berjalan kaki merentasi 11 negara untuk sampai bagi merealisasikan impiannya.

Meskipun dianggap mustahil, impian lelaki berusia 52 tahun, untuk menjejakkan kaki ke Mekah akhirnya terlaksana jua.

“Menunaikan haji adalah keinginan saya yang paling agung dan paling saya impikan,” katanya selepas sampai di Mekah, bagi menunaikan umrah serta menghabiskan masa di sekitar Kaabah.



Sejak perintah berkurung dikuatkuasakan berikutan penularan COVID-19, dia menyibukkan diri dengan membaca dan memahami al-Quran.

“Dan selepas setahun setengah mempelajari kitab suci itu, suatu hari saya bangun dari tidur dengan tergerak hati untuk berjalan kaki ke Mekah,” katanya.

Memulakan perjalanan rohani tersebut dari tempat dia tinggal di Wolverhampton dekat London, England pada 1 Ogos 2021 bersama troli tiga roda untuk membawa barangan peribadinya yang diletakkan di atas troli khas yang dibuatnya sendiri.




Kongsi lelaki yang berasal dari Kurdistan, Iraq dan sudah puluhan tahun menetap dan menjadi warga Britain itu, persiapannya untuk menunaikan haji hanya mengambil masa dua bulan, dan sebuah pertubuhan London ada menghulurkan bantuan kepadanya.

Berkongsi kisah yang sukar itu, Adam berkata, dia tidak menghadapi sebarang halangan besar sepanjang perjalanan 6,500 kilometer ke Mekah dengan melalui negara-negara seperti Belanda, Jerman, Republik Czech, Hungary, Romania, Bulgaria, Turki, Syria dan Jordan

Ditemani troli seberat 250 kilogram itu juga digantung dengan kain sepanduk putih sebagai simbolik pakaian ihram bagi ibadah haji yang bakal dilakukan di kota Mekah. 



“Tiada kesukaran besar kecuali penahanan pihak berkuasa polis di beberapa negara untuk bertanyakan mengenai keberadaan saya tetapi mereka terkejut apabila mengetahui misi unik saya.

“Ramai orang membantu saya dalam perjalanan, tetapi saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakannya adalah "kerana Allah dan bukan untuk mencipta sebarang rekod,” kongsinya.

Pada masa sama, Adam turut berterima kasih kepada rakyat Arab Saudi yang bermurah hati sejak dia tiba di Tanah Suci, dan memaklumkan dia  kini dalam fasa persediaan menunggu hari-hari istimewa bagi menunaikan ibadah haji minggu depan. - KitaReporters


13
15
0
10
0

Copy Link: